Alhamdulillah wa syukru lillah…ucapan yang selayaknya ku ucapkan atas segala pemberian. Pada 11 Muharram 1431 H bersamaan 28 Disember 2009, hari Isnin yang lalu amat bermakna buat kami. Sebaik sahaja tamat pembacaan kitab Tuhfatul Ahwazi oleh Syaikhina, tiba-tiba menantu beliau, Syaikhuna Dr. Usamah as-Sayyid al-Azhari masuk ke dalam masjid dan duduk di tepi al-faqir (mungkin rintihan hati ini kerana tidak dapat sanad hadis musalsal ‘Asyura secara terus dari beliau pada hari sebelumnya dimakbulkan Allah, dapat duduk bersebelahan dengan beliau sudah dapat memujuk hati yang sedih ni :) ) . Terus bersalam dan mencium tangan beliau. Agak berdebar juga hati ini, manakan tidak seorang ulama’ muda yang dikagumi juga murid kesayangan Mufti Mesir di sisi. Seperti biasa, selepas bacaan hadis, kami akan bertadarus dan akan ditegur oleh Syeikh. Setiap dari kami membaca 1 ayat dan Syeikh akan menerangkan qiraat yang ada pada ayat-ayat tersebut.
Kedatangan Syeikh Usamah pada hari itu adalah untuk membawa kami menziarahi maqam seorang ulama’ besar yang berasal dari Maghribi iaitu al-‘Arif billah al-Muhaddis Ahmad ibn Siddiq al-Ghumari (gambar), abang kepada al-Muhaddis Syeikh Abdullah ibn as-Siddiq al-Ghumari rahimahumallah. Beliau lahir pada tahun 1320 H (1900 M) dan wafat pada 1380 H (1959 M). Beliau dikenali sebagai seorang yang tegas dan meninggalkan lebih 300 buah kitab yang amat besar faedahnya buat para penuntut ilmu.
Ziarah itu atas permintaan Ust Juzaili Juhan kepada Syeikh Yusri untuk membawanya kerana beliau akan pulang ke Malaysia pada 30 Disember ini. Kami bertolak secara konvoi dengan 5 biji kereta dan 3 biji motor menuju ke maqam yang terletak berhampiran Bu'uth.
Kami tiba kira-kira jam 8 pagi dan mendapati pintu maqam dikunci. Kawasan tersebut agak terpencil dan terasa ketenangannya. Tidak lama kemudian penjaga maqam datang dan membukanya. Kami pun sama-sama masuk diketuai Syeikh Yusri dan Syeikh Usamah sambil memberi salam kepada sohibul maqam yang juga mempunyai pertalian nasab kepada baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم melalui cucunya Saidina Hassan alaihissalam.
Syeikh Usamah menerangkan sesuatu
Syeikh Usamah menerangkan adab-adab para ulama’ al-Azhar ketika mana menziarahi maqam para auliya’. Bermula dengan memberi salam seperti awal bacaan tasyahhud dalam solat sehinggalah kepada السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين , kemudian dibaca al-fatihah sekali dan surah al-ikhlas sebanyak 11 kali dengan niat hadiah kepada tuan punya maqam. Beliau memberitahu bahawa Syeikh Ahmad rahimahullah berbeza pendapat dalam bilangan bacaan surah al-ikhlas iaitu sebanyak 12 kali, maka kami pun diminta untuk membaca sebanyak 12 kali sebagai menghormati sohibul maqam. Selepas itu kami mengaminkan doa yang dibacakan oleh 2 orang guru kami yang dikasihi ini. Setelah itu, kami mendengar beberapa kisah yang disampaikan oleh Syeikh Usamah. Kemudian, kami mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan di kawasan maqam dan bergerak pulang ke rumah masing-masing.
Di hadapan maqam al-'Arif billah
Jumpa lagi Ust Ju tahun hadapan..insyaAllah
Syukur sekali lagi padamu ya Allah atas kesempatan menziarahi salah seorang para auliya’Mu bersama ulama’ murabbi. Moga kita dihimpunkan bersama para hambaNya yang soleh lagi bertaqwa di hari perhitungan kelak dan mendapat syafaat dari penghulu anbiya’.
"Ya Allah ya Tuhanku! Kurniakanlah selawat dan salam serta berkat kepada Baginda dan keluarga Baginda, sahabat Baginda dan sesiapa sahaja yang mengikuti mereka hingga ke hari akhirat dengan limpahan rahmatMu dan keredhaanMu sebanyak-banyaknya."
2 kritikan / cadangan:
salam..beruntung you syeikh, sentiasa dpt berdamping dgn orang2 yg hebat..
alhamdulillah..haaza min fadhli rabbi...sedetik bersama ulama' lebih bermanfaat dr seribu tahun bersama umara'
Post a Comment