Wednesday, July 22, 2009

Jom Kenali dan Cintakan Ulama : Dr Yusri Rushdi al-Hasani


Nama penuh guru kita yang mulia ini ialah Yusri Rushdi as-Sayyid Jabr al-Hasani. Berpegang teguh dengan aqidah ahli sunnah wal jama'ah, bermazhab Syafi'ie, berpegang dengan tariqat as-Siddiqi melalui susur galur tariqat as-Syazuli.

Dilahirkan pada 25 Muharram 1374 H bersamaan 23 September 1954 M di Hayyu Raudhul Faraj, Kaherah. Beliau memulakan alam persekolahan di sekolah kerajaan sehinggalah menyambungkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah dan mendapat pangkat 'Jayyid Jiddan' pada Disember 1978. Kemudian beliau mendapat Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang 'Pembedahan Am dan Pembedahan الأوعية الدموية (tak tau pembedahan apa, sapa2 tau bagitau yer) juga dari Universiti Kaherah pada November 1983 dan beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam 'Pembedahan Am' juga dari Universiti yang sama pada Mei 1991. Kemudian beliau meneruskan pengajian di bidang syariah (B.A) dalam kuliah Syariah wal Qanun, Universiti Al-Azhar pada tahun 1992 dan mendapat pangkat 'Jayyid Jiddan' pada tahun 1997.

Beliau mula menghafaz al-quran dengan riwayat Hafs 'an 'Asim semasa dalam pengajian di kulah perubatan melalui guru beliau Fadhilat as-Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Salam Khatir (sekarang bertugas sebagai panel rujukan al-Quran al-kareem di Madinah) dan berjaya mengkhatamkannya secara hafazan pada tahun 1985. Guru al-Quran beliau yang lain ialah Syeikh Muhammad Adam, Syeikh Muhammad Badawi as-Sayyid yang bersambung sanad mereka dengan Rasulullah صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم melalui Saidina Jibril alaihissalam dari Luh Mahfuz dari Allah سبحا نه وتعالى .

Beliau mempunyai ramai guru dalam disiplin ilmu agama, antaranya:

1. Syeikh Hafiz at-Tijani rahimahullah, beliau menghadiri pengajian kitab al-Muwatto' Imam Malik selama 2 tahun (1976-1978)

2. Syeikh Muhammad Najib al-Muti'ie rahimahullah (pelengkap kepada kitab al-Majmu' bisyarhil al-Muhazzab), beliau menghadiri pengajian Sahih al-Bukhari dan kitab-kitab fiqh Syafi'ie, beliau juga mendapat sanad hadis dan fiqh ketika pengajian di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA).

3. Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah, beliau menghadiri pengajian kitab as-Syamaa-il lit-Tirmizi, al-Muwatto' Imam Malik, al-Luma' fi Ilmi al-Usul yang dibacakan oleh Syeikh Dr Ali Jum'ah (Mufti Mesir sekarang). Beliau mengambil sanad tariqat as-Siddiqi ad-Darqawiyah as-Syazuliyyah dari gurunya ini.

4. Syeikh Ahmad al-Mursi an-Naqsyabandi rahimahullah, salah seorang dari ulama Al-Azhar. Beliau kerap menziarahinya dan mengambil banyak faedah darinya.

5. Syeikh Isma'il Sodiq al-Adawi rahimahullah, bekas imam besar Masjid Al-Azhar. Beliau menghadiri pengajian kitab al-Muwatto' dan tafsir sebahagian surah dari al-Quran. Beliau sentiasa bersama dengan gurunya ini untuk beberapa tahun dan sering bermusafir bersama ke pedalaman Mesir untuk ziarah para solihin. Beliau banyak mempelajari mengenai hakikat ilmu tasawuf darinya.

6. Fadhilat al-Ustaz ad-Duktur Nuruddin Ali Jum'ah hafizahullah (Mufti Mesir sekarang), juga sahabat seperguruan beliau dengan Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah.


7. Fadhilat al-Ustaz al-Imam Muhammad Zaki Ibrahim al-Husaini rahimahullah (foto kanan)

8. Syeikh as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani 

rahimahullah.

9. Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Baa'iets al-Husaini al-Kittani hafizahullah, muhaddis dan musnid Iskandariah.

10. Fadhilat al-Ustaz ad-Duktur Muhammad Rabi'e al-Jauhari hafizahullah (mantan Dekan Kuliah Usuluddin, Univ. al-Azhar). 

11. Fadhilat as-Syeikh al-Habib Ali al-Jufri hafizahullah

12. Fadhilat al-Ustaz Hassan Osman hafizahullah.

dan ramai lagi guru-guru beliau.



 
 Dr. Yusri sedang melakukan pembedahan


Jawatan beliau sekarang ialah Penasihat dan Ketua Jabatan Pembedahan Am dan الأوعية الدموية di Hospital Ahmad Mahir at-Ta'limi, Kaherah. Beliau juga merupakan imam dan khatib di Masjid Al-Asyraf, Hayyu al-Muqattam.

"Semoga Allah memanjangkan umur beliau dan dikurniakan kesihatan yang baik serta diberkati segala amalan beliau."


Pengajian bersama beliau :
  • selepas subuh setiap hari di Masjid al-Asyraf, kitab Sunan Abi Dawud (jilid pertama)
  • selepas subuh setiap hari di Masjid al-Asyraf, kitab Tuhfatul Ahwazi syarah Jami'e Tarmizi (Tamat)
  • selepas solat Jumaat di Masjid al-Asyraf, kitab al-Muwatto' Imam Malik, as-Syamaa-il al-Muhammadiah dan Hikam ibnu 'Ato' illah as-Sakandari 
  • setiap Sabtu jam 10.30 pagi di Masjid Al-Azhar as-Syarif, kitab Sahih al-Bukhari
  • setiap Ahad selepas Maghrib di Asyirah Muhammadiah, Masjid Syeikh Zaki Ibrahim, kitab Bahjatun nufus syarah mukhtasar Sahih Bukhari.
  • setiap Isnin selepas Isya' di Masjid Al-Asyraf, kitab Hasyiah Baijuri (sekarang jilid satu)
  • setiap hari (khusus di bulan Ramadhan), semasa rehat solat tarawih, kitab Bahjatun Nufus syarah Mukhtasor Sohih Bukhari libni Abi Jamrah rahimahullah (jilid 1)  

* Terjemahan dari Sirah az-zatiyah syaikhuna yang diberikan sendiri oleh beliau kepada akhi Ustaz Nazrul Abd Nasir. Syukran sebab bagi terjemah untuk entry ana :)

Tuesday, July 21, 2009

Pengajaran untuk hari ini.."Sabarlah dengan ujian dalam menuntut ilmu"

Hari ini seperti biasa selepas solat subuh, saya bersama Ustaz Hairul Nizam membonceng motosikal menuju ke kelas pengajian kitab Tuhfatul Ahwazi di Masjid al-Asyraf, Muqattam. Alhamdulillah sampai agak awal dan Syeikh Yusri masih berzikir dengan para jamaah. Kami pun turut menyertainya. Setelah habis berzikir, barulah syeikhuna memulakan bacaan kitab syarahan Jami'e Tarmizi dan membacakan 5 hadis beserta syarahannya, kemudian kami membaca al-quran seorang demi seorang dan ditegur oleh beliau. Seusai membacanya, kami bersalaman dengan syeikhuna dan pulang ke rumah masing-masing. Ust Hairul Nizam terpaksa ke pejabat PMRAM bersama Ust Juzaili Juhan menyebabkan saya keseorangan untuk pulang.

Hendak dijadikan cerita, sewaktu dalam perjalanan, tayar motosikal yang dinaiki pancit. Kebetulan akhi Sultan (sahabat dari Indonesia) dan temannya yang pulang agak lambat berselisih denganku dan memberikan bantuan. Setelah diperiksa, tayar dalamnya pecah agak teruk dan perlu diganti dengan yang baru. Memandangkan masih pagi dan kedai pun belum dibuka, mereka mencadangkan agar pulang sahaja (jazakumullah atas bantuan kalian). Makanya terpaksalah dituntun motorsikal tersebut dan jarak dari tempat kejadian dengan asrama lebih kurang 3 km!!!

Bersama akhi Sultan di hadapan maqam Sidi Abul Hasan as-Syazuli rahimahullah di Aswan

Memang teruk terpaksa berseorangan menuntunnya (kalau ada Ust Hairul boleh gak sembang2...hehe). Fuhhh...berpeluh sakan la 'tegha' nak sampai, sejam lebih, dah tu matahari semakin meninggi! Mujurlah terjadi semasa dalam perjalanan pulang, jika tidak rugilah tak dapat duduk dalam majlis ilmu. Semasa dalam perjalanan teringat kisah para sahabat baginda Nabi صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم dan para ulama salaf dan khalaf yang menghadapi pelbagai ujian dalam usaha menuntut ilmu. Syeikhuna Dr. Mustafa Imarah hafizahullah mengingatkan supaya wajib untuk kita menyoroti kisah-kisah para ulama terdahulu dalam menuntut ilmu. Ada sahabat nabi yang bermusafir dalam tempoh 2 bulan perjalanan hanya untuk bertanya kepada sahabat yang lain tentang kesahihan cuma sebuah hadis!! Banyak lagi kisah-kisah para ulama dalam menuntut ilmu. Siapalah diri ini jika nak dibandingkan dengan mereka.

Jika disoroti ujian semasa dalam menuju ke Muqattam ni, saya ditimpa dengan bermacam-macam ujian. Antaranya motor kehabisan minyak, pernah terjatuh motor (alhamdulillah tak teruk mana), dikejar anjing, ditahan polis. Baru kelmarin kami ditahan polis dan diminta rukhsah. Aku yang tak dak lesen gelabah tak tau nak buat macam mana. Mujurlah Ust Hairul memujuk rayu kepada polis tersebut dan dilepaskannya, kalau tidak kena tahan la motor tu.

Pernah juga ditahan oleh mabahis (SB) semasa dalam perjalanan pergi, kali pertama semasa dipintas dengan tramco, aku buat tak tahu ja sebab mereka dalam tramco tersebut ramai juga orang. Ingatkan nak curi motor ka apa ka, takut juga masa tu, terus dipecut motor, mereka terus mengekori dan memintas buat kali kedua sambil salah seorang dari mereka mengeluarkan pistol dan menyerbu ke arahku. Masa tu memang gelabah gila..(terbayang penjara bawah tanah (na'uzubillah) kalau-kalau kena tahan). Selepas disoal siasat, aku menjawab untuk ke pengajian sambil menunjukkan kitab, mereka pun melepaskan aku. Aku pun bersalaman dengan SB tersebut dan sambil tersenyum SB itu mengucapkan selamat belajar...huhu. Rupanya mereka membuat rondaan sekitar Muqattam, memang tak sangka. Lega masa tu tau nak kata. Mabahis kat Mesir ni memang banyak...so, berhati-hatilah dan jangan buat keadaan yang mencurigakan.

Ujian semasa menuntut ilmu di Mesir ni memang mencabar. Tambahan pula di musim panas macam sekarang ni (hampir mencecah 40 darjah celcius). Nak keluar menuju ke Darrasah memang cukup menguji kesabaran...dengan panas yang membahang, bas pula kadang-kadang lambat. Kalau di musim sejuk, lain pula ceritanya. Memang menuntut kepada mujahadah, himmah, semangat dan kemahuan yang tinggi. Kehidupan kita masih lagi dikira selesa dibandingkan dengan kehidupan para ulama terdahulu. Jalan untuk menjadi seperti mereka menuntut kepada tempoh waktu yang panjang . Jangan jadi seperti mee celup macam Ust Nik Abduh kata sudah!

Kesimpulannya, bersabarlah dengan segala ujian yang dihadapi. Allah tidak akan menguji hambanya melainkan dengan begitu sahaja, Dia mahu melihat tahap kesabaran hambanya dalam menghadapi ujian dan akan mengganjarkan pahala yang berlipat kali ganda terutamanya kepada penuntut ilmu. Yakin dan pastilah setiap ujian ada balasannya yang istimewa jika kita bersabar dan ikhlas. Tak dapat di dunia, pasti akan dapat di hari segala pembalasan. Sesungguhnya setiap ujian yang menimpa, membuatkan diri ini untuk menghargai apa yang dinamakan sebagai ilmu.

Sekadar perkongsian dan ingatan buat diri. Semoga kita diberi kesabaran dalam menuntut ilmu Allah yang luas tidak bertepi ini.


Nota :

1. Rujuk hadis-hadis beserta syarahannya dari kalam ulama mu'tabar mengenai keutamaan menuntut ilmu.

2. Baca kitab (صفحات من صبر العلمأ على شدائد العلم والتحصيلِِ) karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah, cetakan Maktabah al-Matbu'at al-Islamiyah (ada dijual di Darussalam).

Thursday, July 16, 2009

Jom Kenali dan Cintakan Ulama : Dr Mahmud Sa'ied Mamduh

Nama penuh guru kita yang mulia ini ialah Mahmud Sa'ied bin Muhammad Mamduh bin Abdul Hamid bin Muhammad bin Sulaiman Al-Husaini. Dilahirkan di Hayyu Kubri Al-Qubbah, Kaherah pada tahun 1372 Hijriah bersamaan pada tahun 1953 Masihi. Bapanya berasal dari Turki, ketika di bawah pemerintahan khilafah Uthmaniah, manakala ibunya dari keturunan Al-Asyraf Al-Husaini (ahlul bayt). Beliau mendapat pendidikan rendah dari sekolah biasa Mesir dan mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Pertanian dari Universiti Al-Azhar dan dilantik menjadi tutor. Kemudian beliau meninggalkan bidang tersebut untuk mempelajari ulum syar'iyyah dengan lebih mendalam. Bermazhab Syafi’ie dan berpegang dengan aqidah yang digariskan oleh Imam Abu Hasan al Asy’ari. Beliau juga adalah seorang ulama’ Ahli Sunnah pada hari ini yang banyak mempertahankan aqidah Ahli Sunnah dari serangan musuh-musuh terutama dari golongan salafi/wahhabi.

Guru pertama beliau ialah Syeikh Ibrahim Yahya rahimahullah ketika di peringkat menengah, merupakan seorang kafif (tidak dapat melihat) dan amat mencintai bahasa arab. Beliau mula mengenali dan mencintai hadis dan ilmu-ilmunya melalui guru beliau ini. Kemudian beliau berguru dengan Syeikh Ahmad Isa 'Asyur as-Syafi'e rahimahullah, merupakan mufti bagi Jam'iyyah as-Syar'iyyah (NGO Mesir) . Beliau mempelajari fiqh dan nahu darinya. Dalam masa yang sama beliau menghadiri pengajian bersama Syeikh Muhammad Mustafa @ Hamid Abu al-'Ula, Syeikh Muhammad al-Hafiz at-Tijani, Syeikh Muhammad Najib al-Muti'ie, Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, dan Syeikh Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari rahimahumullah.


Syeikh Mahmud (kanan) dan Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari

Kemudian beliau meneruskan penggalian ilmu agama di Makkah al-Mukarramah dari tahun 1401 - 1406 H. Beliau menggunakan sepenuh peluang untuk menuntut ilmu semasa di sana dan melazimi masjid al-haram siang dan malamnya. Guru beliau semasa di sana ialah Syeikh Muhammad Yaasin al-Fadani. Ketika belajar dengannya, beliau menjadi murid istimewa gurunya itu. Apabila mengajar, Syeikh Yaasin pasti akan menyuruh beliau duduk di sebelah kanannya.


Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani rahimahullah

Antara masyayikh beliau semasa di Makkah ialah Syeikh Abdullah al-Lahji, Syeikh Ismail Usman az-Zein, Syeikh Ahmad Jabir, Syeikh Muhammad 'Iwadh az-Zubaidi rahimahumullah dan ramai lagi. Beliau mempelajari dari guru-gurunya dalam pelbagai disiplin ilmu seperti hadis, fiqh syafi'ie, tauhid, nahwu dan sorof, balaghah, dan sebagainya.

Ketinggian ilmunya khususnya dalam bidang hadis mendapat perhatian dan pujian dari ramai ulama’ besar dunia Islam. Seorang ulama’ yang tidak asing dalam dunia Islam, Sayyid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari menyatakan bahawa Syeikh Mahmud Said Mamduh telah menyelam dalam lautan hadis melalui jalan ahli hadis.


Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari

Beliau juga dianggap sebagai seorang mutafannin pada zaman ini kerana penguasaan dan kepakarannya dalam pelbagai bidang ilmu. Kitabnya menjadi hujjah pada zaman ini. Sebagai seorang yang meletakkan dirinya sebagai khadam hadith Nabi صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم dan ahli bait, beliau amat mencintai dan kuat mempertahankan ahli bait Rasulullah صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم.

Beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan telah berjaya menulis lebih dari 30 buah kitab. Di antara karyanya yang terpenting ialah:

  1. إسعاف الملحيّن بترتيب أحاديث إحيأ علوم الدين
  2. تحذير الخلف من كتب موضوعة على السلف
  3. رفع المنارة لتخريج أحاديث التوسّل والزيارة
  4. تنبيه المسلم إلى تعدّى الألباني على صحيح مسلم
  5. التعريف بجواز العمل بالحديث الضعيف
  6. وصول التهاني بإثبات سنيّة السبحة والرد على الألباني


"Semoga Allah memanjangkan umur beliau dalam rahmat-Nya dan diberkati segala amalan beliau."


* Terjemahan bebas dari kitab [عِقْد الجوهر فى علمأ الربع الأول من القرن الخامس عاشر] cetakan Darul Ma'rifah. Sila rujuk untuk maklumat tambahan biodata beliau.

Tuesday, July 14, 2009

Cara berpakaian menunjukkan imej dan peribadi seseorang

Apabila terbaca di blog sahabat akhi Nazrul mengenai kisah yang diceritakan oleh Fadhilatul Syeikhuna Al-Allamah Al-Adib Dr Fathi Abd Rahman Ahmad Hijazi hafizahullah, teringat satu kisah di antara kisah-kisah yang beliau sering kisahkan dalam halaqah pengajian beliau. Cerita-cerita yang disampaikan oleh Syeikhuna memang menarik dan ada kaitan dengan pengajian yang disampaikan ditambah pula dengan kefasihan bahasa arab beliau (dah nama ulama nahu, mestilah fasih...hehe) menyebabkan kisah yang disampaikan dapat dihayati dan masih berbekas dalam ingatan. Sekadar ingin berkongsi, kisah ini berlaku pada ketika zaman beliau belajar di Universiti Al-Azhar sekitar tahun 1960-70 an yang lalu.


Syeikh Fathi (paling kanan) semasa majlis maulid Saidina Husein radhiyallah anhu di Madhiyafah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi

Beliau menceritakan, "ada seorang pelajar kuliah farmasi Universiti Al-Azhar yang selalu bergaya dengan pakaian ulama Al-Azhar seperti yang kita selalu lihat. Pada suatu hari apabila hendak pulang ke kampung halamannya kerana musim cuti, dia mengenakan jubah dan serban yang menjadi tanda keizzahan ulama itu. Ketika dalam perjalanan pulang menaiki keretapi, dia dikerumuni oleh orang awam yang ingin bertanyakan kemushkilan dan permasalahan agama, akan tetapi dia tidak mampu untuk menjawabnya kerana dia bukanlah dalam pengkhususan ilmu agama, tetapi dalam bidang farmasi. Selepas kejadian itu, dia tidak lagi berani untuk berpakaian seperti itu lagi.

Berdasarkan kisah tersebut menunjukkan manusia sering menilai dari luaran lebih-lebih lagi melihat cara berpakaian seseorang. Apabila berpakaian seperti ulama terus dikatakannya ulama, apabila berpakaian selekeh terus dikatakan orang gila. Mungkin betul, mungkin tidak penilaian tersebut kerana itulah hakikat persepsi masyarakat sekeliling. Mereka akan memberi penghormatan kepada orang yang berpakaian kemas dan mencemuh orang yang berpakaian selekeh. Orang yang belajar agama sepatutnya pandai memilih pakaian yang menunjukkan keperibadiannya sebagai penuntut ilmu agama Allah Taala. Janganlah disebabkan salah memilih pakaian menyebabkan diri menjadi fitnah kepada agama. Teringat teguran ayahanda apabila saya memakai pakaian (hanya jersi bola) untuk keluar semasa sekolah menengah dulu. Ayahanda mengatakan pakailah pakaian yang menunjukkan seperti seorang pelajar agama. Terima kasih abah atas teguran itu.

Saya terkilan mendengar kata-kata seseorang yang pernah belajar di Mesir ini. Pada hari itu ada satu majlis taklimat untuk mahasiswa baru, dia menegur seorang pelajar yang berpakaian tidak sesuai dengan majlis yang akan dihadiri pegawai dari kedutaan dengan mengatakan bukannya nak pergi sembahyang mayat. Panas juga telinga saya ni. Kiasannya seolah-olah memburukkan pakaian orang yang nak menghadap Allah sedangkan majlis tersebut bukannya wajib, akan tetapi solat jenazah merupakan fardhu kifayah, yang mana wajib dilakukan apabila tidak ada sekumpulan yang melaksanakannya dan boleh berdosa kesemuanya apabila tidak dilakukan. Memang tegurannya itu ada benarnya kerana meraikan majlis, tetapi janganlah disamakan seperti itu. Mengapa tidak ditegur orang yang hendak solat, tetapi berpakaian selekeh? Sedih juga melihat orang yang tidak mengambil berat tentang pemakaian yang elok semasa hendak menghadap Allah tetapi mengambil cakna tentang etika pemakaian dalam majlis rasmi bersama VIP sehinggakan dibuat kursus mengenainya.

Satu lagi teguran yang membuat saya terkilan ialah apabila ada seseorang yang menegur pelajar baru juga dengan mengatakan jangan pakai kopiah dalam majlis bersama pihak kedutaan. Ingin juga bertanya kepada penegur tersebut, malu sangatkah berpakaian Islam ini? Memanglah kalau tak pakai kopiah pun tetap Islam juga, tapi pakaian tersebut merupakan antara syiar yang sepatutnya menjadi kebanggaan orang Islam. Tetapi kalau tak mahu pakai dengan alasan cepat kotor (almaklumlah Mesir ni banyak habuk), itu masalah lain. Cuba lihat kepada penganut agama yang batil selain Islam, kenapa mereka mampu untuk iltizam dengan pakaian rasmi mereka? Nabi kita menunjukkan cara berpakaian bagi seorang mukmin, kenapa kita malu untuk mencontohinya? Sedangkan pemakaian secara barat yang menjadi ikutan bahkan dibangga-banggakan pula dengan alasan dunia sudah berubah, kena up to date lah, dan 1001 alasan lagi.

Seringkali ada dikalangan manusia menyalahgunakan (kerana tak faham) hadis baginda nabi صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم untuk bebas berpakaian apa sahaja asalkan hati bersih, yang berbunyi :


(إن الله لا ينظر إلى أجسامكم ولا إلى صوركم , ولكن ينظر إلى قلوبكم)

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu. Tetapi Dia memandang hati kamu” [Hadith riwayat Bukhari & Muslim]

Islam itu mudah, tapi jangan terlalu ambil mudah. Janganlah disebabkan kita, Islam yang tercinta ini difitnah.

Sunday, July 12, 2009

Kewajipan beramal dengan sunnah


Ramai orang mengaku mencintai baginda nabi Muhammad صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم , namun berapa ramai dikalangan ummatnya yang benar-benar menghayati dan mengamalkan sunnah yang ditinggalkan baginda. Sunnah nabi pada akhir zaman ini banyak ditinggalkan dengan alasan bukannya wajib untuk diamalkan dan tidak akan berdosa dengan meninggalkannya. Kesibukan duniawi dan kesempitan waktu antara 1001 alasan yang dicipta untuk tidak beramal dengan sunnah walhal puncanya yang sebenar ialah malas. Tidak terasa malukah kita dengan nabi yang sentiasa merindui ummatnya sehinggakan disaat kewafatannya menyebut tentang ummatnya. Kita patut melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana menjadi ummat sayyidul anbiya' kerana banyak kelebihan yang kita perolehi berbanding ummat nabi-nabi terdahulu. Namun apakah tanda syukur kita sebagai ummat nabi khatimul anbiya' itu? Antaranya ialah dengan mengamalkan sunnah baginda baik dari segi zahir mahupun batin. Orang yang sentiasa beramal dengan sunnah sudah tentu akan sentiasa mengingati nabi tatkala melakukannya. Syeikhuna al-Allamah al-Murabbi Dr. Yusri Rushdi as-Sayyid Jabr al-Hasani hafizahullah mengatakan sunnah yang paling afdhal dilakukan ialah sunnah batiniyah seperti akhlak dan peribadi baginda berbanding sunnah zahiriyah.

Pada khutbah Jumaat yang baru lalu Fadhilat Syeikhuna membicarakan tentang perihal zuhud. Zuhud menurut beliau ialah "الرضا بالموجود , ولا يَبحثْ عن المفقود" iaitu redha dengan apa yang ada (yang dikurniakan Allah) , dan tidak mencari apa yang tiada. Beliau menceritakan tentang bagaimana zuhudnya baginda nabi ketika di suatu hari, nabi bertanya kepada Saidatina Aisyah tentang makanan yang ada untuk dimakan, lalu dijawab ummul mukminin tidak ada makanan untuk dimakan, maka baginda pun niat berpuasa pada hari tersebut. Kita dapat melihat qudwah baginda nabi yang redha dengan apa yang ada, dan tidak mencari makanan untuk dimakan. Beliau mempersoalkan kepada sidang hadhirin mengapa tidak dapat mencontohi akhlak baginda nabi sedangkan diri mengaku mencintainya.

Add Image
Antara sunnah nabi ialah baginda akan solat fardhu secara berjamaah di masjid dan akan pulang menunaikan solat sunat di rumah. Jika dilihat di Mesir, budaya solat berjamaah di masjid hidup pada setiap waktu sehinggakan hampir memenuhi ruang saf seperti sembahyang fardhu Jumaat berbanding masjid-masjid di Malaysia. Apa yang membuatkanku menjadi semangat dan tercabar untuk bersama berjamaah di masjid ialah apabila melihat dua insan yang begitu gigih melangkah kaki ke masjid. Keadaan ini berlaku di dua masjid berdekatan dengan tempat tinggalku di sini. Seorang daripadanya berbangsa arab, kakinya tempang, namun dia tetap gigih melangkah dalam keadaan terhuyung-hayang untuk menuju ke masjid setiap waktu. Manakala seorang lagi berbangsa Afrika, kedua kakinya tiada hingga ke paras lutut, tak pasti sama ada dipotong atau cacat sejak kecil. Dia juga tetap bersemangat melangkahkan kaki menggunakan tongkatnya untuk mengamalkan sunnah baginda juga pada setiap waktu solat. Terasa malu diri ini melihat keadaan mereka yang gigih mengamalkan sunnah dalam kepayahan, aku yang sempurna kejadian ini kadang-kadang tewas dengan keadaan. Para ulama mengatakan solat berjamaah di masjid lebih afdhal dari solat di rumah sekalipun secara berjamaah. Siapa lagi yang akan mengimarahkan rumah Allah jika tidak bukan hamba-hambaNya yang beriman bertepatan dengan firman Allah ;

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (at-Taubah:18)

Jangan hanya menunggu hari Jumaat baru hendak ke masjid. Amat rugi besar bagi kita jika tidak dapat merebut pahala sunnah ini, sekurang-kurangnya solat berjamaah di masjid sekali dalam sehari mengikut kemampuan. Orang yang berjalan kaki menuju ke masjid yang jauh akan mendapat pahala yang tinggi di sisi Allah. Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan berjalan kaki ke masjid, menunggu waktu solat selepas solat dan sebagainya jika dibelek dalam kitab-kitab hadis. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid (kerana sentiasa menuju ke masjid untuk sembahyang berjamaah) dijanjikan dengan lindungan payung rahmat Allah di hari yang tiada sebarang lindungan itu.

Antara sunnah baginda nabi صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم ialah tidak banyak bercakap, bercakap bila perlu dengan kadar hajat yang diperlukan, tidak pernah meninggikan suara, baginda tidak pernah bercakap benda yang tidak elok apatah lagi memaki hamun sesuai dengan martabat kemuliaan baginda sebagai seorang nabi Allah. Ucapan-ucapan sinis mengatakan kalau semua orang tak banyak bercakap, bercakap bila perlu maka tak ceria hidup. Ya benar, nabi juga ada masanya bergurau senda dengan para sahabat baginda tetapi bukannya setiap waktu berbanding dengan kita yang menjadikannya seumpama hobi. Sabda baginda dalam sepotong hadis :

(من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت)
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan juga hari kiamat,
maka ucapkanlah kata-kata yang baik atau (jika tidak mampu) hendaklah diam”


Itu sebahagian dari sunnah baginda dan banyak lagi kalau nak ditulis sunnah nabi yang tidak diketahui oleh kita melainkan dengan cara bertalaqqi dan sentiasa bersama dengan para ulama murabbi yang mursyid. Hanya dengan mereka kita dapat mengetahui bagaimana cara beramal dengan sunnah yang betul. Kesempatan untuk bersama dengan para ulama di Mesir ini membuatkanku semakin cinta dan merindui Rasulullah صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم . Ralatlah bagi orang yang belajar agama terutamanya orang yang mengaku sebagai pejuang dan pendakwah tetapi tidak beramal dengan sunnah.

"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)." (al-Hasyr : 7)

Daripada Abu Hurairah Abd al-Rahman ibn Sakhar radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda, “Apa yang aku larang kamu daripadanya, hendaklah engkau jauhkan diri daripadanya. Apa yang aku perintahkan kamu terhadapnya, maka hendaklah kamu lakukan ia dengan sepenuh kemampuan kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu, mereka menjadi binasa disebabkan oleh banyak persoalan mereka, serta khilaf perselisihan terhadap Nabi-nabi mereka” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Berbaik sangka sesama saudara dan hakikat kehambaan

Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani rahimahullah pernah berkata:

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih daik darimu. Ucapkan dalam hatimu :

"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".


Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :

"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".


Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):

"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):

"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan seorang yang jahil, maka katakanlah (dalam hatimu) :

"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia jahil (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya, dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak, dia tentu lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :

"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh, dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk (na'uzubillah min zaalik).

-------

Kesimpulannya ialah jika kita memahami hakikat kehambaan kepada Allah, maka tidak akan ada perasaan saling benci-membenci, berburuk sangka, fitnah, umpat-mengumpat sesama saudara seaqidah. Seseorang hamba itu akan cuba mencari kesalahan dirinya sendiri daripada sibuk mencari kesalahan saudaranya sendiri. Ini kerana dia mengetahui kenapa dia diciptakan dan mengetahui akan pembalasan dari Tuannya sepanjang tugasnya sebagai hamba memakmurkan bumi. Masing-masing akan berlumba membuat amal kebajikan untuk mencari ganjaran redho Allah dan ingatlah firman-Nya:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (az-Zaariyat:56)


Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat:13)

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB