Tuesday, July 21, 2009

Pengajaran untuk hari ini.."Sabarlah dengan ujian dalam menuntut ilmu"

Hari ini seperti biasa selepas solat subuh, saya bersama Ustaz Hairul Nizam membonceng motosikal menuju ke kelas pengajian kitab Tuhfatul Ahwazi di Masjid al-Asyraf, Muqattam. Alhamdulillah sampai agak awal dan Syeikh Yusri masih berzikir dengan para jamaah. Kami pun turut menyertainya. Setelah habis berzikir, barulah syeikhuna memulakan bacaan kitab syarahan Jami'e Tarmizi dan membacakan 5 hadis beserta syarahannya, kemudian kami membaca al-quran seorang demi seorang dan ditegur oleh beliau. Seusai membacanya, kami bersalaman dengan syeikhuna dan pulang ke rumah masing-masing. Ust Hairul Nizam terpaksa ke pejabat PMRAM bersama Ust Juzaili Juhan menyebabkan saya keseorangan untuk pulang.

Hendak dijadikan cerita, sewaktu dalam perjalanan, tayar motosikal yang dinaiki pancit. Kebetulan akhi Sultan (sahabat dari Indonesia) dan temannya yang pulang agak lambat berselisih denganku dan memberikan bantuan. Setelah diperiksa, tayar dalamnya pecah agak teruk dan perlu diganti dengan yang baru. Memandangkan masih pagi dan kedai pun belum dibuka, mereka mencadangkan agar pulang sahaja (jazakumullah atas bantuan kalian). Makanya terpaksalah dituntun motorsikal tersebut dan jarak dari tempat kejadian dengan asrama lebih kurang 3 km!!!

Bersama akhi Sultan di hadapan maqam Sidi Abul Hasan as-Syazuli rahimahullah di Aswan

Memang teruk terpaksa berseorangan menuntunnya (kalau ada Ust Hairul boleh gak sembang2...hehe). Fuhhh...berpeluh sakan la 'tegha' nak sampai, sejam lebih, dah tu matahari semakin meninggi! Mujurlah terjadi semasa dalam perjalanan pulang, jika tidak rugilah tak dapat duduk dalam majlis ilmu. Semasa dalam perjalanan teringat kisah para sahabat baginda Nabi صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم dan para ulama salaf dan khalaf yang menghadapi pelbagai ujian dalam usaha menuntut ilmu. Syeikhuna Dr. Mustafa Imarah hafizahullah mengingatkan supaya wajib untuk kita menyoroti kisah-kisah para ulama terdahulu dalam menuntut ilmu. Ada sahabat nabi yang bermusafir dalam tempoh 2 bulan perjalanan hanya untuk bertanya kepada sahabat yang lain tentang kesahihan cuma sebuah hadis!! Banyak lagi kisah-kisah para ulama dalam menuntut ilmu. Siapalah diri ini jika nak dibandingkan dengan mereka.

Jika disoroti ujian semasa dalam menuju ke Muqattam ni, saya ditimpa dengan bermacam-macam ujian. Antaranya motor kehabisan minyak, pernah terjatuh motor (alhamdulillah tak teruk mana), dikejar anjing, ditahan polis. Baru kelmarin kami ditahan polis dan diminta rukhsah. Aku yang tak dak lesen gelabah tak tau nak buat macam mana. Mujurlah Ust Hairul memujuk rayu kepada polis tersebut dan dilepaskannya, kalau tidak kena tahan la motor tu.

Pernah juga ditahan oleh mabahis (SB) semasa dalam perjalanan pergi, kali pertama semasa dipintas dengan tramco, aku buat tak tahu ja sebab mereka dalam tramco tersebut ramai juga orang. Ingatkan nak curi motor ka apa ka, takut juga masa tu, terus dipecut motor, mereka terus mengekori dan memintas buat kali kedua sambil salah seorang dari mereka mengeluarkan pistol dan menyerbu ke arahku. Masa tu memang gelabah gila..(terbayang penjara bawah tanah (na'uzubillah) kalau-kalau kena tahan). Selepas disoal siasat, aku menjawab untuk ke pengajian sambil menunjukkan kitab, mereka pun melepaskan aku. Aku pun bersalaman dengan SB tersebut dan sambil tersenyum SB itu mengucapkan selamat belajar...huhu. Rupanya mereka membuat rondaan sekitar Muqattam, memang tak sangka. Lega masa tu tau nak kata. Mabahis kat Mesir ni memang banyak...so, berhati-hatilah dan jangan buat keadaan yang mencurigakan.

Ujian semasa menuntut ilmu di Mesir ni memang mencabar. Tambahan pula di musim panas macam sekarang ni (hampir mencecah 40 darjah celcius). Nak keluar menuju ke Darrasah memang cukup menguji kesabaran...dengan panas yang membahang, bas pula kadang-kadang lambat. Kalau di musim sejuk, lain pula ceritanya. Memang menuntut kepada mujahadah, himmah, semangat dan kemahuan yang tinggi. Kehidupan kita masih lagi dikira selesa dibandingkan dengan kehidupan para ulama terdahulu. Jalan untuk menjadi seperti mereka menuntut kepada tempoh waktu yang panjang . Jangan jadi seperti mee celup macam Ust Nik Abduh kata sudah!

Kesimpulannya, bersabarlah dengan segala ujian yang dihadapi. Allah tidak akan menguji hambanya melainkan dengan begitu sahaja, Dia mahu melihat tahap kesabaran hambanya dalam menghadapi ujian dan akan mengganjarkan pahala yang berlipat kali ganda terutamanya kepada penuntut ilmu. Yakin dan pastilah setiap ujian ada balasannya yang istimewa jika kita bersabar dan ikhlas. Tak dapat di dunia, pasti akan dapat di hari segala pembalasan. Sesungguhnya setiap ujian yang menimpa, membuatkan diri ini untuk menghargai apa yang dinamakan sebagai ilmu.

Sekadar perkongsian dan ingatan buat diri. Semoga kita diberi kesabaran dalam menuntut ilmu Allah yang luas tidak bertepi ini.


Nota :

1. Rujuk hadis-hadis beserta syarahannya dari kalam ulama mu'tabar mengenai keutamaan menuntut ilmu.

2. Baca kitab (صفحات من صبر العلمأ على شدائد العلم والتحصيلِِ) karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah, cetakan Maktabah al-Matbu'at al-Islamiyah (ada dijual di Darussalam).

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB