Monday, July 12, 2010

Baru 2 tahun rupanya!


Alhamdulillah..syukur atas segala nikmat yang dikurniakan. Terlalu banyak nikmat yang dikurniakanNya sehingga tidak mampu dihitung walaupun diri masih banyak melakukan dosa. Namun nikmat yang paling besar ialah masih lagi diberi kesempatan waktu untuk menghirup udaraNya dalam keadaan beriman kepadaNya, alhamdulillah ku ucapkan untuk kesekian kalinya walaupun erti syukur itu dapat dilihat pada sikap dan tingkah laku, tetapi ucapan syukur itu merupakan muqaddimah kita berterima kasih padaNya.

Sedar tak sedar, blog ini sudah mencapai usia 2 tahun. Namun, hampir 4 bulan lamanya tidak ada sebarang pengisian dek kesibukan menghadapi peperiksaan, pengajian, proses perpindahan rumah yang meletihkan dan segala urusan kehidupan sebagai seorang perantau di negara orang yang digelar bumi anbiya’ yang penuh barakah ini. Menyingkap bagaimana tercetusnya untuk membuat blog ini, segalanya bermula dengan kalimah  "كن عبدالمنعم ولا تكن عبد النعمة" yang diungkapkan oleh Syaikhina wa Murabbina Dr Yusri Rushdi al-Hasani hafizahullah. Boleh lihat post berkaitan di sini

Jika diikutkan hati, banyak perkara yang ingin dikongsi bersama di sini, tetapi seribu satu alasan yang timbul menghalang. Manhaj/method penulisan al-faqir lebih kepada bentuk penceritaan yang santai yang tidak memberatkan tetapi ilmiah. Saya akan cuba memberi manfaat terhadap orang lain dan dalam masa yang sama sebagai muhasabah terhadap diri sendiri. Setiap post akan disertakan dalil-dalil baik dari al-Qur’an al-Kareem mahupun Sunnah an-Nabawiyyah as-Syariifah sebagaimana yang diajarkan oleh para masyayikh kami di al-Azhar iaitu setiap hujah mesti disertakan dalilnya. Namun, oleh kerana ilmu masih lagi di dalam kitab, bukannya di dada, ia membataskan hasrat untuk berkongsi pendapat. Setiap dalil pasti akan dirujuk kepada kitab-kitab dahulu sebelum ditulis bagi memastikan kesahihannya (bimbang jika tersilap menggunakan dalil berdasarkan hujah yang digunakan), namun kitab-kitab tersebut tersimpan rapi di dalam kotak (kerana proses perpindahan).

Alhamdulillah baru kelmarin segala barang-barang selesai diangkat, tetapi urusan mengemas rumah pula yang belum selesai. Alhamdulillah banyak hikmah yang dipelajari dari perpindahan ini (hampir 8 bulan). Antaranya dapat tinggal berdekatan dengan Syaikhuna Dr Rif’at Fauzi hafizahullah, pensyarah di Darul Ulum, Universiti Kaherah. Banyak kitab yang dikarang dan ditahqiqnya terutamanya dalam bidang hadis  (insyaAllah jika punya kelapangan waktu, akan diterjemah biodata beliau yang diminta al-faqir semasa awal perpindahan dahulu). Hampir setiap hari beliau mengimamkan kami terutamanya solat subuh di musolla berdekatan, usai solat subuh beliau akan membacakan beberapa hadis dari kitab Riadhus Solihin karangan al-Imam Nawawi radhiyallah ‘anhu. Sempat menghadap beliau kelmarin, sebelum berpindah secara rasmi di asrama yang baru di renovate. Beliau mengatakan jama’ah solat di musolla tersebut mulai kurang. Boleh dikatakan ramai sahabat-sahabat al-faqir yang solat di situ setiap kali waktu solat fardhu. Jujur saya katakan, cukup berbangga dengan penghargaan yang diberikan oleh beliau kepada kami anak-anak Malaysia. Setiap hari Isnin selepas maghrib, beliau mengajar kitab Muwatto’ Imam Malik riwayat al-Imam Muhammad  bin Hasan di maktabah beliau. Seronok tinggal di kawasan tersebut, mana mungkin dapat mengenali beliau dengan lebih dekat jika tidak ditakdirkan berpindah sementara di situ.  


Al-faqir tidak berhasrat untuk menulis panjang lebar, hanya untuk berkongsi pengalaman dan sekadar untuk meraikan ulangtahun kedua blog ini yang dibiarkan usang sejak empat purnama yang lalu. Apa yang diharapkan ialah tunjuk ajar serta nasihat dan doa kalian buat diri al-faqir ini moga-moga terus istiqamah dalam amalan dan berjaya di dunia dan akhirat.

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB