Sunday, July 5, 2009

Pengajaran untuk hari ini.."Jangan marah!"

Alhamdulillah ku ucapkan kepada Tuhan sekalian alam kerana masih memberi peluang untuk menghirup udaranya dan diberi nikmat iman dan islam. Hari ini memberikan pengajaran yang amat bermakna dalam hidupku kerana mendapat tarbiyyah dari murabbiku yang dikasihi.

Segalanya bermula apabila aku dan sahabat akhi Zamri Mustafa bersama membonceng motosikal untuk menuju ke kelas pengajian selepas subuh di Masjid al-Asyraf, Al-Muqattam bersama Syeikhuna Dr Yusri Rushdi Al-Hasani hafizahullah. Semasa dalam perjalanan, motosikal yang kami naiki kehabisan minyak, terpaksalah kami menuntunnya menuju ke stesyen minyak yang berdekatan (nasib baiklah tak jauh, tidak berpeluh juga la pagi ni). Apabila tiba, aku meminta kepada budak arab yang bertugas (sebab masih budak lagi,mungkin cari duit tambahan sempena cuti ni) untuk diisi minyak dengan kadar harga 1 genih . Kemudian ia mengisinya, dahla minyak ada yang terkeluar (tak masuk dalam tangki) kemudian dia berhenti. Aku tengok di meter pam minyak tersebut, hanya 0.78 qurush, apalagi aku pun meminta untuk mengisinya mencukupi dengan kadar yang diminta (dengan cara elok), namun budak arab ni kata cukup. Aku sebagai manusia biasa yang ada perasaan ni pun geram la, lalu aku pun naik darah dan bertengkar dengannya. Setelah puas dijerkah baru dia mengisinya kembali, namun tak mencukupi juga (keras kepala betul budak ni), dah la isi minyak tak cukup, terkeluar dari tangki pulak, pastu nak minta duit lebih..haiii sapa tak marah. Memanglah apa sangat segenih tu, tapi nak kena ajar sikit arab ni, jangan dok bagi muka sangat, nanti naik kepala. Kalau dia buat cara elok tak apa la juga, dia minta duit lebih pun, aku niat sedekah kat dia. Nasib baik la akhi Zamri menenangkan keadaan, kalau tidak tak tahulah apa akan jadi. Aku meninggalkan stesyen minyak tersebut dalam keadaan geram bercampur marah.

Setibanya di Masjid Al-Asyraf, kami pun bergegas masuk untuk bertalaqqi kitab Tuhfatul Ahwazi syarah Jami' Tarmizi. Kebetulan waktu itu Syeikhuna meriwayatkan hadis tentang sebab turun ayat al-quran dalam surah an-Nuur mengenai li'an (tuduhan berzina ke atas wanita yang solehah) . Selepas membaca syarahannya, sahabat akhi Nazrul Abd Nasir bertanya satu persoalan kepada guru kami yang mulia. Lalu beliau menjawabnya, dan membaca sebuah hadis :

( لا تَغضَبَََََََََََََََََََََََ...)
yang bermaksud : " Jangan marah ..."

Aku pun menjadi tersentak, dan teringat kejadian di stesyen minyak sebentar tadi dan merasakan seolah-olah Syeikhuna menegur aku. Beliau juga berulangkali menyebut perkataan marah dalam syarahnya. Timbul rasa keinsafan dalam diri al-haqir ini. Terasa bersalah pula kat budak arab tadi.

Ketika ziarah saa'iedah (dihadapan pintu masuk) ke maqam Sidi Abul Hasan as-Asyazuli rahimahullah di Aswan bersama syeikhuna dan sahabat-sahabat.

Aku merasakan inilah tarbiyyah yang diberikan murabbi kami yang dikasihi. Peristiwa ini menjadikan aku bertambah kasih kepada beliau. Aku berasa amat bersyukur kerana dapat bersuhbah dan memberi khidmat dengan beliau. Benarlah kata-kata Syeikhuna al-Muhaddis Dr Mahmud Saa'id Mamduh al-Husaini hafizahullah dalam pengajian beliau di suatu hari, "bersuhbah (sentiasa bersama) dengan ulama' dan solihin akan menjadikan hati lembut". Aku dapat merasakan ketenangan apabila duduk bersama dengan para masyayikh di sini.

Junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم pernah bersabda dalam sebuah hadis ketika seorang sahabat yang mengadu kerana bimbang tidak dapat bersama baginda di dalam syurga :

(المرءُ مع من أَحَبَّّّ)
ertinya: "Seseorang itu bersama yang dikasihinya (di dalam syurga)"

Teorinya mudah, jika kita kasihkan ulama, kita akan bersama dengan mereka (insyaAllah) dalam syurga kelak, sudah tentu kita akan bersama dengan Nabi kita yang tercinta dalam syurga nanti kerana para ulama sudah semestinya akan mencintai Nabi. Aku teringat semasa meraikan maulid Nabi Muhammad صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم di Masjid Al-Asyraf pada 12 Rabi'ul Awwal yang baru lalu, Syeikhuna al-Murabbi tidak dapat menahan sedihnya sehingga menitiskan air mata apabila menyebut nama baginda nabi sehingga aku tak sanggup untuk melihatnya dan turut merasa kesedihannya. Begitu sucinya hati beliau.

"Ya Allah panjangkanlah umur guru-guru kami dalam keberkatan, ampunilah dosa kesalahan mereka, hindarilah mereka dari segala musibah dan himpunkan kami bersama mereka di syurga kelak" ...ameeen ya Rabb.

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB