Thursday, February 25, 2010

Majlis Memperingati Maulidunnabawi 1431 H




قال أحمد شوقي في مولده‏:
ولد الهدى فالكائنات ضياء    وفم الزمان تبسم وثناء
الروح والملأ الملائك حوله   للدين والدنيا به بشراء
     بك بشر الله السماء فزينت     وتضوعت مسكا بك الغبراء
يوم يتيه على الزمان صباحه   ومساؤه بمحمد وضاء
          ذعرت عروش الظالمين فزلزلت   وعلت على تيجانهم أصداء

Petikan ucapan Syeikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki rahimahullah mengenai hikmah 
dan fadhilat baginda Nabi dilahirkan pada bulan Rabi' al-Awwal
 

Petikan ucapan Syeikh Dr Ramadhan al-Bouti hafizahullah mengenai hukum sambutan Maulidurrasul

Sukacitanya dimaklumkan bahawa Majlis Sambutan Malidurrasul 1431akan diadakan seperti berikut :
Tarikh   : 11 Rabi' al-Awwal 1431 bersamaan 25 Februari 2010 (Khamis)
Masa       :  Selepas asar
Tempat : Madhyafah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi (berhadapan Univ. al-Azhar as-Syarif)

Antara masyayeikh yang akan hadir :

Syaikhuna Dr. Yusri Rushdi as-Sayyid Jabr al-Hasani

Syaikhuna Dr. Toha ad-Dusuqi Hubaishi al-Husaini

Syaikhuna Dr. Mustofa an-Nadwi al-Husaini(pernah berguru dengan Maulana Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi & Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahumallah)


Syaikhuna Dr. Jamal Farouq ad-Daqqaq al-Hasani serta ramai lagi ulama' yang akan turut hadir.

p/s : Sekadar melaksanakan amanah yang diberikan oleh Syeikh Yusri anak kepada Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi rahimahullah yang bersambung nasab keturunan mereka kepada sahabat Nabi , Sayyiduna Umar al-Khattab radhiyallah 'anhu untuk disampaikan kepada sahabat-sahabat. Jemputan untuk semua.


*******
Tarikh   : 12 Rabi' al-Anwar 1431 bersamaan 26 Februari 2010 (Jumaat)
Masa      : Selepas solat Jumaat   
Tempat : Masjid al-Asyraf, Jabal Muqattam

Majlis bersama Syaikhuna Dr. Yusri Rushdi as-Sayyid Jabr al-Hasani, Syaikhuna Dr. Jamal Farouq ad-Daqqaq al-Hasani dan Syaikhuna Dr. Usamah as-Sayyid al-Azhari hafizahumullah. Jemputan untuk semua.
Nota : Jika Abu Lahab la'natullah pun diringankan azab disebabkan kerana bergembira dengan kelahiran baginda, apatah lagi bagi kita yang beriman dengan baginda Nabi 


Thursday, February 18, 2010

Syarat Mendapat Keberkatan Ilmu : Jaga Adab!


Alhamdulillah...segala puji selayaknya bagi pemilik alam semesta ini. Ucapan syukur juga kepada Allah kerana masih memberikan kesempatan waktu untuk turut serta di dalam halaqah bersama ulama yang mana disebut baginda Nabi  ﷺ salah satu daripada taman-taman syurga.


Sudah 2 hari Majlis Tafaqquh Fiddin yang dikendalikan oleh Syaikhuna Murabbi Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki hafizahullah berlangsung. Saban tahun beliau berulang-alik (2 kali dalam setahun) dari Bogor, Indonesia ke Kaherah semata-mata untuk mencurahkan mutiara ilmu. Betapa besarnya pengorbanan yang beliau curahkan kepada kita. Semoga Allah mengganjari beliau dengan sebaik-baik ganjaran. Teringat bagaimana kisah para sahabat baginda Nabi,dan generasi ulama salaf dalam menuntut ilmu. Saidina Jabir ibn Abdullah radhiyallah ‘anhu bermusafir ke Syam bertemu Saidina Abdullah ibn Unais radhiyallah ‘anhu semata-mata untuk bertanyakan satu hadis. Allahu Allah sungguh besar  himmah dan pengorbanan mereka. Tetapi keadaan sekarang seolah-olah sudah terbalik, Sang Murabbi sanggup datang jauh beribu batu untuk menyampaikan mutiara hadis. Manakala para santri cukup hanya bergerak sekadar beberapa minit menuju ke tempat pengajian. Jika ada yang masih tidak mampu meluangkan masa hanya 2-3 jam sehari untuk bersila menghadap Sang Murabbi, entahlah apa yang hendak dicakapkan lagi. Mungkin menunggu Allah mencampakkan hidayahNya. Al-Imam Syafie radhiyallah 'anhu di dalam salah satu bait syairnya menyuruh supaya takbir 4 kali (isyarat untuk solat jenazah) kepada mereka yang malas menuntut ilmu.

Alhamdulillah diberi kesempatan untuk duduk dalam halaqah pada hari yang pertama. Syaikhuna begitu bersemangat dalam menyampaikan ilmu sama keadaan beliau sewaktu al-faqir mula mengenali beliau lebih kurang 12 tahun yang lalu. Namun pada hari kedua tidak dapat mengikuti pengajian dari awal, hanya sempat mengikuti pada pertengahan majlis kerana ada pengajian lain di Madhyafah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi. Oleh kerana ruang dewan sudah penuh, maka terpaksalah untuk naik ke atas yang mana disediakan televisyen. Mujurlah disediakan TV, jika tidak kurang puas bertafaqquh kerana tidak dapat menatap wajah sang murabbi. Jazakumullah kepada krew Al-Muttaqin TV.

Apa yang dikesali ialah kurangnya adab sebahagian para penuntut ilmu. Jika di dewan, tidak berani untuk berbuat sesuka hati kerana menghadap Syeikh secara langsung, itupun ada yang tertidur sehingga ditegur Syeikh. Beliau memang tegas dalam adab menuntut ilmu. Namun keadaan tidak sama di atas. Ada yang menyandar, melunjurkan kaki, bermain handphone, bersembang dan tidur. Bagaimana pula  yang menonton secara langsung di internet?(mungkin tidak semua). Geram dan terkilan melihat keadaan tersebut. Masalahnya bukan tidak dilihat oleh Syeikh, kita boleh buat apa sahaja dalam majlis ilmu. Isunya ialah tidak menghormati kalamullah dan kalam baginda Nabi  itu sendiri. Para ulama al-Azhar sering berpesan untuk menghormati hadis yang sedang diriwayatkan seolah-olah hadis tersebut disampaikan sendiri oleh Nabi di hadapan kita. Sebagai contoh para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ‘ajma’in ketika mana duduk berhadapan dengan Nabi  semasa baginda menyampaikan tazkirah, mereka langsung tidak bergerak seolah-olah burung yang hinggap di kepala mereka pun tidak akan terbang semula. Syeikh Abdul Salam Habus rahimahullah,  seorang ulama’ qiraat kelahiran Mesir dan meninggal dunia 2 tahun lalu di Kuwait, ketika mana beliau dibacakan al-quran, lantas bangun dari pembaringannya sedangkan beliau dalam keadaan sakit dan disuruh semula untuk baring namun beliau menjawab adakah layak kalam Allah dibacakan sedangkan aku berbaring tidak menghormatinya.

Syeikh Abdul Salam Habus rahimahullah..pernah bermimpi bertemu dan mengucup kepala baginda nabi ﷺ 

Syaikhuna Muhammad Nuruddin akramahullah merupakan antara murabbi pertama al-faqir selepas ayahanda dan bonda dalam mendidik adab di dalam majlis ilmu. Masih segar di ingatan ketika kami bertafaqquh dengan syaikhuna 10 tahun  yang lalu di Ma’had Tahfiz ‘Amal Aimi yang berdekatan dengan sekolah waktu itu. Seorang senior yang duduk di hadapan al-faqir dimarahi oleh Syeikh Nuruddin hanya kerana bertanya kepada kawannya apa yang beliau terlepas dengar dari syeikh. Memang takut waktu itu. Satu lagi yang menjadi kepantangan syeikh ialah anak murid melihat jam semasa pengajian. Boleh jadi syeikh akan menghentikan pengajian serta-merta. Begitulah ketegasan beliau mendidik kami dalam menghormati majlis ilmu. Memori bertafaqquh waktu itu menjadi nostalgia yang tidak akan dilupakan.

Keberkatan di dalam menuntut ilmu ialah dengan menjaga adab yang selayaknya dengan para guru kita selain memberikan khidmat kepada mereka. Mungkin kita tidak nampak keberkatan dalam tempoh yang singkat, kemungkinan di masa hadapan kita akan merasainya. Allah jualah yang akan memberinya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Maka sama-samalah kita menjaga adab sebagai seorang penuntut ilmu walau di mana jua sekalipun dalam mencari redho Ilahi.

p/s: Jangan hanya  bertafaqquh secara bermusim, tetapi jadikan ianya secara berterusan. Alangkah ruginya jika datang ke tempat yang dianggap sebagai kiblat ilmu yang penuh barakah tetapi dibuat sambil lewa membuang masa yang tidak sepatutnya bagi seorang penuntut ilmu.


Nota : 


Gembira melihat Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah menziarahi tanah airku, tambahan kebanyakan majlis dibuat di negeri Kedah dan bekas sekolahku. Alhamdulillah.

Thursday, February 4, 2010

Mencari Keberkatan Ilmu

Alhamdulillah wa syukru lillah…hari ini khatam  kitab Syifa' al-Ghalal Fi Syarh Kitab al-`Ilal yang digabungkan di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi syarah Jami’ Tirmizi. Kitab Tuhfatul Ahwazi  tamat 2 minggu yang lalu. Tempoh bacaan kitab tersebut (semuanya 9 jilid) adalah selama 4 tahun, bermula pada 12 Februari 2006 hinggalah 4 Februari 2010. Esok hari, Jumaat ‘sayyidul ayyam’ yang penuh barakah akan disambung bacaan mutiara kalam Rasulullah melalui kitab Sunan Abi Daud. Dibaca pula di waktu pagi yang mana baginda Nabi mendoakan keberkatan kepada umatnya yang mengerjakan amal ibadah di waktu pagi. Ya barakah!

 
"Ku lihat dia, ku ingat Allah dan RasulNya"

Melihat kepada semangat  Syaikhuna al-Muhaddis Dr. Yusri al-Hasani hafizahullah membaca dan mensyarahkan hadis  memberi semangat dan kecintaan al-Faqir terhadap mutiara kalam Rasulullah . Beliau begitu istiqamah tanpa jemu. Manakan tidak, hari yang bekalan elektrik terputus pun beliau tetap membacakannya bertemankan cahaya lilin. Begitulah rutin beliau setiap hari kecuali beberapa hari yang beliau terpaksa bermusafir jauh dan bermalam di sana. Memang benar kalam al-Imam Ibnu ‘Ato’illah as-Sakandari rahimahullah di dalam kitab hikamnya :

لا تَصْحَبْ مَنْ لا يُنْهِضُكَ حالُهُ وَلا يَدُلُّكَ عَلَى اللهِ مَقالُهُ.
Ertinya : Janganlah kamu bersahabat/bersama dengan mereka yang tidak menaikkan semangatmu dengan hal keadaan mereka, dan tidak menunjukkan (mengigatkanmu) kepada Allah dengan setiap perkataannya.


Saya pernah ditanya seorang sahabat dari negara Kyrgystan mengenai perihal Syaikhuna Dr. Yusri. Beliau hairan dan terkejut bagaimana seorang doktor pakar bedah boleh meriwayatkan hadis. Saya mengatakan apa salahnya seorang doktor meriwayatkan hadis jika beliau benar-benar menuntut ilmu yang sahih dari para ulama’ yang muktabar. Lihat disini. Apa jua bidang yang diceburi bukanlah penghalang untuk seseorang itu menuntut ilmu agama dan menyebarkannya. Bahkan ianya dipuji kerana bukan mudah untuk seseorang itu menggabungkan ilmu dunia dan akhirat dalam satu-satu masa. Tetapi perlulah mengambil ilmu tersebut dari para ‘alim-ulama’  yang diyakini keilmuan mereka.

Jika diselak pada lembaran sejarah kegemilangan Islam pada satu ketika dahulu, ramai para ilmuan yang bukan sahaja pakar dalam bidang agama, bahkan dalam masa yang sama menguasai dalam pelbagai bidang. Siapa yang tidak kenal dengan al-Imam Ibnu Sina, al-Imam al-Khawarizmi, al-Imam Ibnu Nafis dan lain-lain. Mereka adalah perintis kepada ilmu sains yang mana menjadi rujukan sehingga kini. Dalam masa yang sama, mereka juga alim dalam bidang agama, namun disebabkan mereka adalah perintis dalam bidang sains dan perubatan menyebabkan mereka lebih disanjung sebagai tokoh sains. Begitu juga dengan tokoh-tokoh Islam yang lain, jika hendak disebut satu persatu nama serta keilmuan mereka, pasti memakan masa yang panjang. Mereka yang mencari dan mengkaji pasti akan menjumpai bagaimana kehebatan ulama terdahulu yang menguasai pelbagai bidang.

Berbalik kepada perihal Syaikhuna Dr. Yusri, kejayaan beliau pada masa kini disebabkan doa dan keberkatan dari para guru yang beliau dampingi selain dari usaha beliau sendiri. Beliau pernah menceritakan kisah beliau pada permulaan menuntut ilmu agama. Kisah ini beliau ceritakan ketika kami sama-sama beriktikaf di Masjid al-Asyraf pada 10 terakhir Ramadhan yang lalu. Semuanya bermula ketika beliau sedang menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah. Sampai satu ketika beliau seakan-akan sudah hilang minat untuk belajar perubatan dan ingin mendalami bidang agama. Beliau terus bertanyakan kepada guru beliau al-Hafiz Abi al-Fadhl Abdullah as-Siddiq al-Ghumari rahimahullah bagaimana hendak dilakukan, sama ada terus belajar medic atau belajar agama sahaja. Guru beliau bertanyakan kembali apakah yang benar-benar beliau ingin belajar. Lantas beliau menjawab ilmu agama. Namun  gurunya menyuruh beliau untuk terus belajar medic dan berkata Allah sudah menetapkan kamu untuk menjadi doktor, maka hendaklah kamu terima dengan sabar dan redha sambil berkata :

إقنع بما أقامك الله , تكن أڠــنى النــاس

Ertinya : Terima (dengan redho) apa yang Allah telah tetapkan kepada kamu, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya.

Lihatlah apa hasilnya kini, beliau bukan  sahaja boleh membedah dan merawat orang sakit, tetapi juga boleh ‘membedah dan merawat’ orang sihat. Setiap kalam beliau menusuk ke dalam jiwa mereka yang berakal. Firman Allah s.w.t ;


Maksudnya : Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.
 
Beliau juga sering berpesan supaya sentiasa istiqamah dalam amal ibadah walau sedikit. Teringat sewaktu beliau mengijazahkan hizib bahar dan hizib al-Imam Nawawi di Masjid al-Azhar 2 tahun lalu. Beliau berpesan supaya berterusan mengamalkannya kerana banyak keberkatan dan faedah pada hizib tersebut. Beliau menceritakan bahawa beliau dan keluarganya pernah terlibat dengan kemalangan di Iskandariah beberapa tahun yang lalu. Jika dilihat kepada keadaan kereta yang remuk, pasti ramai mengatakan tidak ada harapan untuk hidup, namun dengan kuasa Allah, beliau selamat dari musibah tersebut. Begitulah kelebihan kepada mereka yang sentiasa melakukan amal ibadah dengan istiqamah kerana Allah bersama dengan hamba-hambaNya yang melakukan sesuatu amalan dengan tekun dan berterusan walaupun sedikit. Semoga keberkatan yang ada pada beliau melimpah dan tempias kepada kita.

Monday, February 1, 2010

Ya Allah...Sembuhkannya Dengan Keberkatan KekasihMu

Alhamdulillah selesai sudah imtihan semester pertama bagi sesi 2009/10 Universiti al-Azhar as-Syarif. Al-faqir mengharapkan doa dari kalian kerana doa sahabat kepada sahabat tanpa pengetahuannya dimakbulkan Allah, juga mengharapkan dengan keberkatan dan kemuliaan baginda Nabi Muhammad   akan memberi kejayaan kepada kita di dunia dan diselamatkan dari azab akhirat. Kadang-kadang terasa malu untuk menadah tangan yang hina ini kepada Allah untuk meminta itu dan ini kerana terkadang juga sering alpa dan lalai mengerjakan segala perintahNya…ya Rabb ampunilah dosa-dosa kami dengan kemuliaan kekasihMu!!

Ketika kami sudah berjaya mengharungi imtihan yang belum diketahui natijahnya bagaimana (insyaAllah kullu bikhair), sahabat kami Abdullah bin Yahya masih lagi bertarung nyawa menghadapi ‘imtihan’ yang amat perit dilihat oleh mata. Beliau sekarang terlantar di Hospital ‘Ain Syams kerana dijangkiti kuman di dalam perut selain kegagalan buah pinggang berfungsi. Sudah 4 hari beliau ditahan di wad sejak Jumaat yang lalu. Ketika menziarahi beliau semalam, sebak melihat keadaannya yang tidak bermaya.  Sudah beberapa hari beliau tidak berselera untuk menjamah makanan. Rasa kasihan apabila mendengar bagaimana sahabat yang menemaninya menceritakan bagaimana beliau dirawat oleh doktor arab. Sangat kasar dan sadis! Sukar untuk menceritakannya. Terbayang betapa perit beliau menanggung siksa itu.Ya Rabb.

Abdullah Yahya (tengah) seusai solat eidul adha 2 tahun lepas..

Beliau merupakan anak kepada seorang tuan guru yang disegani di Kedah. Terhimbau memori ketika al-faqir dan beberapa orang sahabat sempat bertalaqqi dengan ayahnya Tuan Guru Yahya bin Sha'ari ataupun lebih mesra dipanggil baba sebelum menjejakkan kaki ke Mesir pada 2004 yang lalu. Ayahnya pernah menuntut di Makkah sekitar tahun 60-90 an dahulu dan menyambung pengajian  di Mesir dalam bidang Syariah Islamiah. Sekarang bertugas di Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena. Permukiman kami di pondok beliau selama sebulan terhenti sejak beliau mendapat tawaran untuk mengajar di situ.

Semoga beliau tabah dan sabar menghadapi dugaan ini. Setiap ujian itu ada hikmahnya, Allah tidak akan menguji hamba-hambaNya yang dikasihi melainkan dengan tujuan untuk mengangkat kedudukan di sisiNya. Sama-sama kita doakan kepada Allah agar kesihatannya kembali seperti biasa. Firman Allah di dalam surah as-Syuu’ara’ ayat 80:


"Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku.

Sama-sama kita menjaga nikmat kesihatan kurniaanNya.
 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB