Syeikh Dr. Fathi (memegang mikrofon), bersebelahan beliau ialah Syeikh Dr. Toha Hubaishi
Alhamdulillah atas segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Semalam diberi kesempatan untuk duduk di dalam salah satu ‘taman syurga’ seperti mana yang disabdakan oleh baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Halaqah ilmu bersama Syeikhuna Al-Allamah Al-Adib Dr Fathi Abd Rahman Ahmad Hijazi hafizahullah di Madhiyafah Syaikh Ismail Sodiq al-Adawi yang bertentangan dengan Universiti al-Azhar. Beliau mengajar kitab Syarah Qatrunnada karangan al-Imam Ibnu Hisham al-Ansori rahimahullah. Bab yang dibincangkan ialah at-Tanazu’ dan Maf’ul. Selepas zohor kami menghadap sang guru untuk mengutip mutiara ilmu yang keluar dari mulutnya. Melihat wajahnya sahaja sudah menyejukkan hati bagi kami yang dahagakan ilmu. Setiap butir percakapannya fasih dan jelas, diselang seli dengan bait syair yang indah dan cerita yang kadang-kala melucukan.
Beliau mengatakan bahasa arab bukanlah sesukar yang disangka, akan tetapi mudah jika kita mengetahui rahsia-rahsia yang terkandung dalam setiap kalimah dan sebab-sebabnya. Sebagai contoh, semasa mensyarahkan kalam al-Imam ibnu Hisham yang menyatakan sebab mengapa hukum fa’il (yang melakukan) sebagai marfu’ selamanya, hukum maf’ul (yang dikerjakan) sebagai mansub selamanya. Ini kerana asal fa’il tidak berlaku kecuali dengan satu/seorang manakala maf’ul boleh jadi satu atau ramai. Manakala baris rofo’ (dhommah) adalah berat dan baris nasob (fathah) adalah ringan bagi bangsa arab. Maka bagi membahagikan secara adil, diletakkan hukum rofo’ kepada yang satu dan hukum nasob kepada ramai. Beliau mengatakan rofo’ bagi bangsa arab adalah baris yang mulia , dan fa’il juga merupakan satu kemuliaan, maka hukum yang mulia adalah bagi yang mulia (الأشراف للأشراف). Tambahnya lagi, ulama’ dahulu membicarakan ilmu nahwu ini berdasarkan hati yang sentiasa berkait dengan fa’il yang hakiki iaitu Allah yang bersifat dengan ar-Raafi’ (yang Maha Tinggi).
Beliau mengatakan berdasarkan pengalamannya, kegagalan para pengajar menarik minat para pelajar untuk mencintai bahasa arab adalah kerana hanya setakat menerangkan hukum bagi setiap fi’il, fa’il, maf’ul dan sebagainya, tidak menerangkan sebab mengapa hukumnya begitu dan begini dan rahsia yang terkandung disebaliknya.
Inilah kelemahan sistem silibus yang hanya menghadkan tahap pembelajaran. Memetik kalam para ulama’, “keberkatan sesuatu ilmu itu di akhir kitab”. Maksudnya, jika hendak mendalami serta memahami ilmu itu adalah dengan membaca kitab bermula dari kulit hadapan hinggalah ke kulit akhir, dalam erti kata yang lain barulah kita dapat menghadham tujuan ulama’ menulis sesuatu ilmu. Ini kerana para ulama’ telah menyusun ilmu saling berkait tajuknya antara satu sama lain dari awal hingga akhirnya mengikut tahap sesuatu ilmu, maka disitulah keberkatan akan diperolehi. Tambahan pula secara berguru disulami dengan adab-adab sebagai penuntut ilmu, maka Allah akan memberi keberkatan dan kefahaman yang berganda.
Syaikhuna Dr. Fathi menceritakan, semasa di sekolah rendah beliau menghidap satu penyakit sehingga terpaksa dilakukan pembedahan kecil di bawah lidahnya. Disebabkan penyakit itu beliau tidak dapat memberikan tumpuan terhadap pelajarannya. Pelajaran yang beliau gagal pada masa tersebut ialah Nahu & Sorof tetapi hanya kekurangan separuh markah. Bermula dari situ, beliau membaca kitab Qatrunnada serta menghafaz segala isinya. Apabila beliau memasuki kuliah Lughah Arabiah di Al-Azhar, subjek Nahu dan ‘kawan-kawannya’ beliau berjaya mendapat markah imtiyaz. Sehinggalah sekarang beliau menjadi pensyarah bahasa arab di Kuliah Lughah Arabiah di Universiti Al-Azhar As-Syarif. Beliau menaqalkan kalam al-Imam ibnu ‘Ato’illah as-Sakandari rahimahullah yang berbunyi :
“من أشرقت بدايته نار محرِقة,كانت نهايته أنوار مشرقة ”
“Sesiapa yang permulaannya dengan api yang panas membakar (kesusahan, kegagalan dsb), maka pengakhirannya adalah dengan cahaya yang menerangi (kesenangan, kejayaan dsb)”
Kata-katanya itu memberikan harapan dan semangat kepada kami untuk terus menggali dan mencari khazanah ilmu Allah yang tidak bertepi walau ditimpa segala bentuk ujian sekalipun. Teringat satu lagi kalam al-Imam ibnu ‘Ato’illah as-Sakandari rahimahullah :
"لا تصحب من لا ينهضك حاله, ولا يدلك على الله مقاله"
“Janganlah kamu bersama/bersahabat dengan orang yang tidak membangkitkan semangatmu dengan keadaannya, dan yang tidak menunjukkan (mengingatkan) kamu kepada Allah dalam setiap percakapannya”
Sesungguhnya keindahan bahasa arab terkandung seribu satu rahsia yang mesti diterokai sedalamnya. Tambahan pula ianya bahasa dua sumber rujukan utama bagi umat Islam, jika tidak menguasai bahasa arab maka sukar untuk memahami kehendak dan maqasid syara’ seperti yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Tidak boleh untuk kita menghukum hanya berdasarkan zahir ayat semata-mata kerana dengan itu akan menyempitkan agama Islam itu sendiri, sedangkan Islam itu luas meliputi segala aspek kehidupan. Tetapi tidaklah tiada batasnya sehingga boleh dilakukan apa sahaja. Islam itu mudah, tetapi tidaklah sampai terlalu mudah sehingga boleh diremeh-remehkan. Ada dhowabit dan batasnya yang telah ditetapkan para ahlinya yang berkeahlian dalam menguasai bahasa arab, tidak lain dan tidak bukan para ulama’al-‘amilin.
Syaikh Mustafa Ahmad az-Zarqa rahimahullah, seorang ulama besar Syria yang juga merupakan pakar dalam bidang hadis, menulis di dalam muqaddimah kitabnya " العقل والفقه فى فهم الحديث النبوي” , untuk memahami dengan baik hadis-hadis Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang diriwayatkan, kebanyakan kalam Nabi adalah dengan ‘jawami’ al-kalim’ (kalam yang ringkas, tetapi banyak maknanya) tidak dapat tidak berhajat kepada tiga perkara :
- Mendalami bahasa arab dan mengetahui segala uslubnya
- Aqal yang sempurna
- Menguasai Fiqh as-Syari’ah - yang dengannya dapat diketahui maqasidnya, dapat mengqiyaskan perkara yang seumpamanya, mengetahui fiqh awlawiyat dan segala yang berkaitan dengannya.
Al-Faqir sendiri masih diperingkat permulaan dalam mempelajari bahasa arab dan hanya menyampaikan ilmu sekadar yang ada kerana ilmu itu milik Allah untuk dikongsi para hambaNya dan mengharapkan tunjuk ajar dari semua jika terdapat kesalahan.
4 kritikan / cadangan:
us, mintak izin nak copy artikel ni dalam blog kami.. harap diizinkan..
falyatafaddhal mashkuura..ilmu hak milik Allah :)
"لا تصحب من لا ينهضك حاله, ولا يدلك على الله مقاله"
Rahmatullah wa barakaatuhu fi ahlillah al-Imam ibnu ‘Ato’illah as-Sakandari
بارك الله فيكم يا أخي العزيز
ضغيرك في العمر عظيم في العلم
ماشاء الله وتبارك الله
jazakallahukhair. Kini saya lebih bersemangat untuk mendalami lughatul arabiah.
Post a Comment