Monday, June 22, 2009

Mengimbau kenangan bertemu dan berpisah dua tokoh di Muassasah Darul Ulum.


Tujuh tahun yang lalu, pada tanggal 12 Rabi'ul Akhir 1423 H bersamaan dengan 23 Jun 2002 hari Ahad adalah tarikh yang pastinya sukar dilupakan oleh para pendokong dan penyokong gerakan dakwah khususnya di Malaysia. Hari yang menyentak sanubari setiap jiwa berikutan pemergian Al-Marhum Ustaz Fadzil bin Mohd Noor menghadap Rabbul Izzati buat selama-lamanya disaat kepimpinannya masih diperlukan. Tiada siapa yang mampu menghalang qodho' dan qadar Allah. Namun yang pergi telah pergi, dan yang hidup akan meneruskan kehidupan dalam memperjuangkan untuk menegakkan syariat Allah dimuka bumi. Almarhum Ustaz Fadzil Noor telah meninggalkan qudwah yang amat baik untuk diteladani baik dikalangan pemimpin mahupun dikalangan para penyokong gerakan dakwah Islam. Keperibadian beliau begitu sederhana sehingga dikagumi kawan dan lawan. Benih dan tapak dakwah (dalam masa yang sama tak menafikan jasa dan pengorbanan ulama' terdahulu) yang ditanam dan disemai beliau mula menampakkan hasil kini walaupun mengambil masa yang agak panjang. Dakwah Islam sudah boleh diterima dan menjadi alternatif kepada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Almarhum Ustaz Fadzil Noor boleh dianggap menjadi tokoh mujaddid kepada gerakan Islam di Malaysia yang menggunakan konsep gabungan ulama dan proffesional dengan pendekatan yang sederhana dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan dasar perjuangan meninggikan syariat Allah yang berpaksikan al-Quran dan sunnah.
Namun, coretan ini bukanlah untuk mengupas tentang pemikiran dan ketokohan beliau, kerana diri ini bukanlah layak untuk menulisnya, cuma untuk berkongsi mengimbau kembali detik yang menyedihkan pada hari tersebut.

Masih teringat lagi pada hari tersebut, pada ketika itu waktu rehat sekolah di Tingkatan Lima Ikhlas, seorang sahabat datang memberitahu bahawa Almarhum Ustaz Fadzil Noor telah kembali ke rahmatullah. Dia memberitahu apabila melihat berita TV di maktabah. Hati ini terus menjadi sebak, sukar untuk menerima berita tersebut. Umum mengetahui bahawa beliau dimasukkan ke hospital hampir 2 minggu untuk menjalani pembedahan pintasan jantung dan ramai yang mendoakan agar beliau selamat menjalani pembedahan tersebut kerana mengetahui akan risikonya. Namun apakan daya, Allah lebih menyayanginya.

Setelah mengetahui berita tersebut, hati ini menjadi tidak tenteram. Pengajian dalam kelas sudah tidak boleh ditumpu. Pihak sekolah memberhentikan pengajian dan meminta semua guru dan pelajar untuk ke Dewan sekolah untuk majlis tahlil kerana Almarhum merupakan bekas pelajar dan juga pengajar di situ.

Selepas pulang ke rumah sewa, aku dan sahabat Noor Jalaluddin @ Bang Long terus memecut motor menuju ke Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena apabila mendapat tahu beliau akan dikebumikan di situ kerana wasiat beliau yang mahu disemadikan disitu. Beliau merupakan pengasas kepada Muassasah Darul Ulum. Kebetulan pagi tersebut, aku baru pulang ke rumah sewa dan rumahku berdekatan dengan Muassasah sekitar jarak 10 minit perjalanan. Waktu ketika itu sekitar pukul 2.30 petang, jalan raya mula sesak. Nasib baik kami naik motor, kalau tidak kena jalan kaki la alamatnya. Sebaik sampai di Muassasah, jenazah masih belum tiba kerana masih dalam perjalanan melalui kapal terbang tentera udara yang disediakan oleh pihak Kerajaan pada waktu itu sebagai penghormatan kerana Almarhum pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen merangkap Ahli Parlimen Pendang dan juga Presiden PAS.

Waktu itu perkarangan Muassasah penuh sesak dengan ribuan manusia dari pelbagai latar belakang yang menyayangi Almarhum, kami tersua dengan kumpulan nasyid yang popular ketika itu, 'Firdaus' yang datang dari UUM, Sintok. Begitu hebat pengaruh yang ada pada Almarhum sehingga mampu menarik pelbagai lapisan masyarakat di waktu masih hidup hinggalah saat pemergian beliau.


Jenazah hanya tiba sekitar jam 6 petang akibat kesesakan lalu lintas yang luar biasa, dan saat ketibaan van jenazah yang dihadiahkan Almarhum kepada PAS Pendang, aku menyambutnya di pintu pagar dengan sebak. Laungan takbir bergema memecah ruang angkasa Muassasah, masing-masing sayu menahan sedih.

Para hadhirin hanya diberikan kesempatan untuk memberikan penghormatan terakhir pada jam 7 petang setelah keluarga Almarhum diberi peluang untuk menatap wajah terakhir di rumah beliau yang berdekatan dengan Muassasah. Alhamdulillah keadaan tenang dan berjalan lancar walaupun ribuan manusia memenuhi perkarangan Muassasah. Aku menunggu dan dapat melihat saat jenazah diturunkan ke liang lahad pada jam 10 malam (kalau tak silap). Itulah perpisahan terakhir bersama beliau yang tak akan kulupakan. Setelah talqin selesai dibacakan barulah kami pulang ke Alor Setar.

Begitulah ketokohan peribadi Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang disanjungi kawan mahupun lawan. Pendekatan sederhana beliau dalam menyampaikan dakwah mampu diterima dengan baik oleh setiap golongan masyarakat. Ribuan manusia yang hadir menggambarkan betapa Almarhum menjadi pemimpin yang disayangi oleh semua lapisan masyarakat.

Aku juga berkesempatan bertemu dengan Almarhum beberapa kali. Antaranya pada ketika hari raya puasa pada tahun 1422 H bersamaan pada tahun 2001. Aku dan abangku antara orang yang paling awal tiba di Muassasah untuk solat Eidul Fitri sehinggakan disangka sebagai pelajar di situ. Aku mengambil tempat betul-betul di hadapan rostrum yang dijadikan tempat berkhutbah di musolla Muassasah. Khutbah hari itu disampaikan sendiri oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Seusai solat, aku bersama para jamaah berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau. Itulah antara kenangan bersua muka dengan Almarhum yang tidak dapat dilupakan. Bagi mengubati kerinduan terhadap beliau, aku berulangkali melihat video ceramah dan ucapan perbahasan beliau di sidang Parlimen.



Muassasah Darul Ulum juga menjadi tempat bersejarah bagiku. Ini kerana aku dapat bertemu dan melihat dari dekat ulama murabbi yang juga seorang proffesional (bekas jurutera) yang baru meninggal dunia pada 20 Jamadil Akhir 1430 H bersamaan 13 Jun 2009 yang lalu iaitu Almarhum Dr. Fathi Yakan. Masih segar diingatan ketika itu pada tahun 1998, kami beramai-ramai menaiki bas yang disediakan oleh abang-abang senior Badan Dakwah & Kebajikan Maktab Mahmud, versi ceritanya boleh dibaca disini. Cumanya aku tinggal di rumah sewa Cikgu Ibrahim (Darul Islah watta'lim), jadi tak menjadi masalah untuk keluar berbanding sahabat-sahabat yang tinggal di asrama sekolah. Tapi waktu itu baru tingkatan satu, belum mengerti apa-apa. Namun, alhamdulillah ku ucapkan kerana diberi kesempatan untuk menatap dari dekat wajah tokoh yang menjadi sumber rujukan para pendokong gerakan dakwah di seantero dunia. Itulah pertemuan pertama dan terakhir bersejarah yang tak akan kulupakan, kini beliau sudah berpisah dengan kita semua.

Jasa dan pengorbanan kedua-dua tokoh ini terlalu mahal untuk dibayar. Semoga kedua-dua mereka ditempatkan di syurga bersama para anbiya, syuhada', auliya' dan solihin, dan semoga kita dapat bertemu dengan mereka di syurga kelak, alam kehidupan yang kekal abadi selepas dibangkitkan dari alam barzakh untuk dihisab segala amalan dan tiada lagi perpisahan yang menyedihkan. Ameen ya Rabb.


Al-Fatihah untuk kedua-dua tokoh besar ini.

Saturday, June 20, 2009

Blog usangku dah bersawang!!!


salam ukhuwwah...

waa..blogku dah bersawang..jenuh la nak cuci balik. Hampir setahun dibiarkan tak diupdate, dah sambut annivesary yang pertama pun blog ni (baru setahun jagung dalam dunia blog memblog ni)..hehe..apa-apa pun ana mewakili pihak blog ni nak ucapkan syukran jazilan kepada penjengah blog ni, tak kira la yang selalu masuk atau yang "termasuk" kerana sudi menjengah blog yang tak seberapa ni. Alasan utama tak update blog ni ialah "MALAS", satu penyakit yang hanya boleh diubati dengan mujahadah yang tinggi. Ubatnya tak ada di farmasi, hatta seorang pakar motivasi pun tak mampu mengubah sikap seseorang, semuanya bergantung pada tuan punya badan.

Apa yang membuat ana jadi semangat untuk mengupdate kembali apabila melihat blog sahabat-sahabat yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa. Tujuan asal ana menulis ni pun suka-suka atas dasar nasihat-menasihati dan ingat-mengingati kerana dengan perkara tersebut dapat menyelamatkan kita dari tergelincir dari tujuan asal kita dijadikan disamping berkongsi maklumat sesama kita. Pencipta kita pun menyebut di dalam kalamnya yang suci;

Maksudnya: "Dan tetap tekunlah Engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman. [Az-Zariyat : 55]

InsyaAllah pemilik blog ni akan mengemaskini sekerap mungkin (bergantung kepada ilham), tapi tak berani jamin la nak tahan lama mana semangat ni.

p/s: sudi2 la bagi kritikan @ cadangan yer...


 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB