Wednesday, December 30, 2009

Ziarah Maqam Bersama Ulama' Murabbi

Alhamdulillah wa syukru lillah…ucapan yang selayaknya ku ucapkan atas segala pemberian. Pada 11 Muharram 1431 H bersamaan 28 Disember 2009, hari Isnin yang lalu amat bermakna buat kami. Sebaik sahaja tamat pembacaan kitab Tuhfatul Ahwazi oleh Syaikhina, tiba-tiba menantu beliau, Syaikhuna Dr. Usamah as-Sayyid al-Azhari  masuk ke dalam masjid dan duduk di tepi al-faqir (mungkin rintihan hati ini kerana tidak dapat sanad  hadis musalsal ‘Asyura secara terus dari beliau pada hari sebelumnya dimakbulkan Allah, dapat duduk bersebelahan dengan beliau sudah dapat memujuk hati yang sedih ni :) ) . Terus bersalam dan mencium tangan beliau. Agak berdebar juga hati ini, manakan tidak seorang ulama’ muda yang dikagumi juga murid kesayangan Mufti Mesir di sisi. Seperti biasa, selepas bacaan hadis, kami akan bertadarus dan akan ditegur oleh Syeikh. Setiap dari kami membaca 1 ayat dan Syeikh akan menerangkan qiraat yang ada pada ayat-ayat tersebut.

Kedatangan Syeikh Usamah pada hari itu adalah untuk membawa kami menziarahi maqam seorang ulama’ besar yang berasal dari Maghribi iaitu al-‘Arif billah al-Muhaddis Ahmad ibn Siddiq al-Ghumari (gambar), abang kepada al-Muhaddis Syeikh Abdullah ibn as-Siddiq al-Ghumari rahimahumallah. Beliau lahir pada tahun 1320 H (1900 M) dan wafat pada 1380 H (1959 M). Beliau  dikenali sebagai seorang yang tegas dan meninggalkan lebih 300 buah kitab yang amat besar faedahnya buat para penuntut ilmu. 
Ziarah itu atas permintaan Ust Juzaili Juhan kepada Syeikh Yusri untuk membawanya kerana beliau akan pulang ke Malaysia pada 30 Disember ini. Kami bertolak secara konvoi dengan 5 biji kereta dan 3 biji motor menuju ke maqam yang terletak berhampiran Bu'uth.

Kami tiba kira-kira jam 8 pagi dan mendapati pintu maqam dikunci. Kawasan tersebut agak terpencil dan terasa ketenangannya. Tidak lama kemudian penjaga maqam datang dan membukanya. Kami pun sama-sama masuk diketuai Syeikh Yusri dan Syeikh Usamah sambil memberi salam kepada sohibul maqam yang juga mempunyai pertalian nasab kepada baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  melalui cucunya Saidina Hassan alaihissalam.



Syeikh Usamah menerangkan sesuatu

Syeikh Usamah menerangkan adab-adab para ulama’ al-Azhar ketika mana menziarahi maqam para auliya’. Bermula dengan memberi salam seperti awal bacaan tasyahhud dalam solat sehinggalah kepada السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين , kemudian dibaca al-fatihah sekali dan surah al-ikhlas sebanyak 11 kali dengan niat hadiah kepada tuan punya maqam. Beliau memberitahu bahawa Syeikh Ahmad rahimahullah berbeza pendapat dalam bilangan bacaan surah al-ikhlas iaitu sebanyak 12 kali, maka kami pun diminta untuk membaca sebanyak 12 kali sebagai menghormati sohibul maqam. Selepas itu kami mengaminkan doa yang dibacakan oleh 2 orang guru kami yang dikasihi ini. Setelah itu, kami mendengar beberapa kisah yang disampaikan oleh Syeikh Usamah. Kemudian, kami mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan di kawasan maqam dan bergerak pulang ke rumah masing-masing. 


Di hadapan maqam al-'Arif billah



Jumpa lagi Ust Ju tahun hadapan..insyaAllah 

Syukur sekali lagi padamu ya Allah atas kesempatan menziarahi salah seorang para auliya’Mu bersama ulama’ murabbi. Moga kita dihimpunkan bersama para hambaNya yang soleh lagi bertaqwa di hari perhitungan kelak dan mendapat syafaat dari penghulu anbiya’.
"Ya Allah ya Tuhanku! Kurniakanlah selawat dan salam serta berkat kepada Baginda dan keluarga Baginda, sahabat Baginda dan sesiapa sahaja yang mengikuti mereka hingga ke hari akhirat dengan limpahan rahmatMu dan keredhaanMu sebanyak-banyaknya."

Monday, December 28, 2009

10 Muharram 1431 H : Bersama Ulama’ Murabbi

Sesudah solat subuh berjama’ah yang berimamkan Syaikhuna Dr. Rif’at Fauzi di musolla yang berdekatan, al-faqir bersama akhi Hj Man bergegas menuju ke Masjid al-Asyraf, Muqattam. Hari ini seperti hari-hari yang biasa, namun ada satu keistimewaan seperti mana yang telah dijanjikan oleh Syaikhuna Dr. Yusri al-Hasani, beliau akan meriwayatkan sebuah hadis musalsal hari ‘Asyura bersempena dengan 10 Muharram pada hari ini. Hadis musalsal ini hanya diriwayatkan pada setiap 10 Muharram pada setiap  tahun. Kami tiba agak awal dan berjaya berada di sof kedua dari hadapan. Sebelum memulakan bacaan kitab, Syaikhuna berjanji akan meriwayatkannya seusai pengajian. Sekitar jam 7 pagi barulah pengajian habis. Al-faqir menoleh ke arah kanan dan kiri juga kebelakang, mengharapkan Syaikhuna Dr. Usamah as-Sayyid al-Azhari turun bersama menyampaikan sanadnya kerana beberapa hari sebelum itu, Syeikh Yusri memaklumkan bahawa menantu kesayangannya akan turut bersama pada majlis tersebut. Namun hampa kerana kelibat beliau tidak kelihatan. 
 

Syaikhuna memulakan membaca sanad hadis tersebut yang diambil dari gurunya al-Allamah al-Muhaddis as-Sayyid Abdullah bin as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah (gambar) sehinggalah bersambung kepada Rasulullah setelah melalui susur galur perawi yang panjang. Oleh kerana Syeikh Usamah tidak turun pada waktu itu, Syeikh Yusri turut membacakan sanad yang beliau ambil dari menantunya itu pada tahun lepas yang mana mereka saling bertukar-tukar sanad.  Setelah selesai semuanya, kami bersalaman sambil mencium tangan beliau untuk pulang.

Sebaik tiba di rumah dan berehat-rehat, akhi Nazrul yang pulang agak lewat datang memaklumkan bahawa Syeikh Usamah turun lewat dan memberikan ijazah sanadnya kepada yang belum pulang. Aduhh..memang terkilan sungguh tidak dapat mengambil sanad secara langsung dari beliau. Tapi dapat juga sanad beliau seperti yang dibacakan oleh bapa mertuanya itu. Ok lah tu, syukur apa yang ada. Beruntunglah siapa yang berpuasa pada hari ‘Asyura dan mendapat ijazah sanad hadis musalsal yang mana kelebihan berpuasa pada hari tersebut dijanjikan keampunan bagi tahun yang sebelumnya.

Sebaik masuknya waktu zohor, al-faqir bergegas ke musolla yang berdekatan untuk mengambil pula sanad hadis hari ‘Asyura bersama Syeikh Rif’at kerana al-faqir telah meminta izin darinya untuk mengambil sanad tersebut seusai solat subuh dan beliau menyuruhnya untuk datang pada waktu zohor. Awalnya beliau berseloroh dengan mengatakan supaya datang pada hari Isnin. Tetapi hadis tersebut hanya diriwayatkan pada 10 Muharram. Usai solat, terus menghadap beliau dan beliau mengajak menuju ke maktabahnya yang berhampiran untuk meriwayatkannya. Dimulakan dengan musalsal bil Awwaliyyah, beliau mengambil sanad hadis tersebut dari Syeikh Abdul Subhan al-Barmawi rahimahullah yang bersambung sehingga ke musnid dunia al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Yasin al-Fadani rahimahullah sehinggalah sampai kepada Rasulullah . Beliau juga mengambilnya dari Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari.
   
al-Allamah Syeikh Dr. Toha Rayyan al-maliki

Setelah selesai semuanya, pulang ke rumah dan terus bersiap-siap untuk ke kelas pengajian bersama al-Allamah Syaikhuna Dr. Toha Rayyan hafizahullah, seorang ulama besar al-Azhar yang pakar dalam fiqh mu’amalat dan fiqh perbandingan. Beliau mengajar kitab Hasyiah as-Sowi ala al-Jalalain pada tafsir al-Quran bertempat di Madhiyafah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi selepas asar. Tafsir pada hari ini bermula pada ayat 174-177 dari surah al-Baqarah. Ayat ini diturunkan kepada para pendeta Yahudi yang  menyembunyikan apa yang diturunkan Allah pada menerangkan sifat-sifat baginda Nabi Muhammad pada kitab Taurat dan Injil. Mereka menyembunyikannya kerana bimbang pengaruh agama mereka akan hilang kerana kedatangan nabi akhir zaman seperti yang dijanjikan Allah. Mereka lebih suka nabi akhir zaman diutuskan dari bangsa mereka sendiri. Maka  Allah mengumpamakan perbuatan mereka itu seperti menelan api di dalam perut mereka. Syeikh Toha juga mensyarahkan bahawa azab Allah yang pedih itu turut akan dirasakan oleh orang yang beriman seperti dalam sepotong ayat yang menyatakan bahawa orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim adalah seperti menelan api ke dalam perut mereka. Begitulah seterusnya beliau mensyarahkan secara panjang lebar.
Pengajian berhenti kira-kira 20 minit sebelum maghrib dan terus menghayunkan kaki menuju ke perhentian bas. Kebetulan bas yang menuju ke Hayyu Sabi’e ada, tetapi memandangkan azan maghrib hanya beberapa minit sahaja lagi, maka dibatalkan niat untuk terus pulang dan mengharapkan insyaAllah akan dipermudahkan jika kita mendahulukan urusan dengan Allah. Teringat pesanan baginda Nabi kepada Saidina Ibnu Abbas radhiyallah ‘anhuma:

(إحفظ الله يحفظك ...الخ) أو كما قال عليه الصلاة والسلام
Ertinya : “Jika kamu menjaga Allah (melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangannya dengan bersungguh2) maka Allah akan menjaga kamu (memudahkan urusan kamu)…”


Tanpa membuang masa terus menuju ke Masjid Syeikh Soleh al-Ja’fari untuk menanti waktu berbuka. Rupa-rupanya al-faqir tidak keseorangan, ditemani 2 orang teman dari Terengganu, kami berbuka secara ala kadar.
 
Nasi minyak + Sambal Ubi + Daging = Sedap gak 

 
" Bersama dengan 'mereka' membuatkan dirimu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada"
Selepas solat, arab memanggil sesiapa yang puasa untuk turun ke dewan makan, kerana ada disediakan ma’idah rahman (susah nak jumpa kat Malaysia macam ni, puasa sunat pun disediakan makan!). Juadah memang menyelerakan, nasi daging dengan sambal ubi dan tomato. Setelah puas menjamu selera, terus keluar menuju ke perhentian bas dan mendapati bas seolah-olah menanti kerana sebaik sahaja memijak tangga, bas terus berjalan. Jika tidak terpaksalah tunggu sejam lagi. Syukur padaMu ya Rabb atas segalanya. Allah berfirman dalam surah al-Insyirah :

إِنَّ مَعَ العُسْرِ يُسْرًا (٦) فإذا فَرَغْتَ فانْصَبْ (٧) وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ (٨)
Ertinya :(sekali lagi ditegaskan) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).


Indahnya hidup ini jika menjadikan ulama’ sebagai panduan dalam hidup dan jangan biarkan hari berlalu tanpa menatap dan berjumpa dengan ulama’ untuk mendapat keberkatan dalam hidup kerana menatap wajah para ulama' juga dianggap ibadah.

“Alangkah indah hidup ini, hidup bersama Ilahi, kehendak Allah difahami, pandai menerima dariNya.
Bijak menggunakan nikmatNya , ia dianggap ibadah, semua diberi pahala, tarbiyyah Allah berhikmah. Sabar dengan ujian, tanpa hisab akan diganjari, nikmat yang diberi memudahkan untuk berbakti… “- Hijjaz


p/s: Syukran jazilan kepada Dr Mohammad Sharifuddin dan Dr Afif yg sudi membenarkan broadband & laptop digunakan.

Friday, December 25, 2009

Siapakah al-Faqir?




Saidina Ali radhiyallah ‘anhu telah melihat seorang lelaki yang faqir berjalan di pasar Kota Basrah, lalu baginda bertanya kepadanya : “Siapakah kamu? “ . Lelaki itu berkata “ Aku seorang faqir”. Maka berlakulah dialog diantara mereka.

Saidina Ali : Apakah tanda-tanda al-faqir?
Si faqir       :Dari engkau diambilnya ilmu wahai Imam
Saidina Ali : Tanda-tanda bagi al-faqir itu ada sebelas ;

1)      Mengenali Allah ta’ala dengan sebenar-benarnya
2)      Sentiasa mematuhi perintahNya
3)      Berpegang teguh dengan sunnah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
4)      Sentiasa berada di dalam keadaan suci (berwudhu’)
5)      Sentiasa meredha’i dengan ketetapan Allah dalam setiap perkara
6)      Tidak melihat apa yang berada di tangan/zahir manusia
7)       Sentiasa yakin dengan apa yang ditetapkan Allah
8)      Mampu menanggung kesakitan dan kesusahan (bersabar)
9)      Bersegera dalam melaksanakan perintah Allah
10)   Menyantuni dan mengasihi sesama manusia (juga sesama makhluk)
11)   Mengetahui bahawa syaitan itu adalah musuhnya.
Apabila si faqir itu mendengar jawapan dari al-Imam, lantas menanggalkan pakaiannya yang compang-camping itu seraya berkata : “ Demi Allah, aku tidak akan memakainya lagi selepas hari ini “ .

Wednesday, December 23, 2009

Benarkah Bahasa Arab Sukar Dan Kepentingannya


Syeikh Dr. Fathi (memegang mikrofon), bersebelahan beliau ialah Syeikh Dr. Toha Hubaishi 

Alhamdulillah atas segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Semalam diberi kesempatan untuk duduk di dalam salah satu ‘taman syurga’ seperti mana yang disabdakan oleh baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Halaqah ilmu  bersama Syeikhuna Al-Allamah Al-Adib Dr Fathi Abd Rahman Ahmad Hijazi hafizahullah di Madhiyafah Syaikh Ismail Sodiq al-Adawi yang bertentangan dengan Universiti al-Azhar. Beliau mengajar kitab Syarah Qatrunnada karangan al-Imam Ibnu Hisham al-Ansori rahimahullah. Bab yang dibincangkan ialah at-Tanazu’ dan Maf’ul. Selepas zohor kami menghadap sang guru untuk mengutip mutiara ilmu yang keluar dari mulutnya. Melihat wajahnya sahaja sudah menyejukkan hati bagi kami yang dahagakan ilmu. Setiap butir percakapannya fasih dan jelas, diselang seli dengan bait syair yang indah dan cerita yang kadang-kala melucukan. 

Beliau mengatakan bahasa arab bukanlah sesukar yang disangka, akan tetapi mudah jika kita mengetahui rahsia-rahsia yang terkandung dalam setiap kalimah dan sebab-sebabnya. Sebagai contoh, semasa mensyarahkan kalam al-Imam ibnu Hisham yang menyatakan sebab mengapa hukum fa’il (yang melakukan) sebagai marfu’ selamanya, hukum maf’ul (yang dikerjakan) sebagai mansub selamanya. Ini kerana asal fa’il  tidak berlaku kecuali dengan satu/seorang manakala maf’ul boleh jadi satu atau ramai. Manakala baris rofo’ (dhommah) adalah berat dan baris nasob (fathah) adalah ringan bagi bangsa arab. Maka bagi membahagikan secara adil, diletakkan hukum rofo’ kepada yang satu dan hukum nasob kepada ramai. Beliau mengatakan rofo’ bagi bangsa arab adalah baris yang mulia , dan fa’il juga merupakan satu kemuliaan, maka hukum yang mulia adalah bagi yang mulia (الأشراف للأشراف). Tambahnya lagi, ulama’ dahulu membicarakan ilmu nahwu ini berdasarkan hati yang sentiasa berkait dengan fa’il yang hakiki iaitu Allah yang bersifat dengan ar-Raafi’ (yang Maha Tinggi).
Beliau mengatakan berdasarkan pengalamannya, kegagalan para pengajar menarik minat para pelajar untuk mencintai bahasa arab adalah kerana hanya setakat menerangkan hukum bagi setiap fi’il, fa’il, maf’ul dan sebagainya, tidak menerangkan sebab mengapa hukumnya begitu dan begini dan rahsia yang terkandung disebaliknya.
Inilah kelemahan sistem silibus yang hanya menghadkan tahap pembelajaran. Memetik kalam para ulama’, “keberkatan sesuatu ilmu itu di akhir kitab”. Maksudnya, jika hendak mendalami serta memahami ilmu itu adalah dengan membaca kitab bermula dari kulit hadapan hinggalah ke kulit akhir, dalam erti kata yang lain barulah kita dapat menghadham tujuan ulama’ menulis sesuatu ilmu. Ini kerana para ulama’ telah menyusun ilmu saling berkait tajuknya antara satu sama lain dari awal hingga akhirnya mengikut tahap sesuatu ilmu, maka disitulah keberkatan akan diperolehi. Tambahan pula secara berguru  disulami dengan adab-adab sebagai penuntut ilmu, maka Allah akan memberi  keberkatan dan kefahaman yang berganda.
Syaikhuna Dr. Fathi menceritakan, semasa di sekolah rendah beliau menghidap satu penyakit sehingga terpaksa dilakukan pembedahan kecil di bawah lidahnya. Disebabkan penyakit itu beliau tidak dapat memberikan tumpuan terhadap pelajarannya. Pelajaran yang beliau gagal pada masa tersebut ialah Nahu & Sorof tetapi hanya kekurangan separuh markah. Bermula dari situ, beliau membaca kitab Qatrunnada serta menghafaz segala isinya. Apabila beliau memasuki kuliah Lughah Arabiah di Al-Azhar, subjek Nahu dan ‘kawan-kawannya’ beliau berjaya mendapat markah imtiyaz. Sehinggalah sekarang beliau menjadi pensyarah bahasa arab di Kuliah Lughah Arabiah di Universiti Al-Azhar As-Syarif. Beliau menaqalkan kalam al-Imam ibnu ‘Ato’illah as-Sakandari rahimahullah  yang berbunyi :
من أشرقت بدايته نار محرِقة,كانت نهايته أنوار مشرقة
“Sesiapa yang permulaannya dengan api yang panas membakar  (kesusahan, kegagalan dsb), maka pengakhirannya adalah dengan cahaya yang menerangi (kesenangan, kejayaan dsb)”
Kata-katanya itu memberikan harapan dan semangat kepada kami untuk terus menggali dan mencari khazanah ilmu Allah yang tidak bertepi walau ditimpa segala bentuk ujian sekalipun. Teringat satu lagi kalam al-Imam ibnu ‘Ato’illah as-Sakandari rahimahullah :
"لا تصحب من لا ينهضك حاله, ولا يدلك على الله مقاله"
“Janganlah kamu bersama/bersahabat dengan orang yang tidak membangkitkan semangatmu dengan keadaannya, dan yang tidak menunjukkan (mengingatkan) kamu kepada Allah dalam setiap percakapannya
Sesungguhnya keindahan bahasa arab terkandung seribu satu rahsia yang mesti diterokai sedalamnya. Tambahan pula ianya bahasa dua sumber rujukan utama bagi umat Islam, jika tidak menguasai bahasa arab maka sukar untuk memahami kehendak dan maqasid syara’ seperti yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Tidak boleh untuk kita menghukum hanya berdasarkan zahir ayat semata-mata kerana dengan itu akan menyempitkan agama Islam itu sendiri, sedangkan Islam itu luas meliputi segala aspek kehidupan. Tetapi tidaklah tiada batasnya sehingga boleh dilakukan apa sahaja. Islam itu mudah, tetapi tidaklah sampai terlalu mudah sehingga boleh diremeh-remehkan. Ada dhowabit dan batasnya yang telah ditetapkan para ahlinya yang berkeahlian dalam menguasai bahasa arab, tidak lain dan tidak bukan para ulama’al-‘amilin.
Syaikh Mustafa Ahmad az-Zarqa rahimahullah, seorang ulama besar Syria yang juga merupakan pakar dalam bidang hadis, menulis di dalam muqaddimah kitabnya  " العقل والفقه فى فهم الحديث النبوي” , untuk memahami dengan baik hadis-hadis Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang diriwayatkan, kebanyakan kalam Nabi adalah dengan ‘jawami’ al-kalim’ (kalam yang ringkas, tetapi banyak maknanya) tidak dapat tidak berhajat kepada tiga perkara :

  1.  Mendalami bahasa arab dan mengetahui segala uslubnya
  2.  Aqal yang sempurna
  3.  Menguasai Fiqh as-Syari’ah - yang dengannya dapat diketahui      maqasidnya, dapat mengqiyaskan perkara yang seumpamanya,  mengetahui fiqh awlawiyat dan segala yang berkaitan dengannya.

  
Punca utama berlakunya salah faham dalam menentukan hukum adalah kelemahan dalam bahasa arab. Inilah akibatnya jika sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya untuk dibicarakan sehingga menjadi fitnah dan mengelirukan umat Islam. Ianya juga merupakan salah satu diantara tanda-tanda akhir zaman seperti mana yang disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad  صلى الله عليه وآله وسلم .

Al-Faqir sendiri masih diperingkat permulaan dalam mempelajari bahasa arab dan hanya  menyampaikan ilmu sekadar yang ada kerana ilmu itu milik Allah untuk dikongsi para hambaNya dan mengharapkan tunjuk ajar dari semua jika terdapat kesalahan.

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB