Saturday, July 19, 2008

Indahnya jika berakhlak mulia

Semua manusia mengetahui apa itu akhlak mulia akan tetapi berapa ramaikah dikalangan kita yang memiliki sifat terpuji ini. Akhlak mulia merupakan budi pekerti atau kelakuan terpuji yang dimanifestasikan dari hati yang suci lagi bersih. Amat sukar jika seseorang yang tidak memiliki hati yang bersih untuk mengadaptasikan sifat yang amat disukai oleh Allah dan RasulNya ini.  Sifat ini amat dituntut oleh Islam dengan sebaik-baik tuntutan. Jika tidak apalah ertinya diutuskan Nabi Muhammad s.a.w selain dari tugas utamaNya iaitu membawa berita gembira(بشيرا) dan memberi peringatan(نذيرا).

Baginda pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang berbunyi:

(إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق)

maksudnya:"Sesunguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia"

Saidatina Aisyah R.A pernah ditanya bagaimana hal keadaan akhlak baginda nabi, lalu beliau menjawab dengan ringkas dan padat:

(كان خلقه القرأن)

yang bermaksud:"Akhlak baginda adalah al-Quran"

Mafhum dari jawapan Saidatina Aisyah itu ialah jika hendak melihat akhlak baginda nabi, lihatlah kembali kepada al-Quran. Ini kerana al-Quran sarat dengan saranan untuk umat Islam mengamalkan akhlak yang mulia. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana mengaplikasikan akhlak mulia.

*Di suatu petang Jumaat, semasa ku membaca al-Quran di masjid berdekatan dengan tempat tinggalku, aku didatangi seorang muslim Amerika. Pada sangkaanku, dia dan kawannya adalah dari puak salafi@wahabi yang nak berdakwah padaku. Aku pun bertaaruf serba ringkas (dlm bahasa arab, fasih gak dia ni) dengan dia. Mak dia orang Mesir dan ayahnya orang Amerika. Setelah bersembang agak lama, dia pun bertanya kepadaku tentang wanita Malaysia @ Indonesia. Aku pun bertanya kembali kenapa dia bertanya macam tu. Rupanya dia ada hajat nak mendirikan rumah tangga dengan orang Malaysia (ada udang di sebalik mee, ada hajat rupanya...habaqla awal2, hehehe...). Dia mengatakan yang akhawat Malaysia @ Indonesia memiliki akhlak yang mulia dan nampak solehah sepanjang pemerhatiannya, dan dia cukup kagum dengan rakyat Malaysia yang rata-ratanya mempunyai sifat ramah dan bersopan-santun. Aku dimintanya dengan sepenuh pengharapan untuk mencari seorang akhawat samada dari Malaysia @ Indonesia untuk dijadikan permaisurinya (aku berbisik sendirian, "aku pun x kahwin lagi"...hehehe). So, kepada sesiapa yang berminat (khas utk muslimah shj) sila ambil borang pendaftaran dengan segera kerana tempat terhad kepada seorang sahaja!(hehehe) 

Nah, inilah penangan akhlak mulia. Masyarakat akan memandang mulia jika akhlak mulia tersebut dijadikan perhiasan diri. Pokok asalnya jadikanlah al-Quran dan peribadi baginda nabi sebagai panduan kita dalam mengaplikasikan akhlak yang amat dituntut ini. Orang yang berakhlak mulia tidak akan rugi bahkan mendapat keuntungan yang berganda di dunia dan di akhirat.

*cerita tersebut hanya sebagai selingan.  

Friday, July 18, 2008

Bahana lidah

Tiada kalam tanpanya,
Tiada rasa tanpa kewujudannya,
Diciptakan ia banyak hikmahnya,
Sungguh Maha Bijaksana yang menciptakannya,
Terkandung kebaikan dan keburukan darinya,
Puji, syukur, zikrullah, antara kebaikannya,
Umpat, fitnah, adu domba, kata nista antara keburukannya,
Lebih banyak keburukan yang ada padanya,
Namun setakat manakah kita mampu mengawalnya?

Ada yang pandai berkata-kata,
Ada yang yang hanya berdiam diri sahaja,
Tidak kurang juga lidahnya sentiasa basah,
Kerna banyak berzikir pada Allah Taala,
Namun sedarkah kita,
Banyak berkata-kata mungkin banyak silapnya,
Kalam yang banyak silapnya,
Maka banyaklah dosanya,
Barangsiapa banyak dosanya,
Maka nerakalah tempatnya,
Nabi kita juga telah berpesan :

((من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت))

Ertinya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan juga hari kiamat,
maka ucapkanlah kata-kata yang baik atau (jika tidak mampu) hendaklah diam”


Sesungguhnya memang benar lidah itu tiada tulangnya,
Terlalu lembut untuk mengata nista, mengadu domba,
Serta memfitnah sesama saudara,
Memang manusia mudah lupa dengan firmanNya,
Justeru, jadikanlah iman dan akal dan kita sebagai 'tulangnya',
dan sebagai ‘penapis’ setiap kata-kata kita,
Supaya kita tidak terpesong dari tujuan penciptaannya,
Adakah kita sudah lupa?

Andaikata lidah diberi peluang untuk
berkata di akhirat sana,
alangkah teruknya kita menerima
balasan dariNya,
Na’uzubillah kita mohon dariNya,
Semuanya itu terpulang kepada kita,
Sama ada untuk memberatkan timbangan
pahala lidah atau sebaliknya,
Kerna banyak kalamullah dan sabda baginda nabi
yang bisa mengajarkan kita,
Mengenai bahana lidah, dosa dan pahalanya,
Apakah kita tidak menghiraukannya?

Bukanlah tulisan ini untuk menghentam sesiapa,
Cuma tujuanku satu sahaja,
Untuk memberi peringatan kepada diriku dan kalian semua,
Bukankah Khaliq kita telah berfirman dalam kitab suciNya:
((Berilah peringatan, sesungguhnya dengan memberi peringatan itu
akan memberi manfaat kepada orang yang beriman))

Oleh itu, jagalah bahasa kata kita,
Janganlah disalah guna.

Renung-renungkanlah.
 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB