Thursday, October 22, 2009

Kenangan bersama pewaris anbiya' yang tak akan dilupakan


Alhamdulillah…ucapan yang selayaknya buat pemilik alam ini atas segala nikmat yang dikurniakan. Syukur pada-Mu Ya Allah kerana memberi kesempatan untuk bersama-sama dengan hamba-hambaMu yang soleh dan bertaqwa iaitu pewaris anbiya’. Selama empat hari dari pagi hingga ke malam, Majlis Pembacaan Kutub Sittah siri pertama yang dimulakan dengan Kitab Sohih al-Bukhari. Sebanyak 1,772 hadis sempat dibaca dalam tempoh 4 hari, lumayan juga walaupun mustahil untuk menghabiskan sejumlah 7,563 hadis dalam tempoh itu. Itupun sudah keletihan bagi kami yang hanya mendengar apatah lagi bagi para Masyayikh yang membacanya, namun mereka langsung tidak menunjukkan keletihan mereka, bahkan terlalu gembira. Syaikhuna Dr. Yusri al-Hasani hafizahullah menceritakan beliau menghabiskan pembacaan Kitab Sohih al-Bukhari dengan guru beliau Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari rahimahullah hanya dalam tempoh 3 hari! Itupun padat, bermula sesudah solat subuh hinggalah 12 pagi, hanya berhenti solat dan makan pun ala kadar sahaja.
Syukur pada-Mu ya Allah…saya hampir-hampir tidak sempat menyertai majlis yang mulia seperti ini disebabkan beberapa faktor. Hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya hati ini pada awalnya. Namun tetap berdoa kepada Allah supaya diberi kesempatan untuk duduk di dalam majlis yang penuh keberkatan ini. Pagi Sabtu itu (hari pertama majlis) saya yang merasakan sudah tiada tempat hanya memandang sayu, cemburu kepada teman-teman yang lain bersiap untuk ke majlis tersebut. Tiba-tiba interkom rumah berbunyi, Akhi Shohib Arrumi (Ketua Unit Pendaftaran) memaklumkan ada tempat kosong menggantikan teman yang tidak dapat menghadirinya [terima kasih Shohib!!]. Alhamdulillah kerana Allah mendengar permintaan hambaNya yang faqir ini. Jika tidak dapat menyertai majlis ini, saya akan menyesal seumur hidup dan menyalahkan diri sendiri. Gembira bukan kepalang mendapat khabar tersebut lantas menutup PC dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri mencontohi para ulama’ seperti al-Imam Malik radhiyallah ‘anhu yang akan membersihkan diri dan memakai pakaian yang terbaik sebelum memasuki majlis yang memperdengarkan kalam-kalam Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Alhamdulillah sepanjang 4 hari majlis berlangsung, al-faqir dapat berada dibarisan paling hadapan, betul-betul di hadapan kaki Masyayikh. Fikir saya, jika pihak JPMK tidak menghalang majlis ini diadakan di Azhar Conference Center (ACC), mustahil untuk al-faqir duduk dihadapan sebegitu (mungkin itu hikmahnya terhadap apa yang berlaku, namun tetap tidak bersetuju atas tindakan tidak professional JPMK itu), dapat juga berkhidmat kepada para ulama’ walaupun sedikit. Saya sebenarnya begitu cemburu kepada sahabat-sahabat yang dapat berkhidmat kepada para ulama’ sepanjang program berlangsung. Alhamdulillah, masing-masing berebut untuk memberi khidmat yang terbaik kepada ulama’.
Saya begitu kagum dengan semangat para ulama’ yang menghadirkan diri hanya untuk membaca hadis. Hati ini bertambah semangat untuk menuntut ilmu apabila melihat Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani al-Husaini hafizahullah sanggup datang dari Iskandariah dan bermalam di Kaherah selama 3 hari, Syeikh Dr. Yusri al-Hasani hafizahullah sanggup mengambil cuti walaupun sibuk (beliau merupakan seorang doktor pakar bedah di sebuah hospital swasta), begitu juga dengan para masyayikh yang lain. Apa yang menggembirakan lagi ialah hampir kesemua Masyayikh yang terlibat merupakan Ahlul Bayt (nasab keturunan mereka sampai kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم).
Majlis penutup yang diadakan di Nadi Riadhi, Hayyu Sadis menjadi kenangan terindah buat semua yang terlibat dan tak akan dilupakan. Kehadhiran Mufti Mesir al-Imam al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah hafizahullah menjadi penyeri majlis. Saat beliau tiba di muka pintu, terzahir keizzahan ulama diwajahnya. Sebelum beliau tiba, setiap seorang dari Masyayikh memberi taujihat kepada semua peserta. Cukup menyentuh perasaan setiap kalam dari mereka, terutamanya dari Syaikhuna Usamah al-Azhari yang membuat hati ini tersentuh dan sebak tatkala membicarakan cinta dan kasih kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Pada permulaan majlis lagi saya dapat melihat Syaikhuna Dr. Yusri bergenang air matanya. Saya dapat rasakan beliau menangis kerana kerinduan yang amat sangat kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, mungkin juga tangisan kerinduan kerana majlis yang sebegini sudah lama tidak diadakan mengingatkan kembali kepada guru-gurunya terutamanya Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari dan sebagainya . Sungguh sebak melihat keadaan ini. Fadhilat al-Mufti dalam ucapannya menceritakan tentang Imam al-Bukhari radhiyallah ‘anhu, tentang sanad tertinggi Sohih al-Bukhari yang beliau ambil dari guru-gurunya seperti Syeikh Yasin al-Fadani, Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari, Syeikh al-Hafiz at-Tijani rahimahimullah dan sebagainya. Beliau juga memberikan ijazah ‘ammah kepada para hadhirin. Apa yang dapat dilihat, kesemua masyayikh gembira dan memuji majlis seperti ini, menghidupkan kembali sunnah yang telah lama ditinggalkan. Malam tersebut memang tak akan dilupakan kerana dapat bersama para ulama' yang dikagumi.
 “Sedetik bersama ulama lebih bermanfaat dari seribu tahun bersama umara’(pemimpin)“. Alhamdulillah kerana jika saya sudah pulang ke tanah air, sudah tentu tidak dapat menyertai majlis yang penuh keberkatan ini. Mungkin itu hikmahnya atas ujian yang menimpa diri ini. Amat rugi bagi sesiapa yang pernah belajar di Mesir, tetapi tidak mendapat sanad kutub sittah terutamanya Sohih al-Bukhari (kitab yang paling sohih selepas al-Quran) tambahan pula dari sanad tertinggi melalui generasi ulama yang ada sekarang, kebanyakannya sudah berumur. Itupun bagi mereka yang betul-betul menyedari akan kepentingan sanad yang tinggi nilainya dan keberkatannya, bagi mereka yang tidak punya perasaan seperti itu apakan daya. Kadang-kadang pelik juga, apabila seminar yang menjanjikan imbuhan tertentu sanggup korbankan masa, tetapi bila program sebegini dan terpaksa mengeluarkan duit, buat tak tahu pula. Dibangganya pula dapat bersama dengan pegawai kerajaan. Entahlah.
Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir  (PMRAM) terutamanya anggota pelaksana program (add-hock) yang bertungkus lumus menjayakan majlis yang bersejarah lagi mulia ini. Tanpa usaha kalian mana mungkin majlis berjalan lancar. Moga usaha tersebut menjadi timbangan berat mizan kebajikan di akhirat kelak.
Tidak dilupakan juga ucapan tahniah kepada individu yang mencetuskan idea untuk menghidupkan sunnah yang sudah lama ditinggalkan ini iaitu Ustaz Khairul Anwar Ismail (mantan Presiden PMRAM 08/09) seperti mana yang diceritakan oleh Ust Hairul Nizam sebelum majlis ini diwar-warkan kepada umum. Semoga setiap yang menyumbang walau sedikit dalam menjayakan majlis ini mendapat ganjaran yang selayaknya dari Allah. Syaikhuna Muhammad Ibrahim al-Kattani menceritakan majlis pembacaan hadis Sohih al-Bukhari penuh keberkatan berdasarkan pengalaman yang beliau lalui. Semoga keberkatan para masyayikh akan melimpah kepada kita hendaknya. Sama-sama kita menunggu sambungan pembacaan Sohih al-Bukhari sehingga tamat. Moga kita diberi kekuatan dan semangat untuk meneruskan usaha yang mulia ini.
Tahniah PMRAM!!!
 ---------------------
Galeri Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri 1
Barisan ulama murabbi
Alhamdulillah...di saf hadapan
 Bangga bercampur terharu, dua sahabat seperguruan Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari di atas satu pentas, Syeikh Yusri 2 tahun muda dari Syeikh Ali Jum'ah.
 
Syeikh Usamah al-Azhari, ulama muda yang dikagumi, anak murid kesayangan al-Imam al-Allamah merangkap menantu Syeikh Yusri al-Hasani
Pewaris Anbiya'
al-faqir betul-betul dihadapan Syeikh Ali Jum'ah
* Gambar Ihsan dari blog Laman Kutub Sittah PMRAM dan kredit kepada unit fotografi & dokumentasi program.

Nota:

Sekadar makluman, kelas Sohih al-Bukhari di Masjid al-Azhar oleh Syeikh Yusri setiap hari Sabtu, jam 10.15 pagi..ayuh ramaikan majlis tersebut.

Thursday, October 8, 2009

Masjid al-Aqsa semakin dalam bahaya

Malam semalam, saya sempat menonton rancangan ar-Radd al-Jamil di siaran TV satelit Iqra’. Rancangan tersebut merupakan sebuah rancangan untuk menjawab persoalan dan keraguan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam selain berkaitan isu semasa yang menyentuh hal umat Islam. Cuma sedikit terkilan kerana rancangan tersebut sudah di penghujung siaran kerana terlupa. Rancangan yang amat bermanfaat tersebut merupakan rancangan mingguan yang ditayangkan secara langsung pada setiap malam Khamis, dan akan diulang siarannya pada pagi Jumaat. Rancangan tersebut menjemput seorang tokoh pemikir Islam yang tidak asing lagi iaitu Dr Muhammad ‘Imarah hafizahullah. Beliau merupakan salah seorang di antara ulama-ulama’ Mesir yang lantang mempertahankan kesucian dan keindahan Islam dari fitnah dan keraguan yang ditimbulkan oleh para orientalis dan sekutunya. Beliau juga merupakan ahli lembaga Majma’ Buhus al-Islamiyyah bil Azhar as-Syarif ( Pusat Penyelidikan Islam al-Azhar as-Syarif). Tajuk yang dibincangkan pada rancangan tersebut ialah mengenai isu semasa mengenai kedudukan al-Quds al-muhtal-lah dan Masjid al-Aqsa yang semakin dalam bahaya.

Apa yang ingin diutarakan di sini ialah, betapa tegasnya beliau dalam permasalahan yang menjadi tanggungjawab setiap umat Islam ini. Beliau begitu marah dengan pendirian sebahagian ulama’ , para pemimpin negara Arab dan Islam, media massa yang bersikap tidak acuh dalam menangani musibah ini. Beliau menempelak mereka kerana dalam keadaan Masjid al-Aqsa dalam bahaya akibat penggalian bawah tanah masih lagi membincangkan umur taafihah (hal-hal yang remeh temeh) seperti masalah niqab dan yang seumpamanya. Sehinggakan pengacara memintanya untuk meminum air kerana suaranya sudah serak-serak. Beliau menegaskan adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap muslim untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa walaupun hanya seorang muslim biasa. Pengacara tersebut bertanyakan dimanakah peranan ulama’ , pemimpin, dan pegamal media dalam isu ini. Mudah saja dijawabnya, “kalau saya kata wajib mempertahankan bagi muslim yang awwam , maka peranan bagi mereka yang disebutkan adalah tersangat-sangat diperlukan dan wajib”.

Antara fakta yang dibentangkan beliau

Keratan akhbar yang menyiarkan kenyataan Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi hafizahullah

Beliau juga mendedahkan bahawa puak Yahudi sebenarnya sudah mengetahui tiadanya Haikal Sulaiman seperti yang didakwa mereka. Haikal tersebut hanyalah dongengan yang direka-reka untuk membolehkan niat jahat mereka meruntuhkan masjid yang menjadi kiblat pertama bagi umat Islam dan tempat persinggahan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم sebelum dimi’rajkan ke langit.

Saya begitu kagum dengan manhaj wasatiyyah yang dibawakan oleh beliau tetapi tegas. Beliau merupakan tetamu jemputan yang wajib bagi rancangan tersebut. Setiap kali beliau datang, pasti dihadapannya penuh dengan nota-nota, keratan akhbar, buku-buku dan apa sahaja sebagai bukti dan fakta yang akan dibahaskan. Rugi kalau sesiapa yang mempunyai TV satelit tetapi tidak menonton rancangan ilmiah yang sangat bermanfaat seperti itu. Kadang-kadang kecewa juga, apabila dibuka filem dan seumpamanya, ramai yang bertandang, tetapi apabila dibuka rancangan ilmiah seperti ini, ramai yang menyepikan diri.

Berbalik kepada isu Palestin kini, memang benar apa yang dikatakan oleh Dr Muhammad ‘Imarah itu. Umat Islam hari ini suka membincangkan hal-hal yang remeh temeh, bergaduh sesama sendiri dalam isu yang tidak sepatutnya, saling salah menyalahkan antara satu sama lain dan sebagainya. Lihat sahajalah pemimpin-pemimpin Negara Arab dan Islam yang hanya melihat sahaja tanpa tindakan yang pro-aktif. Persidangan demi persidangan di adakan, namun tiada hasil, hanya berani mengeluarkan resolusi mengutuk kekejaman Israel dari jauh. Manakala jutawan-jutawan Arab membazirkan wang mereka ke tempat yang tak sepatutnya. Kita dapat lihat kini, sudah menjadi trend kepada mereka membeli kelab-kelab bola sepak ternama dunia hanya untuk keuntungan peribadi mereka sahaja. Alangkah bagusnya jika wang tersebut dihulurkan kepada saudara seaqidah yang memerlukan terutamanya di Palestin.

Pada beberapa hari yang lalu, Syeikh Raa’id Solah hafizahullah (gambar), tokoh yang banyak memperjuangkan al-Quds dan Masjid al-Aqsa supaya dibebaskan dari Yahudi telah ditangkap pihak berkuasa Yahudi. Beliau dijatuhkan hukuman oleh mahkamah Israel daripada memasuki bandar al-Quds selama 30 hari. Bersama beliau puluhan lagi yang ditangkap. Semoga mereka diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang hebat ini. Sama-sama kita doakan dan banyakkan solat hajat agar Allah azza wajalla memberikan kemenangan kepada saudara-saudara seaqidah kita di sana. Hanya itu yang kita mampu lakukan selain sumbangan material yang terlalu kecil. Yakin dan percayalah janji Tuhan pasti berlaku.

Kita sudah lama bersuka ria, tetapi saudara-saudara kita di sana sudah lama menderita.

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB