Saturday, March 27, 2010

Rokok : Bahaya Lagi Membahayakan!

Sewaktu santai-santai melayari Facebook petang tadi, terlihat link yang diletakkan oleh Ustaz Zaharuddin mengenai hukum merokok. Artikel tersebut telah lama disiarkan di laman beliau semenjak 2007. Isu mengenai hukum merokok telah lama diperdebatkan. Bagi perokok tegar sudah semestinya akan mencari 1001 hujah untuk membolehkan mereka terus dengan ketagihan yang sudah tentu tiada manfaat itu. Manakala bagi yang membenci asap rokok sudah memadai dengan beberapa hujah untuk mengharamkannya.



Al-faqir lebih cenderung dengan pendapat Syaikhuna Dr. Yusri Rushdi  al-Hasani akramahullah, seorang doktor perubatan yang juga pakar bedah. Beliau mengatakan merokok termasuk salah satu di antara dosa-dosa besar berikutan terdapat banyak mudharat yang saling berkait antara satu sama lain. Tambahnya lagi hukum rokok pada zaman dahulu adalah harus/makruh kerana kandungan rokok dahulu tidak memudharatkan. Selepas itu bertukar menjadi haram yang termasuk dari dosa-dosa kecil hinggalah menjadi salah satu daripada dosa-dosa besar. Ini berdasarkan kaedah fiqh, hukum  akan bertukar mengikut peredaran zaman. Beliau menceritakan ada ulama zaman dahulu yang juga menghisap rokok (jangan bayangkan seperti rokok zaman sekarang yang terkandung banyak bahan kimia kerana ramai yang menggunakan hujah ini untuk mengharuskan rokok!) untuk mengharumkan suasana tempat pengajian. Kandungan rokok pada zaman tersebut lebih kepada bahan pengharum dari bunga dan buah-buahan yang tidak tercemar dengan bahan kimia yang memudharatkan.


Teringat iklan kreatif yang menggambarkan betapa bahayanya rokok. Iklan tersebut menceritakan sekumpulan pekerja pejabat yang tidak dapat menahan ketagihan merokok. Mereka berhimpun beramai-ramai di balkoni pejabat untuk melepaskan gian kerana di dalam pejabat dilarang untuk berbuat demikian. Namun, ketika seorang rakan mereka menghampiri balkoni tersebut, tiba-tiba balkoni tersebut runtuh disebabkan terlalu ramai menyebabkan kesemuanya jatuh. Entah dari tingkat berapa pejabat tersebut. Lantas dia membatalkan niat untuk merokok. Ironinya, iklan tersebut dibikin oleh orang kafir sendiri!Lagi bahaya rokok!

Cari penyakit!

Ketika menunggu kehadiran Syaikhuna Dr. Yusri Rushdi hafizahullah di Jami’ al-Azhar as-Syarif untuk mengajar Sohih al-Bukhari pagi tadi, tiba-tiba muncul seorang pak cik yang terkenal dengan perangai peliknya dan sering mengganggu majlis dan duduk berhampiran al-faqir. Dia mendakwa asap sebenar yang diharamkan ialah asap yang keluar dari kereta dan kilang-kilang bukannya rokok. Kami hanya mendengar sambil tersenyum sesama sendiri (nak ketawa tak sampai hati apatah lagi di dalam masjid) sambil mengingatkan pesanan Sang Murabbi supaya jangan mendengar dan berdebat dengan orang seperti itu. Sambungnya lagi, dia akan bertanya kepada Syaikhuna sendiri. Namun, sewaktu Syaikhuna tiba, dia menghilangkan diri entah ke mana. Namun di pertengahan majlis dia tiba semula, bimbang juga dia mengganggu majlis. Seusai pengajian, dia terus mendapatkan Syeikh untuk bertanyakan soalannya tadi. Seperti biasa Dr. Yusri tetap dengan jawapannya. Namun dia membangkangnya dengan hujah-hujah yang tidak masuk akal dan Syaikhuna membiarkan kerana hendak solat. Kami sangkakan pak cik tadi sudah tidak mahu berhujah, selepas solat Zohor, dia ‘menyerang’ lagi. Namun Syaikhuna sudah faham dengan halnya dan tidak mahu bercakap dengannya seraya melangkahkan kaki keluar masjid. Kami terpaksa menahannya dari terus bertengkar dengan Syaikhuna disamping untuk menjaga kehormatan masjid. Begitulah keadaan orang yang membuat hukum mengikut akal tanpa mengguna pertimbangan syara’ demi matlamat menghalalkan cara. Geram melihatnya yang langsung tiada adab dengan ulama, apatah lagi ulama yang diperdebatkannya merupakan keturunan Rasulullah .

Bukanlah niat al-faqir untuk menceritakan hukum berkaitan rokok dengan panjang lebar kerana sidang pembaca boleh membaca hujah-hujah yang dibincangkan dengan panjang lebar seperti mana link di atas. Cukuplah peringatan yang diberikan dari Sang Pencipta di dalam surah al-Baqarah ayat 195 :
 "dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan"

2 kritikan / cadangan:

Anonymous said...

darah babi dlm rokok http://imputara.blogspot.com/2010/04/rokok-darah-babi.html

Lokman Yaakub @ putramanz said...

alhamdulillah baru nk diharamkan pun, tp kan lebih elok haramkn smua trus rokok di M'sia http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/4/5/mstar_berita/20100405152824&sec=mstar_berita

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB