
Masih teringat lagi pada hari tersebut, pada ketika itu waktu rehat sekolah di Tingkatan Lima Ikhlas, seorang sahabat datang memberitahu bahawa Almarhum Ustaz Fadzil Noor telah kembali ke rahmatullah. Dia memberitahu apabila melihat berita TV di maktabah. Hati ini terus menjadi sebak, sukar untuk menerima berita tersebut. Umum mengetahui bahawa beliau dimasukkan ke hospital hampir 2 minggu untuk menjalani pembedahan pintasan jantung dan ramai yang mendoakan agar beliau selamat menjalani pembedahan tersebut kerana mengetahui akan risikonya. Namun apakan daya, Allah lebih menyayanginya.
Setelah mengetahui berita tersebut, hati ini menjadi tidak tenteram. Pengajian dalam kelas sudah tidak boleh ditumpu. Pihak sekolah memberhentikan pengajian dan meminta semua guru dan pelajar untuk ke Dewan sekolah untuk majlis tahlil kerana Almarhum merupakan bekas pelajar dan juga pengajar di situ.
Selepas pulang ke rumah sewa, aku dan sahabat Noor Jalaluddin @ Bang Long terus memecut motor menuju ke Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena apabila mendapat tahu beliau akan dikebumikan di situ kerana wasiat beliau yang mahu disemadikan disitu. Beliau merupakan pengasas kepada Muassasah Darul Ulum. Kebetulan pagi tersebut, aku baru pulang ke rumah sewa dan rumahku berdekatan dengan Muassasah sekitar jarak 10 minit perjalanan. Waktu ketika itu sekitar pukul 2.30 petang, jalan raya mula sesak. Nasib baik kami naik motor, kalau tidak kena jalan kaki la alamatnya. Sebaik sampai di Muassasah, jenazah masih belum tiba kerana masih dalam perjalanan melalui kapal terbang tentera udara yang disediakan oleh pihak Kerajaan pada waktu itu sebagai penghormatan kerana Almarhum pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen merangkap Ahli Parlimen Pendang dan juga Presiden PAS.
Waktu itu perkarangan Muassasah penuh sesak dengan ribuan manusia dari pelbagai latar belakang yang menyayangi Almarhum, kami tersua dengan kumpulan nasyid yang popular ketika itu, 'Firdaus' yang datang dari UUM, Sintok. Begitu hebat pengaruh yang ada pada Almarhum sehingga mampu menarik pelbagai lapisan masyarakat di waktu masih hidup hinggalah saat pemergian beliau.

Para hadhirin hanya diberikan kesempatan untuk memberikan penghormatan terakhir pada jam 7 petang setelah keluarga Almarhum diberi peluang untuk menatap wajah terakhir di rumah beliau yang berdekatan dengan Muassasah. Alhamdulillah keadaan tenang dan berjalan lancar walaupun ribuan manusia memenuhi perkarangan Muassasah. Aku menunggu dan dapat melihat saat jenazah diturunkan ke liang lahad pada jam 10 malam (kalau tak silap). Itulah perpisahan terakhir bersama beliau yang tak akan kulupakan. Setelah talqin selesai dibacakan barulah kami pulang ke Alor Setar.
Begitulah ketokohan peribadi Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang disanjungi kawan mahupun lawan. Pendekatan sederhana beliau dalam menyampaikan dakwah mampu diterima dengan baik oleh setiap golongan masyarakat. Ribuan manusia yang hadir menggambarkan betapa Almarhum menjadi pemimpin yang disayangi oleh semua lapisan masyarakat.
Aku juga berkesempatan bertemu dengan Almarhum beberapa kali. Antaranya pada ketika hari raya puasa pada tahun 1422 H bersamaan pada tahun 2001. Aku dan abangku antara orang yang paling awal tiba di Muassasah untuk solat Eidul Fitri sehinggakan disangka sebagai pelajar di situ. Aku mengambil tempat betul-betul di hadapan rostrum yang dijadikan tempat berkhutbah di musolla Muassasah. Khutbah hari itu disampaikan sendiri oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Seusai solat, aku bersama para jamaah berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau. Itulah antara kenangan bersua muka dengan Almarhum yang tidak dapat dilupakan. Bagi mengubati kerinduan terhadap beliau, aku berulangkali melihat video ceramah dan ucapan perbahasan beliau di sidang Parlimen.
Jasa dan pengorbanan kedua-dua tokoh ini terlalu mahal untuk dibayar. Semoga kedua-dua mereka ditempatkan di syurga bersama para anbiya, syuhada', auliya' dan solihin, dan semoga kita dapat bertemu dengan mereka di syurga kelak, alam kehidupan yang kekal abadi selepas dibangkitkan dari alam barzakh untuk dihisab segala amalan dan tiada lagi perpisahan yang menyedihkan. Ameen ya Rabb.
Al-Fatihah untuk kedua-dua tokoh besar ini.