Syukur pada-Mu ya Allah…saya hampir-hampir tidak sempat menyertai majlis yang mulia seperti ini disebabkan beberapa faktor. Hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya hati ini pada awalnya. Namun tetap berdoa kepada Allah supaya diberi kesempatan untuk duduk di dalam majlis yang penuh keberkatan ini. Pagi Sabtu itu (hari pertama majlis) saya yang merasakan sudah tiada tempat hanya memandang sayu, cemburu kepada teman-teman yang lain bersiap untuk ke majlis tersebut. Tiba-tiba interkom rumah berbunyi, Akhi Shohib Arrumi (Ketua Unit Pendaftaran) memaklumkan ada tempat kosong menggantikan teman yang tidak dapat menghadirinya [terima kasih Shohib!!]. Alhamdulillah kerana Allah mendengar permintaan hambaNya yang faqir ini. Jika tidak dapat menyertai majlis ini, saya akan menyesal seumur hidup dan menyalahkan diri sendiri. Gembira bukan kepalang mendapat khabar tersebut lantas menutup PC dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri mencontohi para ulama’ seperti al-Imam Malik radhiyallah ‘anhu yang akan membersihkan diri dan memakai pakaian yang terbaik sebelum memasuki majlis yang memperdengarkan kalam-kalam Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Alhamdulillah sepanjang 4 hari majlis berlangsung, al-faqir dapat berada dibarisan paling hadapan, betul-betul di hadapan kaki Masyayikh. Fikir saya, jika pihak JPMK tidak menghalang majlis ini diadakan di Azhar Conference Center (ACC), mustahil untuk al-faqir duduk dihadapan sebegitu (mungkin itu hikmahnya terhadap apa yang berlaku, namun tetap tidak bersetuju atas tindakan tidak professional JPMK itu), dapat juga berkhidmat kepada para ulama’ walaupun sedikit. Saya sebenarnya begitu cemburu kepada sahabat-sahabat yang dapat berkhidmat kepada para ulama’ sepanjang program berlangsung. Alhamdulillah, masing-masing berebut untuk memberi khidmat yang terbaik kepada ulama’.
Saya begitu kagum dengan semangat para ulama’ yang menghadirkan diri hanya untuk membaca hadis. Hati ini bertambah semangat untuk menuntut ilmu apabila melihat Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani al-Husaini hafizahullah sanggup datang dari Iskandariah dan bermalam di Kaherah selama 3 hari, Syeikh Dr. Yusri al-Hasani hafizahullah sanggup mengambil cuti walaupun sibuk (beliau merupakan seorang doktor pakar bedah di sebuah hospital swasta), begitu juga dengan para masyayikh yang lain. Apa yang menggembirakan lagi ialah hampir kesemua Masyayikh yang terlibat merupakan Ahlul Bayt (nasab keturunan mereka sampai kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم).
Majlis penutup yang diadakan di Nadi Riadhi, Hayyu Sadis menjadi kenangan terindah buat semua yang terlibat dan tak akan dilupakan. Kehadhiran Mufti Mesir al-Imam al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah hafizahullah menjadi penyeri majlis. Saat beliau tiba di muka pintu, terzahir keizzahan ulama diwajahnya. Sebelum beliau tiba, setiap seorang dari Masyayikh memberi taujihat kepada semua peserta. Cukup menyentuh perasaan setiap kalam dari mereka, terutamanya dari Syaikhuna Usamah al-Azhari yang membuat hati ini tersentuh dan sebak tatkala membicarakan cinta dan kasih kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Pada permulaan majlis lagi saya dapat melihat Syaikhuna Dr. Yusri bergenang air matanya. Saya dapat rasakan beliau menangis kerana kerinduan yang amat sangat kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, mungkin juga tangisan kerinduan kerana majlis yang sebegini sudah lama tidak diadakan mengingatkan kembali kepada guru-gurunya terutamanya Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari dan sebagainya . Sungguh sebak melihat keadaan ini. Fadhilat al-Mufti dalam ucapannya menceritakan tentang Imam al-Bukhari radhiyallah ‘anhu, tentang sanad tertinggi Sohih al-Bukhari yang beliau ambil dari guru-gurunya seperti Syeikh Yasin al-Fadani, Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari, Syeikh al-Hafiz at-Tijani rahimahimullah dan sebagainya. Beliau juga memberikan ijazah ‘ammah kepada para hadhirin. Apa yang dapat dilihat, kesemua masyayikh gembira dan memuji majlis seperti ini, menghidupkan kembali sunnah yang telah lama ditinggalkan. Malam tersebut memang tak akan dilupakan kerana dapat bersama para ulama' yang dikagumi.
“Sedetik bersama ulama lebih bermanfaat dari seribu tahun bersama umara’(pemimpin)“. Alhamdulillah kerana jika saya sudah pulang ke tanah air, sudah tentu tidak dapat menyertai majlis yang penuh keberkatan ini. Mungkin itu hikmahnya atas ujian yang menimpa diri ini. Amat rugi bagi sesiapa yang pernah belajar di Mesir, tetapi tidak mendapat sanad kutub sittah terutamanya Sohih al-Bukhari (kitab yang paling sohih selepas al-Quran) tambahan pula dari sanad tertinggi melalui generasi ulama yang ada sekarang, kebanyakannya sudah berumur. Itupun bagi mereka yang betul-betul menyedari akan kepentingan sanad yang tinggi nilainya dan keberkatannya, bagi mereka yang tidak punya perasaan seperti itu apakan daya. Kadang-kadang pelik juga, apabila seminar yang menjanjikan imbuhan tertentu sanggup korbankan masa, tetapi bila program sebegini dan terpaksa mengeluarkan duit, buat tak tahu pula. Dibangganya pula dapat bersama dengan pegawai kerajaan. Entahlah.
Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) terutamanya anggota pelaksana program (add-hock) yang bertungkus lumus menjayakan majlis yang bersejarah lagi mulia ini. Tanpa usaha kalian mana mungkin majlis berjalan lancar. Moga usaha tersebut menjadi timbangan berat mizan kebajikan di akhirat kelak.
Tidak dilupakan juga ucapan tahniah kepada individu yang mencetuskan idea untuk menghidupkan sunnah yang sudah lama ditinggalkan ini iaitu Ustaz Khairul Anwar Ismail (mantan Presiden PMRAM 08/09) seperti mana yang diceritakan oleh Ust Hairul Nizam sebelum majlis ini diwar-warkan kepada umum. Semoga setiap yang menyumbang walau sedikit dalam menjayakan majlis ini mendapat ganjaran yang selayaknya dari Allah. Syaikhuna Muhammad Ibrahim al-Kattani menceritakan majlis pembacaan hadis Sohih al-Bukhari penuh keberkatan berdasarkan pengalaman yang beliau lalui. Semoga keberkatan para masyayikh akan melimpah kepada kita hendaknya. Sama-sama kita menunggu sambungan pembacaan Sohih al-Bukhari sehingga tamat. Moga kita diberi kekuatan dan semangat untuk meneruskan usaha yang mulia ini.
Tahniah PMRAM!!!
Bangga bercampur terharu, dua sahabat seperguruan Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari di atas satu pentas, Syeikh Yusri 2 tahun muda dari Syeikh Ali Jum'ah.
Nota:
Sekadar makluman, kelas Sohih al-Bukhari di Masjid al-Azhar oleh Syeikh Yusri setiap hari Sabtu, jam 10.15 pagi..ayuh ramaikan majlis tersebut.
0 kritikan / cadangan:
Post a Comment