Thursday, September 24, 2009

Ramadhan yang amat bermakna



Salam Eidul Fitri al-Mubarak…


"Berlalu Ramadhan, Fajar Syawal menjelma, muslimin muslimat menyambut hari raya…”
Perginya Ramadhan meninggalkan kenangan yang amat manis buat diri al-faqir pada tahun ini. Ramadhan 1430 H menjadi memori yang terpatri dan tidak akan dilupakan buat selamanya. Moga-moga kita termasuk di dalam golongan yang bertaqwa dan mendapat ganjaran yang istimewa dariNya serta dapat memasuki syurga melalui pintu al-Rayyan sebagaimana yang dijanjikanNya.

Istimewanya Ramadhan kali ini kerana dapat mengharungi puasa di siang harinya dan qiyam di malamnya bersama dengan guru yang dikasihi Syaikhuna al-Murabbi Dr. Yusri Rushdi al-Hasani hafizahullah. Tambah manis lagi ketika diberi peluang oleh Allah subhanu wata’ala untuk sama-sama beriktikaf di sepuluh hari terakhir di Masjid al-Asyraf, Muqattam. Pengalaman itu memberi 1001 satu pengajaran buat diri yang masih dalam permusafiran ilmu yang masih panjang dan berliku.

“Sedetik bersama ulama lebih bermanfaat dari seribu tahun bersama umara’(pemimpin) “ . Itulah yang al-faqir dapat ungkapkan kepada sahabat-sahabat. Apa tidaknya, dengan mata kepala dapat disaksikan bagaimana serta betapa tingginya semangat yang ada pada Syaikhuna dalam beibadat. Masih teringat lagi pada malam pertama bertarawih, sepuluh rakaat pertama yang memakan masa hampir sejam setengah dan berhenti rehat untuk pengajian kitab Bahjatun Nufus syarah Mukhtasor Sohih Bukhari. Bayangkan sejam setengah berdiri dan 2 juzu’ al-Quran dibacakan, fuh memang melenguhkan, kemudian beliau mengajar selama sejam. Tetapi Syaikhuna masih mampu tersenyum, tiada langsung tanda keletihan di wajah suci beliau. Beliau begitu gembira menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak. Begitulah rutin beliau sepanjang 29 hari berpuasa, tanpa henti! Sudah tentu memerlukan mujahadah dan himmah yang tinggi. Berani saya katakan, tiada masjid di Mesir bahkan di seantero dunia (kalau ada pun sedikit) yang mampu mengkhatamkan al-Quran sebanyak 5 kali dalam sebulan pada qiyam Ramadhan! Memang selayaknya gelaran al-Murabbi diberi kepada beliau. Seperti mana kalam al-Imam ibnu 'Ato'illah as-Sakandari rahimahullah dalam Hikamnya yang ke 43 ;

لا تَََََََصحبْ من لا يُنهِضُك حاله , ولا يَُدلُّك على الله مقاله
Janganlah kamu bersama dengan orang yang tidak membangkitkan semangatmu dengan hal keadaannya(perbuatannya), dan tidak mengingatkan kamu kepada Allah dengan setiap kata-katanya.

Kenangan beriktikaf selama sepuluh hari memberi kenangan teramat indah dalam diri ini. Bagaikan berada dalam keluarga besar, Syaikhuna dianggap sebagai ayah, yang tua sebagai abang, yang sebaya sebagai saudara kembar, yang kecil sebagai adik. Saya begitu mencemburui sahabat-sahabat dari Indonesia, mereka begitu ramai mengambil peluang yang datang sekali setahun itu, sehingga ada yang sanggup datang dari Tanta! Apa tidaknya, dapat bersahur, berbuka, beribadah, tidur dalam satu tempat yang sama bersama ulama’ bukan mudah. Pernah saya ditanya oleh mereka, “ Kemana teman-teman antum yang lain”. Saya hanya mampu menjawab mungkin mereka mempunyai urusan lain. Cuma beberapa kerat pelajar Malaysia yang hadir. Peluang beriktikaf itu memberi satu ikatan ukhuwwah yang mahal harganya disamping dapat merasai bagaimana kehidupan bangsa Arab.

Banyak juga cerita yang disampaikan oleh guru kami yang dimuliakan Allah ini sepanjang permukiman di dalam masjid seperti pengalaman bagaimana beliau belajar dengan ulama'-ulama' yang hebat, kisah hidup dan macam-macam sebagai penguat semangat kepada kami dan tidak berputus asa dalam menuntut ilmu. Antaranya, beliau sering menekankan dalam menuntut ilmu ini mesti melalui satu tempoh yang panjang dan tidak dapat tidak kena berdamping dengan para ulama', barulah keberkatan ilmu itu akan ada. Beliau juga mempertikaikan orang-orang yang hendak mempelajari ilmu terutamanya ilmu agama dalam masa yang singkat dan hanya belajar mengikut ringkasan sahaja. Golongan yang sebeginilah yang akan memberi fitnah kepada agama itu sendiri, na'uzubillah min zalik. Secara peribadinya, saya tidak gemar mengikuti daurah, dan apa-apa sukatan pengajiannya yang terhad. Jika difikirkan kembali, si pengajar mengambil masa bertahun-tahun lamanya menuntut ilmu, sedangkan kita hanya mencedok ilmu darinya dalam masa dua jam. Ini tidak adil!! Kata ulama' , kalau nak jadi seperti ulama', perlulah mengikut jalan-jalan yang mereka tempuhi (dari setiap aspek kehidupan).

Pada malam 23 Ramadhan yang lalu, ketika hendak memulakan rakaat ke 17, Syaikhuna dengan tiba-tiba memberitahu kepada hadhirin bahawa beliau mendapat khabar bahawa malam tersebut ialah malam al-qadar. Entah dari mana khabar tersebut. Sepanjang pemerhatian saya, sejak dari solat Isyak hingga witir yang berakhir pada jam 3.45 pagi beliau jarang keluar dari masjid, itupun sekali untuk berwudhu'. Mungkin juga benar, kerana Syaikhuna hendak memberi galakan kepada jama'ah yang rata-ratanya sudah “syahid”. Justeru, malam tersebut dihidupkan dengan sehidup-hidupnya. Ada yang mencalitkan minyak wangi kepada jama’ah, ada yang memberi minum, dan sebagainya. Masing-masing berebut untuk membuat kebajikan pada malam yang dijanjikan lebih baik dari seribu bulan. Teringat satu kalam (tak pasti hadis atau kalam ulama’) ;

اتّقوا فراسة المؤمن , فإنه ينظر بنور الله ) أو كما قال)

Takutlah kamu kepada firasat orang yang beriman, kerana mereka memandang dengan cahaya (panduan) dari Allah.

Malam al-qadar tiada siapa yang tahu bila tibanya, hanya Allah yang menentukannya. Apa yang pasti, sesiapa yang menghidupkan dengan bersungguh-sungguh malam Ramadhan sejak dari malam pertama hingga ke akhirnya pasti mendapatkannya, bertuahlah siapa yang dapat. Sudah tentu Ramadhan kali ini amat bermakna buat diri al-faqir wal haqir ini. Cuma sedikit terkilan di hati al-faqir kerana tidak berkesempatan ihya' Ramadhan bersama Syaikhuna pada tahun-tahun lepas, namun Alhamdulillah diizinkan Allah pada tahun ini dan insyaAllah pada tahun-tahun yang mendatang. Semestinya Ramadhan akan datang ditunggu-tunggu. "Taqabbalallahu minna wa waminkum solihal 'amal"

“اللهم بلّغنا رمضان”

******
Galeri Ihya' Ramadhan di Masjid al-Asyraf


Selepas khatam kali pertama pada malam ke sembilan, khatam kali kelima pada witir terakhir bertarawih, cantik sungguh penutup.


Semasa bersahur hari terakhir puasa, sedang menjamah zabadi (makanan wajib ketika sahur)..Sahur hanya makan 'ish baladi + ful + keju + telur + zabadi+ madu..mungkin budaya arab hanya makan yang itu ja ketika sahur, tapi ketika berbuka, masyaAllah..mewah dan lazat sungguh, free plak tu, setiap hari bertukar menu. Gambar semasa berbuka terlupa nak tangkap sebab terlalu menikmati makanan :) .


Sahabat-sahabat dari Indonesia, semuanya dalam 15 orang lebih, ada yang datang dari Tanta!


Selepas solat sunat tasbih 4 rakaat dan takbir ihya' malam Syawwal (yaumul jaaizah), tergambar kepuasan di wajah masing-masing setelah ihya' Ramadhan bersama. Semoga diterima segala amalan di sisi Allah.


Selepas solat sunat Eidulfitri di pagi 1 Syawwal 1430 H bersamaan 20-09-2009.


“Kullu sanah wa antum thoyyibin, Minal ‘Aidi wal Faaizin”…maafkan segala salah dan silap serta halalkan makan minum buat mak abah sekeluarga di Kg. Bukit Lada, Pokok Sena yang sentiasa dirindui lagi dicintai dan kepada sahabat-sahabat yang dikasihi juga kepada sesiapa yang mengenali diri ini.

Nota :

1. Catatan terlewat ini disebabkan PC saya meragam kerana terlalu “bersedih” dengan pemergian Ramadhan :). Syukran Jazilan kepada Ust Aizat, Mantan Presiden MPM KUIN yang sudi membenarkan digunakan laptop beliau.

Thursday, September 10, 2009

Bersama Memburu Lailatul Qadr

Firman Allah azzawajalla: 

Maksudnya : Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال :

((كان رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم يعتكف العشر الأوخر من رمضان))

Bahawasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم akan beriktikaf pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan.

Sayyidatuna 'Aisyah رضي الله عنها meriwayatkan :

((كان رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم إذا دخل العشرالأخير أحيا الليل, وأيقظ أهله , وشدّ المئزر ))

Bahawasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم apabila masuknya sepuluh hari terakhir (pada bulan Ramadhan), baginda akan menghidupkan malamnya (dengan meningkatkan beribadah), baginda akan mengejutkan ahli keluarganya (untuk bersama-sama beribadah) dan mengetatkan ikatan kainnya (meninggalkan dari mendatangi isterinya)

Sukacita dimaklumkan bahawa Masjid al-Asyraf, Muqattam akan mengadakan sunat iktikaf berjama'ah dan qiyamullail sepanjang sepuluh hari terakhir Ramadhan ini :

Tarikh mula : 21 Ramadhan 1430 bersamaan 10 September 2009

Hari mula : Khamis malam Jumaat sehingga akhir Ramadhan

Yuran : Percuma

Misi : Memburu Lailatul Qadr

Tema : " Jadikan Ramadhan tahun ini lebih bermakna dari tahun sebelumnya "  

Pembimbing : Syaikhuna al-Murabbi Dr. Yusri Rushdi as-Sayyid Jabr al-Hasani hafizahullah

Agenda Iktikaf :

  • Solat Fardhu berjama’ah
  • Solat Tarawih berjama’ah
  • Qiyamullail berjama'ah
  • Pengajian kitab Bahjatun Nufus syarah Mukhtasor Sohih al-Bukhari semasa rehat solat tarawih
  • Pengajian kitab Tuhfatul Ahwazi syarah Jami’e Tarmizi selepas solat subuh
  • Ibadah bebas (baca al-Quran, zikrullah dan ibadah-ibadah yang lain)

Hadiah : Pahala iktikaf, qiyamullail, ibadah yang lain-lain dan insyaAllah akan bertemu dengan malam al-Qadr tajaan dari Allah سبحانه وتعالى yang akan menjadi penimbang mizan kita di hari perhitungan kelak dan menjadi tiket ke syurga.

Qiyamullail akan bermula pada jam 1 pagi dan akan berhenti untuk bersahur pada jam 3.45 pagi.


Terbuka kepada yang berminat dan tempat tidak terhad. Sama-sama merebut peluang yang datang setahun sekali ini bersama ulama murabbi.


Hidup ini  indah bila mendapat tarbiyyah dari ulama' murabbi.

Tuesday, September 8, 2009

Musibah umat akhir zaman






Petang tadi seusai berbuka puasa, saya sempat menonton berita TV satelit al-Arabiya di bilik. Berita sukan itu melaporkan tentang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010 bagi peringkat benua Afrika antara Algeria dan Zambia. Apa yang ingin saya ceritakan disini ialah betapa ramainya penyokong Algeria yang memenuhi ruang stadium yang mana Algeria menjadi tuan rumah. Sebagaimana yang kita maklum majoriti penduduk Algeria beragama Islam (Zinedine Zidane yang menjadi ikon dan lagenda bola sepak juga berasal dari sini). Wartawan itu melaporkan puluhan ribu penyokong mula memasuki stadium sejam sebelum waktu berbuka sambil membawa bekalan untuk berbuka dengan tajuk " Penyokong memberi sambutan yang hebat kepada pasukan Algeria". Apabila tiba waktu berbuka, jurukamera memfokuskan ke arah orang ramai yang sedang ifthor beramai-ramai. Kemudian masing-masing menunggu perlawanan yang akan dilangsungkan lebih kurang 2-3 jam lagi. Apa yang menjadi persoalan disini ialah adakah kesemua yang ada di dalam stadium itu tidak solat maghrib? Kalau ada pun rasanya mungkin hanya sebahagian yang solat (cuba untuk husnuzzhon), kerana di dalam stadium itu mungkin disediakan ruang solat, itupun tidaklah sebesar mana. Mungkin juga mereka solat secara berjamaah di atas padang tetapi tidak dirakam oleh jurukamera. Apa-apa pun, Allah maha melihat perbuatan hamba-hambanya.

Kebetulan pada lewat malam sebelumnya, ketika pulang dari Muqattam, saya melalui kawasan souq sayyarat, iaitu tempat menjual kereta terpakai setiap hujung minggu. Dalam kawasan tersebut ada tiga buah kedai dipenuhi dengan sebahagian besarnya bangsa arab. Mereka menonton perlawanan tersebut yang ditayangkan di layar gergasi kononnya atas semangat menyokong negara Islam dan arab. Lebih menyakitkan hati sebuah kedai tersebut betul-betul terletak dihadapan sebuah masjid. Mereka langsung tidak menghormati jama'ah yang sedang beribadah dalam masjid tersebut dengan sorakan yang membingit.

Cuma apa yang dikesalkan disini ialah majoriti penyokong tersebut yang muslim langsung tidak menghormati dan menghargai bulan Ramadhan yang satu amalan dilipatgandakan pahalanya apabila dikerjakan. Sepatutnya dihidupkan bulan yang penuh keberkatan ini dengan amal ibadah, bukannya menonton bola yang hukumnya harus tetapi boleh menjadi haram apabila meninggalkan solat. Lebih-lebih lagi apabila berada di penghujung Ramadhan ini.

Situasi yang sama juga bukan saja berlaku di negara tersebut, bahkan diseluruh dunia. Kalau berlaku di negara bukan Islam itu tidak hairan, yang hairannya di negara Islam termasuk Malaysia tanah airku.

Alangkah bagusnya jika semangat untuk menonton bola ini ditukar kepada semangat untuk berduyun-duyun ke masjid untuk solat. Itulah fitrah manusia, selagi ganjaran tak nampak di depan mata, selagi itu berat untuk beramal sebagai bekalan di hari perhitungan kelak. Sabda Rasulullah : صلى الله عليه وآله وسلم



((لو يعلم الناس ما فى الندأ و الصف الأول, ثم لم يجدوا إلاّ أن يستهموا عليه لاستهمواعليه, ولو يعلمون ما فى التهجير لاستبقوا إليه, ولو يعلمون ما العتمة و الصبح لأتوهما ولو حبوا))
" Jika manusia itu mengetahui apa yang terdapat (ganjaran pahala yang besar) pada azan dan menghadirkan diri pada saf pertama, kemudian tidak mendapatinya (kerana semua berebut-rebut) kecuali diadakan pengundian, nescaya mereka akan mengundi, jika manusia itu mengetahui ganjaran pahala yang besar pada menghadirkan diri pada awal waktu solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba, jika manusia itu mengetahui ganjaran pahala yang besar pada menghadirkan diri pada solat isya' dan subuh (secara jamaah di masjid), nescaya mereka akan hadir sekalipun dalam keadaan merangkak." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis tersebut memberi galakan untuk umat Islam menghadirkan diri ke masjid untuk solat jamaah. Kita sedia maklum bahawa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم tidak bercakap berdasarkan hawa nafsu bahkan melalui wahyu dari Allah سبحانه وتعالى .

Minggu lalu terbaca di akhbar Kosmo online yang melaporkan kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menawarkan hadiah wang tunai 3.67 juta dirham (RM3.6 juta) kepada juara drama televisyen Arab terbaik yang disiarkan pada bulan Ramadhan kali ini. Sangat-sangat mendukacitakan bagi sebuah negara Islam membazirkan duit ke arah yang tak sepatutnya. Jika dilihat hal yang sama juga berlaku di Mesir, tapi tidaklah dibuat pertandingan. Musalsalat Ramadhaniyah (drama-drama bersiri sempena Ramadhan) menjadi santapan wajib bagi stesyen-stesyen televisyen tempatan.

Inilah musibah yang menimpa umat akhir zaman. Umat Islam hari ini tertipu dengan keseronokan dunia yang sementara. Ini juga merupakan kerja-kerja jahat musuh-musuh Islam untuk melalaikan umat Islam dari mengerjakan solat dan beribadah kerana mereka tahu kekuatan umat Islam itu terletak pada solatnya. Mereka tak perlu untuk melancarkan peperangan ke atas umat Islam, tetapi cukup sekadar merosakkan aqidah dan minda umat Islam dari terus berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Pesanan Habibuna wa Syafi'una صلى الله عليه وآله وسلم tidak harus dilupakan iaitu selagi kita berpegang dengan al-Quran as-Sunnah, selagi itu kita akan selamat dunia dan akhirat.

Islam itu indah apabila diamalkan.
 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB