Tuesday, July 14, 2009

Cara berpakaian menunjukkan imej dan peribadi seseorang

Apabila terbaca di blog sahabat akhi Nazrul mengenai kisah yang diceritakan oleh Fadhilatul Syeikhuna Al-Allamah Al-Adib Dr Fathi Abd Rahman Ahmad Hijazi hafizahullah, teringat satu kisah di antara kisah-kisah yang beliau sering kisahkan dalam halaqah pengajian beliau. Cerita-cerita yang disampaikan oleh Syeikhuna memang menarik dan ada kaitan dengan pengajian yang disampaikan ditambah pula dengan kefasihan bahasa arab beliau (dah nama ulama nahu, mestilah fasih...hehe) menyebabkan kisah yang disampaikan dapat dihayati dan masih berbekas dalam ingatan. Sekadar ingin berkongsi, kisah ini berlaku pada ketika zaman beliau belajar di Universiti Al-Azhar sekitar tahun 1960-70 an yang lalu.


Syeikh Fathi (paling kanan) semasa majlis maulid Saidina Husein radhiyallah anhu di Madhiyafah Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi

Beliau menceritakan, "ada seorang pelajar kuliah farmasi Universiti Al-Azhar yang selalu bergaya dengan pakaian ulama Al-Azhar seperti yang kita selalu lihat. Pada suatu hari apabila hendak pulang ke kampung halamannya kerana musim cuti, dia mengenakan jubah dan serban yang menjadi tanda keizzahan ulama itu. Ketika dalam perjalanan pulang menaiki keretapi, dia dikerumuni oleh orang awam yang ingin bertanyakan kemushkilan dan permasalahan agama, akan tetapi dia tidak mampu untuk menjawabnya kerana dia bukanlah dalam pengkhususan ilmu agama, tetapi dalam bidang farmasi. Selepas kejadian itu, dia tidak lagi berani untuk berpakaian seperti itu lagi.

Berdasarkan kisah tersebut menunjukkan manusia sering menilai dari luaran lebih-lebih lagi melihat cara berpakaian seseorang. Apabila berpakaian seperti ulama terus dikatakannya ulama, apabila berpakaian selekeh terus dikatakan orang gila. Mungkin betul, mungkin tidak penilaian tersebut kerana itulah hakikat persepsi masyarakat sekeliling. Mereka akan memberi penghormatan kepada orang yang berpakaian kemas dan mencemuh orang yang berpakaian selekeh. Orang yang belajar agama sepatutnya pandai memilih pakaian yang menunjukkan keperibadiannya sebagai penuntut ilmu agama Allah Taala. Janganlah disebabkan salah memilih pakaian menyebabkan diri menjadi fitnah kepada agama. Teringat teguran ayahanda apabila saya memakai pakaian (hanya jersi bola) untuk keluar semasa sekolah menengah dulu. Ayahanda mengatakan pakailah pakaian yang menunjukkan seperti seorang pelajar agama. Terima kasih abah atas teguran itu.

Saya terkilan mendengar kata-kata seseorang yang pernah belajar di Mesir ini. Pada hari itu ada satu majlis taklimat untuk mahasiswa baru, dia menegur seorang pelajar yang berpakaian tidak sesuai dengan majlis yang akan dihadiri pegawai dari kedutaan dengan mengatakan bukannya nak pergi sembahyang mayat. Panas juga telinga saya ni. Kiasannya seolah-olah memburukkan pakaian orang yang nak menghadap Allah sedangkan majlis tersebut bukannya wajib, akan tetapi solat jenazah merupakan fardhu kifayah, yang mana wajib dilakukan apabila tidak ada sekumpulan yang melaksanakannya dan boleh berdosa kesemuanya apabila tidak dilakukan. Memang tegurannya itu ada benarnya kerana meraikan majlis, tetapi janganlah disamakan seperti itu. Mengapa tidak ditegur orang yang hendak solat, tetapi berpakaian selekeh? Sedih juga melihat orang yang tidak mengambil berat tentang pemakaian yang elok semasa hendak menghadap Allah tetapi mengambil cakna tentang etika pemakaian dalam majlis rasmi bersama VIP sehinggakan dibuat kursus mengenainya.

Satu lagi teguran yang membuat saya terkilan ialah apabila ada seseorang yang menegur pelajar baru juga dengan mengatakan jangan pakai kopiah dalam majlis bersama pihak kedutaan. Ingin juga bertanya kepada penegur tersebut, malu sangatkah berpakaian Islam ini? Memanglah kalau tak pakai kopiah pun tetap Islam juga, tapi pakaian tersebut merupakan antara syiar yang sepatutnya menjadi kebanggaan orang Islam. Tetapi kalau tak mahu pakai dengan alasan cepat kotor (almaklumlah Mesir ni banyak habuk), itu masalah lain. Cuba lihat kepada penganut agama yang batil selain Islam, kenapa mereka mampu untuk iltizam dengan pakaian rasmi mereka? Nabi kita menunjukkan cara berpakaian bagi seorang mukmin, kenapa kita malu untuk mencontohinya? Sedangkan pemakaian secara barat yang menjadi ikutan bahkan dibangga-banggakan pula dengan alasan dunia sudah berubah, kena up to date lah, dan 1001 alasan lagi.

Seringkali ada dikalangan manusia menyalahgunakan (kerana tak faham) hadis baginda nabi صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم untuk bebas berpakaian apa sahaja asalkan hati bersih, yang berbunyi :


(إن الله لا ينظر إلى أجسامكم ولا إلى صوركم , ولكن ينظر إلى قلوبكم)

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu. Tetapi Dia memandang hati kamu” [Hadith riwayat Bukhari & Muslim]

Islam itu mudah, tapi jangan terlalu ambil mudah. Janganlah disebabkan kita, Islam yang tercinta ini difitnah.

1 kritikan / cadangan:

mohd fauzi said...

Begitulah sikap manusia sekarang yang terkesan dengan pemikiran2 sekular.Pakaian sememangnya melambangkan keperibadian seseorang apatah lagi kita yang muslim.Jika bukan kita yang menggerakkan syiar Islam,siapa lagi??Tidak salah untuk meraikan majlis,tetapi betullah kata sheikh Lokman, jangan kita kiaskan dengan sesuatu yang menjadi ibadah kerana seolah2 mempersendakan amalan tersebut..

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB