Saturday, July 19, 2008

Indahnya jika berakhlak mulia

Semua manusia mengetahui apa itu akhlak mulia akan tetapi berapa ramaikah dikalangan kita yang memiliki sifat terpuji ini. Akhlak mulia merupakan budi pekerti atau kelakuan terpuji yang dimanifestasikan dari hati yang suci lagi bersih. Amat sukar jika seseorang yang tidak memiliki hati yang bersih untuk mengadaptasikan sifat yang amat disukai oleh Allah dan RasulNya ini.  Sifat ini amat dituntut oleh Islam dengan sebaik-baik tuntutan. Jika tidak apalah ertinya diutuskan Nabi Muhammad s.a.w selain dari tugas utamaNya iaitu membawa berita gembira(بشيرا) dan memberi peringatan(نذيرا).

Baginda pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang berbunyi:

(إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق)

maksudnya:"Sesunguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia"

Saidatina Aisyah R.A pernah ditanya bagaimana hal keadaan akhlak baginda nabi, lalu beliau menjawab dengan ringkas dan padat:

(كان خلقه القرأن)

yang bermaksud:"Akhlak baginda adalah al-Quran"

Mafhum dari jawapan Saidatina Aisyah itu ialah jika hendak melihat akhlak baginda nabi, lihatlah kembali kepada al-Quran. Ini kerana al-Quran sarat dengan saranan untuk umat Islam mengamalkan akhlak yang mulia. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana mengaplikasikan akhlak mulia.

*Di suatu petang Jumaat, semasa ku membaca al-Quran di masjid berdekatan dengan tempat tinggalku, aku didatangi seorang muslim Amerika. Pada sangkaanku, dia dan kawannya adalah dari puak salafi@wahabi yang nak berdakwah padaku. Aku pun bertaaruf serba ringkas (dlm bahasa arab, fasih gak dia ni) dengan dia. Mak dia orang Mesir dan ayahnya orang Amerika. Setelah bersembang agak lama, dia pun bertanya kepadaku tentang wanita Malaysia @ Indonesia. Aku pun bertanya kembali kenapa dia bertanya macam tu. Rupanya dia ada hajat nak mendirikan rumah tangga dengan orang Malaysia (ada udang di sebalik mee, ada hajat rupanya...habaqla awal2, hehehe...). Dia mengatakan yang akhawat Malaysia @ Indonesia memiliki akhlak yang mulia dan nampak solehah sepanjang pemerhatiannya, dan dia cukup kagum dengan rakyat Malaysia yang rata-ratanya mempunyai sifat ramah dan bersopan-santun. Aku dimintanya dengan sepenuh pengharapan untuk mencari seorang akhawat samada dari Malaysia @ Indonesia untuk dijadikan permaisurinya (aku berbisik sendirian, "aku pun x kahwin lagi"...hehehe). So, kepada sesiapa yang berminat (khas utk muslimah shj) sila ambil borang pendaftaran dengan segera kerana tempat terhad kepada seorang sahaja!(hehehe) 

Nah, inilah penangan akhlak mulia. Masyarakat akan memandang mulia jika akhlak mulia tersebut dijadikan perhiasan diri. Pokok asalnya jadikanlah al-Quran dan peribadi baginda nabi sebagai panduan kita dalam mengaplikasikan akhlak yang amat dituntut ini. Orang yang berakhlak mulia tidak akan rugi bahkan mendapat keuntungan yang berganda di dunia dan di akhirat.

*cerita tersebut hanya sebagai selingan.  

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB