Sunday, July 12, 2009

Berbaik sangka sesama saudara dan hakikat kehambaan

Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani rahimahullah pernah berkata:

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih daik darimu. Ucapkan dalam hatimu :

"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".


Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :

"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".


Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):

"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):

"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan seorang yang jahil, maka katakanlah (dalam hatimu) :

"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia jahil (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya, dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak, dia tentu lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :

"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh, dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk (na'uzubillah min zaalik).

-------

Kesimpulannya ialah jika kita memahami hakikat kehambaan kepada Allah, maka tidak akan ada perasaan saling benci-membenci, berburuk sangka, fitnah, umpat-mengumpat sesama saudara seaqidah. Seseorang hamba itu akan cuba mencari kesalahan dirinya sendiri daripada sibuk mencari kesalahan saudaranya sendiri. Ini kerana dia mengetahui kenapa dia diciptakan dan mengetahui akan pembalasan dari Tuannya sepanjang tugasnya sebagai hamba memakmurkan bumi. Masing-masing akan berlumba membuat amal kebajikan untuk mencari ganjaran redho Allah dan ingatlah firman-Nya:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (az-Zaariyat:56)


Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat:13)

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB