Monday, August 31, 2009

Rahmat Ramadhan al-Mubarak



Salam Ramadhan al-Mubarak,

Sedar tak sedar kita sudah melepasi satu pertiga madrasah Ramadhan yang mana dijanjikan rahmat padanya, moga-moga kita termasuk di dalam golongan yang turut mendapatnya..ameen ya Rabb. Berlalunya sepuluh hari yang pertama itu tidak bererti akan berakhir juga rahmat Allah, kerana rahmat Allah itu sentiasa meliputi seluruh isi alam sehingga matahari muncul dari barat. Allah سبحانه وتعالى menceritakan perihal rahmatNya dalam banyak ayat al-Quran, antaranya di dalam surah al-A'raf ayat 156:

Allah berfirman: "Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu..."

Dikisahkan ada seorang abid yang hidup sehingga ratusan tahun. Kehidupan sehariannya dipenuhi dengan beribadah kepada Allah siang dan malamnya. Sehinggalah tiba saat untuk dihitung segala amalannya dan si abid itu berjaya melepasinya dengan timbangan amal ibadahnya lalu Allah memerintahkan kepada para malaikat untuk memasukkannya ke dalam syurga dengan rahmat Allah. Tetapi si abid itu membantahnya dengan mengatakan bahawa dia dimasukkan ke dalam syurga adalah kerana dengan pahala amal ibadahnya. Lantas Allah memerintahkan supaya dia dimasukkan ke dalam neraka atas keegoannya itu (na'uzubillah min zalik). Begitu besar gambaran rahmat Allah terhadap makhluknya. Apalah erti amal ibadah dan kebajikan yang dilakukan sekiranya tidak mengundang pandangan Allah dan mendapat rahmatNya.

Petang Jumaat yang lalu bersamaan 7 Ramadhan, saya diajak oleh sahabat, Ust Nazrul untuk berbuka puasa di Syoubra kerana mendapat jemputan dari sahabat-sahabat al-huffaz yang membuat kenduri. Agak lewat kami keluar dari asrama, kurang sejam dari waktu berbuka. Entah bagaimana sewaktu berjalan, kami berselisih dengan ammu 'Azim (pemandu van sewa yang famous di kalangan pelajar Malaysia). Beliau yang ketika itu hendak pulang ke rumahnya yang juga kebetulan berdekatan dengan Syoubra mempelawa untuk naik bersama. Apalagi bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, kami terus naik. Beliau terus menghantarkan sampai ke Syoubra tanpa sebarang bayaran (moga Allah menambahkan rezekinya berlipat kali ganda). Sebaik tiba, azan maghrib terus berkumandang. Bayangkan kalau kami menaiki bas pada waktu itu, alamatnya berbuka atas bas la. Itupun ammu 'Azim mengikut jalan pintas yang pada ketika itu turut sesak! Syukur padaMu ya Rabb atas rahmatMu.

Keesokan harinya, sahabat-sahabat dari Terengganu menyewa van juga dari ammu 'Azim untuk ke Masjid al-Asyraf, Muqattam untuk solat tarawih yang malam itu dikhatam al-Quran (solat tarawih di sini dibaca 3 juzu' semalam). Mereka mempelawa kami untuk turut bersama tanpa bayaran (jazakumullah). Setelah habis solat sekitar jam 1 pagi, maka kami pun pulang ke asrama. Sebaik tiba, ammu 'Azim mengembalikan wang sewa tersebut dengan alasan hadiah darinya. Terharu dengan sikap beliau yang pemurah itu, moga Allah membalas jasanya.

Itu hanya secebis dari rahmat Allah yang maha luas di dunia, di akhirat kelak rahmat Allah akan dikurniakan kepada hamba-hambanya yang bertaqwa dan juga kepada kepada sesiapa yang dikehendakinya. Moga-moga kita termasuk dalam golongan yang mendapat rahmatNya.

عن سلمان الفارسى رضي الله عنه قال, قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم :

( إن لله تعالى مئة رحمة, فمنها رحمة يتراحم بها الخلق بينهم, وتسع وتسعون ليوم القيامة)

"Sesungguhnya Allah memiliki seratus rahmat, antaranya satu rahmat untuk makhluknya untuk berkasih sayang sesama mereka di dunia dan sembilan puluh sembilan lagi untuk hari kiamat" - Riwayat Muslim

Lihat klip video yang menunjukkan rahmat Allah terhadap makhluknya:



Sama-sama kita berusaha mendapatkan rahmat Allah dan jangan berputus asa dari rahmatNya. 
 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB