Monday, February 1, 2010

Ya Allah...Sembuhkannya Dengan Keberkatan KekasihMu

Alhamdulillah selesai sudah imtihan semester pertama bagi sesi 2009/10 Universiti al-Azhar as-Syarif. Al-faqir mengharapkan doa dari kalian kerana doa sahabat kepada sahabat tanpa pengetahuannya dimakbulkan Allah, juga mengharapkan dengan keberkatan dan kemuliaan baginda Nabi Muhammad   akan memberi kejayaan kepada kita di dunia dan diselamatkan dari azab akhirat. Kadang-kadang terasa malu untuk menadah tangan yang hina ini kepada Allah untuk meminta itu dan ini kerana terkadang juga sering alpa dan lalai mengerjakan segala perintahNya…ya Rabb ampunilah dosa-dosa kami dengan kemuliaan kekasihMu!!

Ketika kami sudah berjaya mengharungi imtihan yang belum diketahui natijahnya bagaimana (insyaAllah kullu bikhair), sahabat kami Abdullah bin Yahya masih lagi bertarung nyawa menghadapi ‘imtihan’ yang amat perit dilihat oleh mata. Beliau sekarang terlantar di Hospital ‘Ain Syams kerana dijangkiti kuman di dalam perut selain kegagalan buah pinggang berfungsi. Sudah 4 hari beliau ditahan di wad sejak Jumaat yang lalu. Ketika menziarahi beliau semalam, sebak melihat keadaannya yang tidak bermaya.  Sudah beberapa hari beliau tidak berselera untuk menjamah makanan. Rasa kasihan apabila mendengar bagaimana sahabat yang menemaninya menceritakan bagaimana beliau dirawat oleh doktor arab. Sangat kasar dan sadis! Sukar untuk menceritakannya. Terbayang betapa perit beliau menanggung siksa itu.Ya Rabb.

Abdullah Yahya (tengah) seusai solat eidul adha 2 tahun lepas..

Beliau merupakan anak kepada seorang tuan guru yang disegani di Kedah. Terhimbau memori ketika al-faqir dan beberapa orang sahabat sempat bertalaqqi dengan ayahnya Tuan Guru Yahya bin Sha'ari ataupun lebih mesra dipanggil baba sebelum menjejakkan kaki ke Mesir pada 2004 yang lalu. Ayahnya pernah menuntut di Makkah sekitar tahun 60-90 an dahulu dan menyambung pengajian  di Mesir dalam bidang Syariah Islamiah. Sekarang bertugas di Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena. Permukiman kami di pondok beliau selama sebulan terhenti sejak beliau mendapat tawaran untuk mengajar di situ.

Semoga beliau tabah dan sabar menghadapi dugaan ini. Setiap ujian itu ada hikmahnya, Allah tidak akan menguji hamba-hambaNya yang dikasihi melainkan dengan tujuan untuk mengangkat kedudukan di sisiNya. Sama-sama kita doakan kepada Allah agar kesihatannya kembali seperti biasa. Firman Allah di dalam surah as-Syuu’ara’ ayat 80:


"Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku.

Sama-sama kita menjaga nikmat kesihatan kurniaanNya.

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB