Saturday, March 27, 2010

Rokok : Bahaya Lagi Membahayakan!

Sewaktu santai-santai melayari Facebook petang tadi, terlihat link yang diletakkan oleh Ustaz Zaharuddin mengenai hukum merokok. Artikel tersebut telah lama disiarkan di laman beliau semenjak 2007. Isu mengenai hukum merokok telah lama diperdebatkan. Bagi perokok tegar sudah semestinya akan mencari 1001 hujah untuk membolehkan mereka terus dengan ketagihan yang sudah tentu tiada manfaat itu. Manakala bagi yang membenci asap rokok sudah memadai dengan beberapa hujah untuk mengharamkannya.



Al-faqir lebih cenderung dengan pendapat Syaikhuna Dr. Yusri Rushdi  al-Hasani akramahullah, seorang doktor perubatan yang juga pakar bedah. Beliau mengatakan merokok termasuk salah satu di antara dosa-dosa besar berikutan terdapat banyak mudharat yang saling berkait antara satu sama lain. Tambahnya lagi hukum rokok pada zaman dahulu adalah harus/makruh kerana kandungan rokok dahulu tidak memudharatkan. Selepas itu bertukar menjadi haram yang termasuk dari dosa-dosa kecil hinggalah menjadi salah satu daripada dosa-dosa besar. Ini berdasarkan kaedah fiqh, hukum  akan bertukar mengikut peredaran zaman. Beliau menceritakan ada ulama zaman dahulu yang juga menghisap rokok (jangan bayangkan seperti rokok zaman sekarang yang terkandung banyak bahan kimia kerana ramai yang menggunakan hujah ini untuk mengharuskan rokok!) untuk mengharumkan suasana tempat pengajian. Kandungan rokok pada zaman tersebut lebih kepada bahan pengharum dari bunga dan buah-buahan yang tidak tercemar dengan bahan kimia yang memudharatkan.


Teringat iklan kreatif yang menggambarkan betapa bahayanya rokok. Iklan tersebut menceritakan sekumpulan pekerja pejabat yang tidak dapat menahan ketagihan merokok. Mereka berhimpun beramai-ramai di balkoni pejabat untuk melepaskan gian kerana di dalam pejabat dilarang untuk berbuat demikian. Namun, ketika seorang rakan mereka menghampiri balkoni tersebut, tiba-tiba balkoni tersebut runtuh disebabkan terlalu ramai menyebabkan kesemuanya jatuh. Entah dari tingkat berapa pejabat tersebut. Lantas dia membatalkan niat untuk merokok. Ironinya, iklan tersebut dibikin oleh orang kafir sendiri!Lagi bahaya rokok!

Cari penyakit!

Ketika menunggu kehadiran Syaikhuna Dr. Yusri Rushdi hafizahullah di Jami’ al-Azhar as-Syarif untuk mengajar Sohih al-Bukhari pagi tadi, tiba-tiba muncul seorang pak cik yang terkenal dengan perangai peliknya dan sering mengganggu majlis dan duduk berhampiran al-faqir. Dia mendakwa asap sebenar yang diharamkan ialah asap yang keluar dari kereta dan kilang-kilang bukannya rokok. Kami hanya mendengar sambil tersenyum sesama sendiri (nak ketawa tak sampai hati apatah lagi di dalam masjid) sambil mengingatkan pesanan Sang Murabbi supaya jangan mendengar dan berdebat dengan orang seperti itu. Sambungnya lagi, dia akan bertanya kepada Syaikhuna sendiri. Namun, sewaktu Syaikhuna tiba, dia menghilangkan diri entah ke mana. Namun di pertengahan majlis dia tiba semula, bimbang juga dia mengganggu majlis. Seusai pengajian, dia terus mendapatkan Syeikh untuk bertanyakan soalannya tadi. Seperti biasa Dr. Yusri tetap dengan jawapannya. Namun dia membangkangnya dengan hujah-hujah yang tidak masuk akal dan Syaikhuna membiarkan kerana hendak solat. Kami sangkakan pak cik tadi sudah tidak mahu berhujah, selepas solat Zohor, dia ‘menyerang’ lagi. Namun Syaikhuna sudah faham dengan halnya dan tidak mahu bercakap dengannya seraya melangkahkan kaki keluar masjid. Kami terpaksa menahannya dari terus bertengkar dengan Syaikhuna disamping untuk menjaga kehormatan masjid. Begitulah keadaan orang yang membuat hukum mengikut akal tanpa mengguna pertimbangan syara’ demi matlamat menghalalkan cara. Geram melihatnya yang langsung tiada adab dengan ulama, apatah lagi ulama yang diperdebatkannya merupakan keturunan Rasulullah .

Bukanlah niat al-faqir untuk menceritakan hukum berkaitan rokok dengan panjang lebar kerana sidang pembaca boleh membaca hujah-hujah yang dibincangkan dengan panjang lebar seperti mana link di atas. Cukuplah peringatan yang diberikan dari Sang Pencipta di dalam surah al-Baqarah ayat 195 :
 "dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan"

Thursday, March 11, 2010

Berbahagialah wahai Sang Imam dalam rahmat Allah



Pagi Rabu itu sekitar jam 10.45 pagi waktu Mesir, al-faqir seperti biasa melayari laman-laman berita maya untuk mengetahui isu-isu semasa baik di tanah air tercinta mahupun hal ehwal yang berlaku seantero dunia. Ketika melayari laman berita berbahasa arab al-Masry al-Youm, mata terpaku kepada satu tajuk mengenai wafatnya Syaikhul Azhar di Riyadh. Seakan-akan tidak percaya dengan berita itu, terus menekan butang refresh berkali-kali, namun masih tidak berubah. Kemudian cuba melayari laman IslamOnline.net dan Al-Jazeera dan mencari tajuk itu, tetapi masih belum dimuatkan, selang 5 minit kemudian barulah ada. Perasaan ketika itu agak terkejut juga, tetapi ajal itu datang tidak kira di mana dan ketika kerana ia sudah menjadi ketetapan sejak dari azali. Firman Allah di dalam surah Yunus ayat 49 yang bermaksud:

Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).

Akhbar-akhbar tempatan hari ini menjadikan pemergian almarhum Syaikhul Azhar  Dr. Muhammad Sayyid Tantawi sebagai tajuk utama. Laporan menceritakan detik-detik terakhir sebelum roh beliau dipanggil menghadap Ilahi. Timbalan Duta Mesir ke Arab Saudi, Usamah Khalil adalah orang terakhir yang menemani almarhum dari hotel Al-Faisailiah menuju ke lapangan terbang Antarabangsa Raja Khaled. Sebelum itu, usai solat subuh, Usamah Khalil menceritakan bahawa mereka sempat berbicara mengenai beberapa isu. Al-Marhum memulakan bicara mengenai nasib rakyat saudara-saudara di Palestin yang masih dalam kepungan rejim Zionis la’natullah. Beliau juga melahirkan kesedihan terhadap perpecahan yang berlaku sesama rakyat Palestin (semuanya gara-gara pemerintah sekarang yang merampas kuasa dari kerajaan pilihan rakyat, Hamas yang memenangi pilihanraya dan menjadi tali barut Zionis) dan mencadangkan beberapa beberapa bentuk bantuan kepada mereka. Kelmarin juga genap seribu hari kepungan yang menurut penduduk Gaza, satu hari bagaikan seribu tahun. Sungguh simpati dengan nasib mereka. Ya Allah bantulah saudara-saudara kami di sana dengan keberkatan kekasihMu. Hanya doa senjata terbaik kita untuk mereka.

 Al-Marhum ketika majlis mencuci ka'bah pada tahun 1428 H

Kemudian al-marhum membicarakan mengenai anugerah antarabangsa Raja Faisal dan kepentingannya kepada dunia Islam. Anugerah tersebut diberikan kepada mereka yang banyak berjasa kepada dunia Islam khususnya. Kemudian ketika berada di lapangan terbang, sewaktu berjalan dalam terowong untuk menuju ke pesawat Saudi Airlines, disitulah al-marhum terjatuh diserang sakit jantung pada jam 7.30 pagi dan disahkan meninggal dunia sewaktu tiba di Hospital Tentera di Riyadh. Kerajaan Saudi memberi kebenaran untuk mengebumikan almarhum di perkuburan Baqi’ al-Gharqad di Madinah yang menempatkan ahli bayt dan para syuhada’ dikalangan sahabat baginda Nabi . Sungguh beruntung wahai sang Imam dapat disemadikan bersama mereka yang terpilih untuk bersahabat dengan baginda Nabi  dan juga berdekatan dengan maqam baginda . Almarhum adalah ulama' Mesir yang kedua selepas Syeikh Muhammad al-Ghazali rahimahullah (meninggal pada tahun 1996) yang dikebumikan di Baqi' al-Gharqad.


Selepas asarnya, bertempat di Madhyafah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi, Syaikhuna al-Muhaddis Dr. Mustafa an-Nadwi al-Husaini hafizahullah memulakan pengajian dengan membaca hadis ;

)‏ ‏إن الله لا يقبض العلم ‏ ‏انتزاعا ‏ ‏ينتزعه ‏ ‏من الناس ولكن يقبض العلم ‏ ‏بقبض ‏ ‏العلماء حتى إذا لم يترك عالما اتخذ الناس رءوسا جهالا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا‏(

Ertinya: Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu dengan cara mencabutnya begitu saja dari manusia, akan tetapi Allah akan mengambil ilmu dengan cara mencabut (nyawa) para ulama, sehingga ketika Allah tidak meninggalkan seorang ulama pun, manusia akan mengangkat pemimpin-pemimpin-pemimpin bodoh yang apabila ditanya mereka akan memberikan fatwa tanpa didasarkan ilmu lalu mereka pun sesat serta menyesatkan.

Beliau menceritakan bahawa menjadi kelaziman para ulama’ terdahulu akan menghentikan pengajian apabila salah seorang dari ulama’ meninggal dunia sebagai adab dan memberi penghormatan. Namun pengajian kami semalam diteruskan juga tetapi diringkaskan untuk melazimi sunnah baginda Nabi  yang berterusan dalam amalan walau sedikit. Tambahan pula Syaikhuna datang jauh dari Mansurah semata-mata untuk mengajar kami. Beliau membacakan doa untuk almarhum dan kami mengaminkannya. Beliau juga mengharapkan semoga almarhum pergi dalam husnul khatimah tambahan pula disemadikan berhampiran jasad suci baginda Nabi .

Al-Faqir menjadikan Syaikhuna Dr Mustafa an-Nadwi hafizahullah sebagai idola yang terdekat dalam bermusafir menuntut ilmu. Biasalah terkadang ada perasaan malas, namun bila membayangkan jika Sang Murabbi sanggup datang dari jauh, kenapa anak murid yang sudah berada dekat tidak boleh datang ke kelas. Terima kasih wahai guruku kerana mengajar erti pengorbanan dalam menuntut ilmu. Semoga Allah memberkati serta merahmati hidupmu.

Ramai yang mengaku cintakan ulama’, namun berapa ramai yang menjadikan ulama’ sebagai contoh terbaik dalam beramal dengan sunnah baginda Nabi .

Ramai yang bersedih dengan pemergian ulama’, namun berapa ramai yang benar-benar menggunakan kesempatan mengambil manfaat sementara mereka masih hidup ketika menyedari ilmu hanya akan diangkat dengan dimatikan para ulama’!

Alhamdulillah…syukur padaMu ya Allah atas nikmat kesempatan bersama hamba-hambaMu pewaris para nabi. Semoga kita dihimpunkan bersama mereka dan sudah tentu akan bersama Nabi kita .
 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB