Sesudah solat subuh berjama’ah yang berimamkan Syaikhuna Dr. Rif’at Fauzi di musolla yang berdekatan, al-faqir bersama akhi Hj Man bergegas menuju ke Masjid al-Asyraf, Muqattam. Hari ini seperti hari-hari yang biasa, namun ada satu keistimewaan seperti mana yang telah dijanjikan oleh Syaikhuna Dr. Yusri al-Hasani, beliau akan meriwayatkan sebuah hadis musalsal hari ‘Asyura bersempena dengan 10 Muharram pada hari ini. Hadis musalsal ini hanya diriwayatkan pada setiap 10 Muharram pada setiap tahun. Kami tiba agak awal dan berjaya berada di sof kedua dari hadapan. Sebelum memulakan bacaan kitab, Syaikhuna berjanji akan meriwayatkannya seusai pengajian. Sekitar jam 7 pagi barulah pengajian habis. Al-faqir menoleh ke arah kanan dan kiri juga kebelakang, mengharapkan Syaikhuna Dr. Usamah as-Sayyid al-Azhari turun bersama menyampaikan sanadnya kerana beberapa hari sebelum itu, Syeikh Yusri memaklumkan bahawa menantu kesayangannya akan turut bersama pada majlis tersebut. Namun hampa kerana kelibat beliau tidak kelihatan.
Sebaik tiba di rumah dan berehat-rehat, akhi Nazrul yang pulang agak lewat datang memaklumkan bahawa Syeikh Usamah turun lewat dan memberikan ijazah sanadnya kepada yang belum pulang. Aduhh..memang terkilan sungguh tidak dapat mengambil sanad secara langsung dari beliau. Tapi dapat juga sanad beliau seperti yang dibacakan oleh bapa mertuanya itu. Ok lah tu, syukur apa yang ada. Beruntunglah siapa yang berpuasa pada hari ‘Asyura dan mendapat ijazah sanad hadis musalsal yang mana kelebihan berpuasa pada hari tersebut dijanjikan keampunan bagi tahun yang sebelumnya.
Sebaik masuknya waktu zohor, al-faqir bergegas ke musolla yang berdekatan untuk mengambil pula sanad hadis hari ‘Asyura bersama Syeikh Rif’at kerana al-faqir telah meminta izin darinya untuk mengambil sanad tersebut seusai solat subuh dan beliau menyuruhnya untuk datang pada waktu zohor. Awalnya beliau berseloroh dengan mengatakan supaya datang pada hari Isnin. Tetapi hadis tersebut hanya diriwayatkan pada 10 Muharram. Usai solat, terus menghadap beliau dan beliau mengajak menuju ke maktabahnya yang berhampiran untuk meriwayatkannya. Dimulakan dengan musalsal bil Awwaliyyah, beliau mengambil sanad hadis tersebut dari Syeikh Abdul Subhan al-Barmawi rahimahullah yang bersambung sehingga ke musnid dunia al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Yasin al-Fadani rahimahullah sehinggalah sampai kepada Rasulullah ﷺ. Beliau juga mengambilnya dari Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari.
al-Allamah Syeikh Dr. Toha Rayyan al-maliki
Setelah selesai semuanya, pulang ke rumah dan terus bersiap-siap untuk ke kelas pengajian bersama al-Allamah Syaikhuna Dr. Toha Rayyan hafizahullah, seorang ulama besar al-Azhar yang pakar dalam fiqh mu’amalat dan fiqh perbandingan. Beliau mengajar kitab Hasyiah as-Sowi ala al-Jalalain pada tafsir al-Quran bertempat di Madhiyafah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi selepas asar. Tafsir pada hari ini bermula pada ayat 174-177 dari surah al-Baqarah. Ayat ini diturunkan kepada para pendeta Yahudi yang menyembunyikan apa yang diturunkan Allah pada menerangkan sifat-sifat baginda Nabi Muhammad pada kitab Taurat dan Injil. Mereka menyembunyikannya kerana bimbang pengaruh agama mereka akan hilang kerana kedatangan nabi akhir zaman seperti yang dijanjikan Allah. Mereka lebih suka nabi akhir zaman diutuskan dari bangsa mereka sendiri. Maka Allah mengumpamakan perbuatan mereka itu seperti menelan api di dalam perut mereka. Syeikh Toha juga mensyarahkan bahawa azab Allah yang pedih itu turut akan dirasakan oleh orang yang beriman seperti dalam sepotong ayat yang menyatakan bahawa orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim adalah seperti menelan api ke dalam perut mereka. Begitulah seterusnya beliau mensyarahkan secara panjang lebar.
Pengajian berhenti kira-kira 20 minit sebelum maghrib dan terus menghayunkan kaki menuju ke perhentian bas. Kebetulan bas yang menuju ke Hayyu Sabi’e ada, tetapi memandangkan azan maghrib hanya beberapa minit sahaja lagi, maka dibatalkan niat untuk terus pulang dan mengharapkan insyaAllah akan dipermudahkan jika kita mendahulukan urusan dengan Allah. Teringat pesanan baginda Nabi ﷺ kepada Saidina Ibnu Abbas radhiyallah ‘anhuma:
(إحفظ الله يحفظك ...الخ) أو كما قال عليه الصلاة والسلام
Ertinya : “Jika kamu menjaga Allah (melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangannya dengan bersungguh2) maka Allah akan menjaga kamu (memudahkan urusan kamu)…” Tanpa membuang masa terus menuju ke Masjid Syeikh Soleh al-Ja’fari untuk menanti waktu berbuka. Rupa-rupanya al-faqir tidak keseorangan, ditemani 2 orang teman dari Terengganu, kami berbuka secara ala kadar.
Nasi minyak + Sambal Ubi + Daging = Sedap gak
" Bersama dengan 'mereka' membuatkan dirimu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada"
Selepas solat, arab memanggil sesiapa yang puasa untuk turun ke dewan makan, kerana ada disediakan ma’idah rahman (susah nak jumpa kat Malaysia macam ni, puasa sunat pun disediakan makan!). Juadah memang menyelerakan, nasi daging dengan sambal ubi dan tomato. Setelah puas menjamu selera, terus keluar menuju ke perhentian bas dan mendapati bas seolah-olah menanti kerana sebaik sahaja memijak tangga, bas terus berjalan. Jika tidak terpaksalah tunggu sejam lagi. Syukur padaMu ya Rabb atas segalanya. Allah berfirman dalam surah al-Insyirah :
إِنَّ مَعَ العُسْرِ يُسْرًا (٦) فإذا فَرَغْتَ فانْصَبْ (٧) وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ (٨)
Ertinya :(sekali lagi ditegaskan) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).
Indahnya hidup ini jika menjadikan ulama’ sebagai panduan dalam hidup dan jangan biarkan hari berlalu tanpa menatap dan berjumpa dengan ulama’ untuk mendapat keberkatan dalam hidup kerana menatap wajah para ulama' juga dianggap ibadah.
Bijak menggunakan nikmatNya , ia dianggap ibadah, semua diberi pahala, tarbiyyah Allah berhikmah. Sabar dengan ujian, tanpa hisab akan diganjari, nikmat yang diberi memudahkan untuk berbakti… “- Hijjaz
p/s: Syukran jazilan kepada Dr Mohammad Sharifuddin dan Dr Afif yg sudi membenarkan broadband & laptop digunakan.
0 kritikan / cadangan:
Post a Comment