Sunday, July 25, 2010

Ziarah Sheikhul Islam Mustafa Sabri Efendi (1869 – 1954)

Alhamdulillah semalam (Sabtu – 12 Sya’ban 1431 H - 24/7) diberi kesempatan untuk duduk di dalam taman ilmu yang dinaungi para malaikat Allah sebagaimana yang telah disebutkan oleh baginda Nabi . Bersesuaian dengan bab yang disyarahkan oleh Syaikhuna Dr Yusri Rushdi al-Hasani hafizahullah mengenai hadis-hadis tugasan setiap para malaikat dari kitab Sohih al-Bukhari. Moga-moga dengan keberkatan majlis tersebut diredhai Allah dan RasulNya  .

Menyebut mengenai keredhaan dari Rasulullah  mengenai majlis tersebut ada satu kisah yang diceritakan oleh perawi yang siqah (dipercayai), bahawa Syeikh Yusri telah diceritakan mengenai mimpi seorang adik kepada sahabat syeikh yang menetap di Mekah. Adiknya telah bermimpi bahawa abangnya sedang membaca kitab Sohih al-Bukhari dihadapan baginda Nabi  dan pakaian yang dipakai oleh Nabi  ketika itu ialah kemeja bertali leher serta berkot dan itulah pakaian yang dipakai oleh Syaikhuna sewaktu mengajar di Masjid al-Azhar. Apabila diceritakan kepada beliau mengenai mimpi tersebut, Syeikh Yusri menafsirkan mimpi itu sebagai Rasulullah  ﷺ meredhai dengan majlis pengajian itu. Apabila Rasulullah  meredhai dengan sesuatu perkara, secara tidak langsungnya Allah juga meredhai kerana keredhaan Allah bersama dengan keredhaan RasulNya. Sungguh beruntung bagi mereka-mereka yang mendapat keredhaan Allah dan itulah hadaf tujuan hidup yang utama.

Hari ini juga adalah penangguhan majlis pengajian kitab Sohih al-Bukhari selama 2 bulan bagi memberi peluang untuk menghayati bulan Sya’ban serta sebagai persediaan menyambut Ramadhan al-Mubarak. InsyaAllah akan bersambung semula selepas minggu pertama Syawwal.


Seusai pengajian, al-faqir menemui sahabat dari Turki. Al-faqir telah berjanji kepadanya untuk membawanya menziarahi maqam Syaikhul Islam terakhir sewaktu pemerintahan Khilafah Uthmaniyah iaitu Sohibul Fadhilah Syeikh Mustafa Sobri rahimahullah. Seorang lagi sahabatnya dari Turki yang berkali-kali meminta untuk menunjukkan maqam tersebut tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain. Berulangkali juga beliau menyebut bahawa sangat cintakan sohibul maqam. Sebelum ini al-faqir hanya memandang dari tingkap bas sahaja maqam tersebut dan sebagai ‘balasannya’ sahabat dari Turki ini berjanji untuk membawa al-faqir menziarahi Syaikhu Syaikhina al-Imam Zahid al-Kauthari rahimahullah, juga seorang ulama’ besar dari Turki pada zamannya yang meninggal serta dimakamkan di Kota Kaherah.

Setelah menunaikan solat zohor berjamaah di Masjid al-Azhar, al-faqir mengajak beliau untuk memulakan ziarah dengan menziarahi cucu kesayangan baginda Nabi s.a.w iaitu Saidina al-Imam Husein bin Ali radhiyallah ‘anhuma wa ‘alaihimassalam. Habib Ali al-Jifri hafizahullah pernah berpesan; "Kamu yang berada di Mesir seharusnya paling kurang seminggu sekali menziarahi Saidina Husein." Adalah menjadi sesuatu yang ralat jika tidak mengunjungi ahli bait nabawi kepada penuntut ilmu yang belajar di bumi anbiya’ini, paling kurang sehari dalam seminggu. Antara adab ziarah maqam ialah dengan mendahului maqam ahli bait Nabi daripada maqam para auliya’ yang lainnya seperti mana yang dianjurkan para ulama’ Al-Azhar.

Sebaik sampai di kawasan perkuburan, kami tersilap makam kerana menyangkakan itu makam beliau, apabila diketuk pintu, dibuka oleh seorang makcik lalu kami mengatakan ingin masuk untuk menziarahi Syeikh Mustafa Sabri rahimahullah, lalu makcik itu mengatakan makam asalnya tidak berapa jauh dari situ. Apabila dilihat kembali kepada signboard , baru terperasan ada anak panah kecil di bawahnya menunjuk ke dalam kawasan perkuburan itu. Kemudian kami memulakan operasi mencarinya. Puas dicari, namun tidak dijumpa kerana tidak diletakkan namanya di pintu makam. Kemudian seorang ammu (pakcik), namanya Hasan datang dan menunjukkan makam sebenar beliau. Syeikh Mustafa Sabri dikebumikan di sebuah makam milik keluarga Syeikh Muhammad Rasikh al-Qinawi rahimahullah (wafat pada 1354 H), daripada ulama' Al-Azhar. Pakcik itu menunjukkan maqam Syeikh Mustafa Sabri yang bersebelahan dengan Syeikh Muhammad Rasikh al-Qinawi, katanya mereka adalah sahabat sewaktu Syeikh Mustafa Sabri datang ke Mesir. Tambahnya lagi maqam tersebut baru dibaiki. Kemudian pakcik itu bertanyakan siapa sebenarnya Syeikh Mustafa Sabri, maka kami pun menerangkan serba ringkas berdasarkan pengetahuan yang ada. 

Kemudian kami memberi salam kepada sohibul maqam sambil menghadiahkan al-Fatihah sebagaimana yang diajarkan oleh masyaikh al-Azhar. Selepas itu kami mengambil gambar kenangan sebelum beredar pulang ke rumah masing-masing. 

Signboard  menuju maqam Syeikh Mustafa Sabri

Maqam Syeikh Mustafa Sabri (maqam yang berbentuk dataran) manakala maqam Syeikh Muhammad Rasikh al-Qinawi bersebelahannya

Maqam milik keluarga Syeikh Muhammad Rasikh al-Qinawi

Bersama Beitullah dari Turki

Sungguh bertuah bumi anbiya’ ini, walaupun zahirnya dipenuhi debuan pasir, namun di sini jugalah tempat sebahagian para Nabi Allah ‘alaihimussalam memijakkan kaki serta dimuliakan dengan bersemadinya ribuan bahkan jutaan auliya’ Allah. Di Mesir juga terdapat hampir lima ribu para sahabat ridhwanullah ‘alaihim disemadikan. Moga-moga dengan keberkatan para solihin akan tempias kepada kita.

Nota:

Untuk mengenali dengan lebih lanjut siapakah Syeikh Mustafa Sobri ini, sila klik di sini.

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB