Saturday, July 19, 2008

Indahnya jika berakhlak mulia

Semua manusia mengetahui apa itu akhlak mulia akan tetapi berapa ramaikah dikalangan kita yang memiliki sifat terpuji ini. Akhlak mulia merupakan budi pekerti atau kelakuan terpuji yang dimanifestasikan dari hati yang suci lagi bersih. Amat sukar jika seseorang yang tidak memiliki hati yang bersih untuk mengadaptasikan sifat yang amat disukai oleh Allah dan RasulNya ini.  Sifat ini amat dituntut oleh Islam dengan sebaik-baik tuntutan. Jika tidak apalah ertinya diutuskan Nabi Muhammad s.a.w selain dari tugas utamaNya iaitu membawa berita gembira(بشيرا) dan memberi peringatan(نذيرا).

Baginda pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang berbunyi:

(إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق)

maksudnya:"Sesunguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia"

Saidatina Aisyah R.A pernah ditanya bagaimana hal keadaan akhlak baginda nabi, lalu beliau menjawab dengan ringkas dan padat:

(كان خلقه القرأن)

yang bermaksud:"Akhlak baginda adalah al-Quran"

Mafhum dari jawapan Saidatina Aisyah itu ialah jika hendak melihat akhlak baginda nabi, lihatlah kembali kepada al-Quran. Ini kerana al-Quran sarat dengan saranan untuk umat Islam mengamalkan akhlak yang mulia. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana mengaplikasikan akhlak mulia.

*Di suatu petang Jumaat, semasa ku membaca al-Quran di masjid berdekatan dengan tempat tinggalku, aku didatangi seorang muslim Amerika. Pada sangkaanku, dia dan kawannya adalah dari puak salafi@wahabi yang nak berdakwah padaku. Aku pun bertaaruf serba ringkas (dlm bahasa arab, fasih gak dia ni) dengan dia. Mak dia orang Mesir dan ayahnya orang Amerika. Setelah bersembang agak lama, dia pun bertanya kepadaku tentang wanita Malaysia @ Indonesia. Aku pun bertanya kembali kenapa dia bertanya macam tu. Rupanya dia ada hajat nak mendirikan rumah tangga dengan orang Malaysia (ada udang di sebalik mee, ada hajat rupanya...habaqla awal2, hehehe...). Dia mengatakan yang akhawat Malaysia @ Indonesia memiliki akhlak yang mulia dan nampak solehah sepanjang pemerhatiannya, dan dia cukup kagum dengan rakyat Malaysia yang rata-ratanya mempunyai sifat ramah dan bersopan-santun. Aku dimintanya dengan sepenuh pengharapan untuk mencari seorang akhawat samada dari Malaysia @ Indonesia untuk dijadikan permaisurinya (aku berbisik sendirian, "aku pun x kahwin lagi"...hehehe). So, kepada sesiapa yang berminat (khas utk muslimah shj) sila ambil borang pendaftaran dengan segera kerana tempat terhad kepada seorang sahaja!(hehehe) 

Nah, inilah penangan akhlak mulia. Masyarakat akan memandang mulia jika akhlak mulia tersebut dijadikan perhiasan diri. Pokok asalnya jadikanlah al-Quran dan peribadi baginda nabi sebagai panduan kita dalam mengaplikasikan akhlak yang amat dituntut ini. Orang yang berakhlak mulia tidak akan rugi bahkan mendapat keuntungan yang berganda di dunia dan di akhirat.

*cerita tersebut hanya sebagai selingan.  

Friday, July 18, 2008

Bahana lidah

Tiada kalam tanpanya,
Tiada rasa tanpa kewujudannya,
Diciptakan ia banyak hikmahnya,
Sungguh Maha Bijaksana yang menciptakannya,
Terkandung kebaikan dan keburukan darinya,
Puji, syukur, zikrullah, antara kebaikannya,
Umpat, fitnah, adu domba, kata nista antara keburukannya,
Lebih banyak keburukan yang ada padanya,
Namun setakat manakah kita mampu mengawalnya?

Ada yang pandai berkata-kata,
Ada yang yang hanya berdiam diri sahaja,
Tidak kurang juga lidahnya sentiasa basah,
Kerna banyak berzikir pada Allah Taala,
Namun sedarkah kita,
Banyak berkata-kata mungkin banyak silapnya,
Kalam yang banyak silapnya,
Maka banyaklah dosanya,
Barangsiapa banyak dosanya,
Maka nerakalah tempatnya,
Nabi kita juga telah berpesan :

((من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت))

Ertinya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan juga hari kiamat,
maka ucapkanlah kata-kata yang baik atau (jika tidak mampu) hendaklah diam”


Sesungguhnya memang benar lidah itu tiada tulangnya,
Terlalu lembut untuk mengata nista, mengadu domba,
Serta memfitnah sesama saudara,
Memang manusia mudah lupa dengan firmanNya,
Justeru, jadikanlah iman dan akal dan kita sebagai 'tulangnya',
dan sebagai ‘penapis’ setiap kata-kata kita,
Supaya kita tidak terpesong dari tujuan penciptaannya,
Adakah kita sudah lupa?

Andaikata lidah diberi peluang untuk
berkata di akhirat sana,
alangkah teruknya kita menerima
balasan dariNya,
Na’uzubillah kita mohon dariNya,
Semuanya itu terpulang kepada kita,
Sama ada untuk memberatkan timbangan
pahala lidah atau sebaliknya,
Kerna banyak kalamullah dan sabda baginda nabi
yang bisa mengajarkan kita,
Mengenai bahana lidah, dosa dan pahalanya,
Apakah kita tidak menghiraukannya?

Bukanlah tulisan ini untuk menghentam sesiapa,
Cuma tujuanku satu sahaja,
Untuk memberi peringatan kepada diriku dan kalian semua,
Bukankah Khaliq kita telah berfirman dalam kitab suciNya:
((Berilah peringatan, sesungguhnya dengan memberi peringatan itu
akan memberi manfaat kepada orang yang beriman))

Oleh itu, jagalah bahasa kata kita,
Janganlah disalah guna.

Renung-renungkanlah.

Wednesday, June 11, 2008

Bersyukurlah (sekadar muhasabah)…

"Aduss…susah la macam ni. Beras naik,ayam,daging,ikan naik,roti mahal, semua mahal",luah seorang teman di suatu hari. Aku pun turut terasa akan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat di Mesir ni. Bahkan aku yakin dan percaya bahawa semua rakyat Malaysia yang merantau di sini turut merasakannya. Apatah lagi hal keadaan rakyat tempatan Mesir yang kebanyakannya berada di bawah paras kemiskinan tegar. Jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin begitu tinggi di sini. Aku amat bersimpati dengan mereka,tapi apa boleh buat,aku hanya seorang pelajar(juga dalam kategori miskin sebab tak mampu dalam erti kata yang lain tak dak masa untuk mencari harta sendiri dan layak mendapat zakat)bukannya jutawan. Hal yang sama turut berlaku di seantero dunia termasuklah di tanah airku Malaysia tercinta. Dan yang terbaru kenaikan harga minyak yang mendadak berikutan harga pasaran dunia yang naik menggila(inilah kesan akibat kelemahan dari sistem ekonomi kapitalis).

Aku yang tak dak kenderaan pun turut terasa. Apa tidaknya, tambang tramco dari asyir pi sabie' dah naik. Dulu masa mula-mula sampai(tahun 2004) tambangnya cuma 0.25 qurush (dlm RM 0.10), la ni dah naik jadi 0.75 qurush(bukannya jauh mana pun). Cuma tambang bas ok sikit,tak la naik banyak sangat,yang bestnya tambang bas di Mesir ni,pi la mana pun harga dia banyak tu la. Orang yang nak pi jauh untung la,yang nak pi dekat rugi la balik. Tapi ok la bagi rakyat Malaysia, yang kesiannya rakyat tempatan la. Tiap kali naik mesti ada yang bergaduh kes tak puas hati dengan harga tambang. Dunia..dunia.

Aku teringat kata-kata Syeikh Dr. Yusri Rushdi Al-Hasani hafizahullah di dalam halaqah pengajian Sahih Bukhari di Jaami' Al-Azhar As-Syarif. Beliau mengingatkan supaya jangan sesekali merungut dengan apa yang berlaku sekarang (kenaikan harga barangan). Beliau menceritakan bagaimana baginda Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabatnya tidak pernah merungut sedangkan di zaman itu, harga barangan juga agak mahal bagi nisbah pada zaman tersebut. Apa yang berlaku sekarang adalah ujian dari Allah S.W.T terhadap hambanya. Kata-kata beliau itu membuat aku tersentak dan bermuhasabah seketika.

Bersama Ulama Murabbi Syeikh Dr Yusri Rushdi Al-Hasani selepas majlis Maulidur Rasul 1429 H di Masjid Al-Ashraf, Hayyu Al-Muqattam.

Firman Allah S.W.T di dalam surah Saba' ayat ke 13:

Yang bermaksud: Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu Yang bersyukur.

Allah S.W.T tidak pernah berlaku zalim terhadap para hambanya bahkan Dia-lah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Akan tetapi sedarkah kita bahawa selama ini kitalah yang berlaku "zalim" terhadap-Nya. Berapa ramaikah di kalangan hambanya yang bersyukur di atas segala nikmat pemberiannnya? Berapa ramaikah di kalangan hambanya yang melaksanakan tuntutan"الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر " ketika manusia seolah-olah kehilangan matlamat hidup yang sebenar diciptakan? Jawapannya terlalu sedikit seperti ayat Quran di atas. Allah S.W.T telah mengetahui akan hal ini kerana Dia-lah Yang Maha Mengetahui dan mustahil bagi sang Pencipta tidak mengetahui karenah dan ragam makhluk-makhlukNya. Disebabkan itulah Dia menguji hamba-hambanya supaya hamba-hambanya itu kembali mengingatiNya sambil meninggalkan sifat-sifat sombong, riya' dan yang seumpama dengannya.

Rasulullah S.A.W telah bersabda di dalam sebuah hadis yang mafhumnya:"Jika kamu mengingati Allah ketika waktu senangmu,maka Allah akan mengingatimu dikala kamu berada dalam kesusahan"

Jika dibandingkan keadaan sekarang dengan saudara-saudara seakidah dengan kita di bumi yang bergolak seperti Palestin, Iraq, Somalia dan sebagainya, kehidupan kita masih lagi jauh lebih senang dan mewah. Mereka telah lama merasai kehidupan yang sukar hatta untuk mendapatkan sesuap makanan dan seteguk minuman pun terpaksa bergaduh sesama sendiri hingga ke tahap berbunuhan. Sedangkan kita hanya baru melalui secebis dari apa yang telah dilalui oleh mereka pun dah merungut.

Kesian budak ni...kelihatan seekor burung hering menunggu untuk meratah mangsanya.



Seperti mana yang kita maklum, syukur itu bukan sekadar ucapan dibibir tetapi dibuktikan melalui amal perbuatan mahupun perkataan lisan dan hati. Dalam erti kata yang lain setiap anggota tubuh kita mempunyai peranan masing-masing dalam membuktikan kesyukuran kita terhadap Yang Maha Esa. Terpulang kepada "si peminjam" untuk menggunakan ke arah yang mana, ke jalan yang diredhoi ataupun ke jalan yang dimurkai.

Syeikh Yusri juga mengingatkan dengan katanya:

"كن عبدالمنعم ولا تكن عبد النعمة"

Yang bermaksud: Jadilah kamu hamba kepada yang memberi nikmat, dan jangan menjadi hamba kepada nikmat.

Ini kerana jika menjadi hamba kepada nikmat, sedarlah nikmat itu hanyalah sementara dan Allah itu kekal selamanya. Allah lah yang berkuasa menentukan rezeki kepada hambaNya dan Dia jugalah yang berkuasa untuk mencabut kembali nikmat itu. Orang-orang yang beriman tidak sesekali akan melupakan kepada firman Allah S.W.T di dalam surah Ibrahim ayat ke 7:

Yang bermaksud:Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras"

Yakin dan percayalah bahawa Allah tidak pernah memungkiri janji-janjiNya. Sama-samalah kita bermuhasabah kembali. Selamat Bersyukur!!!

Salam Ukhuwwah

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulilllah...segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadhrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya dapat lagi kita menghirup udara-Nya dan yang lebih penting kita masih lagi diberi nikmat Iman dan Islam yang kedua-duanya merupakan sebesar-besar nikmat,selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh ahli keluarga baginda,para sahabat r.a,dan seluruh para tabi'-tabi'en.

Alhamdulillah...maka tercapailah hasrat hati ini yang terpendam sejak sekian lama untuk memiliki laman blog sendiri(bukannya apa,cuma tak dak masa yang sesuai).Dengan wujudnya blog yang tak seberapa ni,diharapkan ia menjadi wadah yang sesuai bagiku untuk meluahkan isihati ataupun pendapat bagi beberapa perkara mahupun isu semasa yang berlaku disekitar kehidupanku khususnya dan seantero dunia amnya.Aku berharap ia dapat menjadi salah satu daripada proses pembelajaran dalam mematangkan fikiran dan tindakanku bersesuaian dengan gelaran sebagai seorang mahasiswa sebelum mendepani cabaran yang sebenar di dalam menjadi agen pembaharuan masyarakat.

Ucapan jutaan terima kasih didahulukan buat semua yang sudi menjenguk blog yang tak seberapa ni dan sudi-sudilah untuk memberi komen dan tunjuk ajar kepadaku yang masih mentah dalam dunia blogger ni.
 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB