Thursday, September 24, 2009

Ramadhan yang amat bermakna



Salam Eidul Fitri al-Mubarak…


"Berlalu Ramadhan, Fajar Syawal menjelma, muslimin muslimat menyambut hari raya…”
Perginya Ramadhan meninggalkan kenangan yang amat manis buat diri al-faqir pada tahun ini. Ramadhan 1430 H menjadi memori yang terpatri dan tidak akan dilupakan buat selamanya. Moga-moga kita termasuk di dalam golongan yang bertaqwa dan mendapat ganjaran yang istimewa dariNya serta dapat memasuki syurga melalui pintu al-Rayyan sebagaimana yang dijanjikanNya.

Istimewanya Ramadhan kali ini kerana dapat mengharungi puasa di siang harinya dan qiyam di malamnya bersama dengan guru yang dikasihi Syaikhuna al-Murabbi Dr. Yusri Rushdi al-Hasani hafizahullah. Tambah manis lagi ketika diberi peluang oleh Allah subhanu wata’ala untuk sama-sama beriktikaf di sepuluh hari terakhir di Masjid al-Asyraf, Muqattam. Pengalaman itu memberi 1001 satu pengajaran buat diri yang masih dalam permusafiran ilmu yang masih panjang dan berliku.

“Sedetik bersama ulama lebih bermanfaat dari seribu tahun bersama umara’(pemimpin) “ . Itulah yang al-faqir dapat ungkapkan kepada sahabat-sahabat. Apa tidaknya, dengan mata kepala dapat disaksikan bagaimana serta betapa tingginya semangat yang ada pada Syaikhuna dalam beibadat. Masih teringat lagi pada malam pertama bertarawih, sepuluh rakaat pertama yang memakan masa hampir sejam setengah dan berhenti rehat untuk pengajian kitab Bahjatun Nufus syarah Mukhtasor Sohih Bukhari. Bayangkan sejam setengah berdiri dan 2 juzu’ al-Quran dibacakan, fuh memang melenguhkan, kemudian beliau mengajar selama sejam. Tetapi Syaikhuna masih mampu tersenyum, tiada langsung tanda keletihan di wajah suci beliau. Beliau begitu gembira menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak. Begitulah rutin beliau sepanjang 29 hari berpuasa, tanpa henti! Sudah tentu memerlukan mujahadah dan himmah yang tinggi. Berani saya katakan, tiada masjid di Mesir bahkan di seantero dunia (kalau ada pun sedikit) yang mampu mengkhatamkan al-Quran sebanyak 5 kali dalam sebulan pada qiyam Ramadhan! Memang selayaknya gelaran al-Murabbi diberi kepada beliau. Seperti mana kalam al-Imam ibnu 'Ato'illah as-Sakandari rahimahullah dalam Hikamnya yang ke 43 ;

لا تَََََََصحبْ من لا يُنهِضُك حاله , ولا يَُدلُّك على الله مقاله
Janganlah kamu bersama dengan orang yang tidak membangkitkan semangatmu dengan hal keadaannya(perbuatannya), dan tidak mengingatkan kamu kepada Allah dengan setiap kata-katanya.

Kenangan beriktikaf selama sepuluh hari memberi kenangan teramat indah dalam diri ini. Bagaikan berada dalam keluarga besar, Syaikhuna dianggap sebagai ayah, yang tua sebagai abang, yang sebaya sebagai saudara kembar, yang kecil sebagai adik. Saya begitu mencemburui sahabat-sahabat dari Indonesia, mereka begitu ramai mengambil peluang yang datang sekali setahun itu, sehingga ada yang sanggup datang dari Tanta! Apa tidaknya, dapat bersahur, berbuka, beribadah, tidur dalam satu tempat yang sama bersama ulama’ bukan mudah. Pernah saya ditanya oleh mereka, “ Kemana teman-teman antum yang lain”. Saya hanya mampu menjawab mungkin mereka mempunyai urusan lain. Cuma beberapa kerat pelajar Malaysia yang hadir. Peluang beriktikaf itu memberi satu ikatan ukhuwwah yang mahal harganya disamping dapat merasai bagaimana kehidupan bangsa Arab.

Banyak juga cerita yang disampaikan oleh guru kami yang dimuliakan Allah ini sepanjang permukiman di dalam masjid seperti pengalaman bagaimana beliau belajar dengan ulama'-ulama' yang hebat, kisah hidup dan macam-macam sebagai penguat semangat kepada kami dan tidak berputus asa dalam menuntut ilmu. Antaranya, beliau sering menekankan dalam menuntut ilmu ini mesti melalui satu tempoh yang panjang dan tidak dapat tidak kena berdamping dengan para ulama', barulah keberkatan ilmu itu akan ada. Beliau juga mempertikaikan orang-orang yang hendak mempelajari ilmu terutamanya ilmu agama dalam masa yang singkat dan hanya belajar mengikut ringkasan sahaja. Golongan yang sebeginilah yang akan memberi fitnah kepada agama itu sendiri, na'uzubillah min zalik. Secara peribadinya, saya tidak gemar mengikuti daurah, dan apa-apa sukatan pengajiannya yang terhad. Jika difikirkan kembali, si pengajar mengambil masa bertahun-tahun lamanya menuntut ilmu, sedangkan kita hanya mencedok ilmu darinya dalam masa dua jam. Ini tidak adil!! Kata ulama' , kalau nak jadi seperti ulama', perlulah mengikut jalan-jalan yang mereka tempuhi (dari setiap aspek kehidupan).

Pada malam 23 Ramadhan yang lalu, ketika hendak memulakan rakaat ke 17, Syaikhuna dengan tiba-tiba memberitahu kepada hadhirin bahawa beliau mendapat khabar bahawa malam tersebut ialah malam al-qadar. Entah dari mana khabar tersebut. Sepanjang pemerhatian saya, sejak dari solat Isyak hingga witir yang berakhir pada jam 3.45 pagi beliau jarang keluar dari masjid, itupun sekali untuk berwudhu'. Mungkin juga benar, kerana Syaikhuna hendak memberi galakan kepada jama'ah yang rata-ratanya sudah “syahid”. Justeru, malam tersebut dihidupkan dengan sehidup-hidupnya. Ada yang mencalitkan minyak wangi kepada jama’ah, ada yang memberi minum, dan sebagainya. Masing-masing berebut untuk membuat kebajikan pada malam yang dijanjikan lebih baik dari seribu bulan. Teringat satu kalam (tak pasti hadis atau kalam ulama’) ;

اتّقوا فراسة المؤمن , فإنه ينظر بنور الله ) أو كما قال)

Takutlah kamu kepada firasat orang yang beriman, kerana mereka memandang dengan cahaya (panduan) dari Allah.

Malam al-qadar tiada siapa yang tahu bila tibanya, hanya Allah yang menentukannya. Apa yang pasti, sesiapa yang menghidupkan dengan bersungguh-sungguh malam Ramadhan sejak dari malam pertama hingga ke akhirnya pasti mendapatkannya, bertuahlah siapa yang dapat. Sudah tentu Ramadhan kali ini amat bermakna buat diri al-faqir wal haqir ini. Cuma sedikit terkilan di hati al-faqir kerana tidak berkesempatan ihya' Ramadhan bersama Syaikhuna pada tahun-tahun lepas, namun Alhamdulillah diizinkan Allah pada tahun ini dan insyaAllah pada tahun-tahun yang mendatang. Semestinya Ramadhan akan datang ditunggu-tunggu. "Taqabbalallahu minna wa waminkum solihal 'amal"

“اللهم بلّغنا رمضان”

******
Galeri Ihya' Ramadhan di Masjid al-Asyraf


Selepas khatam kali pertama pada malam ke sembilan, khatam kali kelima pada witir terakhir bertarawih, cantik sungguh penutup.


Semasa bersahur hari terakhir puasa, sedang menjamah zabadi (makanan wajib ketika sahur)..Sahur hanya makan 'ish baladi + ful + keju + telur + zabadi+ madu..mungkin budaya arab hanya makan yang itu ja ketika sahur, tapi ketika berbuka, masyaAllah..mewah dan lazat sungguh, free plak tu, setiap hari bertukar menu. Gambar semasa berbuka terlupa nak tangkap sebab terlalu menikmati makanan :) .


Sahabat-sahabat dari Indonesia, semuanya dalam 15 orang lebih, ada yang datang dari Tanta!


Selepas solat sunat tasbih 4 rakaat dan takbir ihya' malam Syawwal (yaumul jaaizah), tergambar kepuasan di wajah masing-masing setelah ihya' Ramadhan bersama. Semoga diterima segala amalan di sisi Allah.


Selepas solat sunat Eidulfitri di pagi 1 Syawwal 1430 H bersamaan 20-09-2009.


“Kullu sanah wa antum thoyyibin, Minal ‘Aidi wal Faaizin”…maafkan segala salah dan silap serta halalkan makan minum buat mak abah sekeluarga di Kg. Bukit Lada, Pokok Sena yang sentiasa dirindui lagi dicintai dan kepada sahabat-sahabat yang dikasihi juga kepada sesiapa yang mengenali diri ini.

Nota :

1. Catatan terlewat ini disebabkan PC saya meragam kerana terlalu “bersedih” dengan pemergian Ramadhan :). Syukran Jazilan kepada Ust Aizat, Mantan Presiden MPM KUIN yang sudi membenarkan digunakan laptop beliau.

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB