Sunday, July 12, 2009

Kewajipan beramal dengan sunnah


Ramai orang mengaku mencintai baginda nabi Muhammad صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم , namun berapa ramai dikalangan ummatnya yang benar-benar menghayati dan mengamalkan sunnah yang ditinggalkan baginda. Sunnah nabi pada akhir zaman ini banyak ditinggalkan dengan alasan bukannya wajib untuk diamalkan dan tidak akan berdosa dengan meninggalkannya. Kesibukan duniawi dan kesempitan waktu antara 1001 alasan yang dicipta untuk tidak beramal dengan sunnah walhal puncanya yang sebenar ialah malas. Tidak terasa malukah kita dengan nabi yang sentiasa merindui ummatnya sehinggakan disaat kewafatannya menyebut tentang ummatnya. Kita patut melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana menjadi ummat sayyidul anbiya' kerana banyak kelebihan yang kita perolehi berbanding ummat nabi-nabi terdahulu. Namun apakah tanda syukur kita sebagai ummat nabi khatimul anbiya' itu? Antaranya ialah dengan mengamalkan sunnah baginda baik dari segi zahir mahupun batin. Orang yang sentiasa beramal dengan sunnah sudah tentu akan sentiasa mengingati nabi tatkala melakukannya. Syeikhuna al-Allamah al-Murabbi Dr. Yusri Rushdi as-Sayyid Jabr al-Hasani hafizahullah mengatakan sunnah yang paling afdhal dilakukan ialah sunnah batiniyah seperti akhlak dan peribadi baginda berbanding sunnah zahiriyah.

Pada khutbah Jumaat yang baru lalu Fadhilat Syeikhuna membicarakan tentang perihal zuhud. Zuhud menurut beliau ialah "الرضا بالموجود , ولا يَبحثْ عن المفقود" iaitu redha dengan apa yang ada (yang dikurniakan Allah) , dan tidak mencari apa yang tiada. Beliau menceritakan tentang bagaimana zuhudnya baginda nabi ketika di suatu hari, nabi bertanya kepada Saidatina Aisyah tentang makanan yang ada untuk dimakan, lalu dijawab ummul mukminin tidak ada makanan untuk dimakan, maka baginda pun niat berpuasa pada hari tersebut. Kita dapat melihat qudwah baginda nabi yang redha dengan apa yang ada, dan tidak mencari makanan untuk dimakan. Beliau mempersoalkan kepada sidang hadhirin mengapa tidak dapat mencontohi akhlak baginda nabi sedangkan diri mengaku mencintainya.

Add Image
Antara sunnah nabi ialah baginda akan solat fardhu secara berjamaah di masjid dan akan pulang menunaikan solat sunat di rumah. Jika dilihat di Mesir, budaya solat berjamaah di masjid hidup pada setiap waktu sehinggakan hampir memenuhi ruang saf seperti sembahyang fardhu Jumaat berbanding masjid-masjid di Malaysia. Apa yang membuatkanku menjadi semangat dan tercabar untuk bersama berjamaah di masjid ialah apabila melihat dua insan yang begitu gigih melangkah kaki ke masjid. Keadaan ini berlaku di dua masjid berdekatan dengan tempat tinggalku di sini. Seorang daripadanya berbangsa arab, kakinya tempang, namun dia tetap gigih melangkah dalam keadaan terhuyung-hayang untuk menuju ke masjid setiap waktu. Manakala seorang lagi berbangsa Afrika, kedua kakinya tiada hingga ke paras lutut, tak pasti sama ada dipotong atau cacat sejak kecil. Dia juga tetap bersemangat melangkahkan kaki menggunakan tongkatnya untuk mengamalkan sunnah baginda juga pada setiap waktu solat. Terasa malu diri ini melihat keadaan mereka yang gigih mengamalkan sunnah dalam kepayahan, aku yang sempurna kejadian ini kadang-kadang tewas dengan keadaan. Para ulama mengatakan solat berjamaah di masjid lebih afdhal dari solat di rumah sekalipun secara berjamaah. Siapa lagi yang akan mengimarahkan rumah Allah jika tidak bukan hamba-hambaNya yang beriman bertepatan dengan firman Allah ;

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (at-Taubah:18)

Jangan hanya menunggu hari Jumaat baru hendak ke masjid. Amat rugi besar bagi kita jika tidak dapat merebut pahala sunnah ini, sekurang-kurangnya solat berjamaah di masjid sekali dalam sehari mengikut kemampuan. Orang yang berjalan kaki menuju ke masjid yang jauh akan mendapat pahala yang tinggi di sisi Allah. Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan berjalan kaki ke masjid, menunggu waktu solat selepas solat dan sebagainya jika dibelek dalam kitab-kitab hadis. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid (kerana sentiasa menuju ke masjid untuk sembahyang berjamaah) dijanjikan dengan lindungan payung rahmat Allah di hari yang tiada sebarang lindungan itu.

Antara sunnah baginda nabi صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم ialah tidak banyak bercakap, bercakap bila perlu dengan kadar hajat yang diperlukan, tidak pernah meninggikan suara, baginda tidak pernah bercakap benda yang tidak elok apatah lagi memaki hamun sesuai dengan martabat kemuliaan baginda sebagai seorang nabi Allah. Ucapan-ucapan sinis mengatakan kalau semua orang tak banyak bercakap, bercakap bila perlu maka tak ceria hidup. Ya benar, nabi juga ada masanya bergurau senda dengan para sahabat baginda tetapi bukannya setiap waktu berbanding dengan kita yang menjadikannya seumpama hobi. Sabda baginda dalam sepotong hadis :

(من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت)
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan juga hari kiamat,
maka ucapkanlah kata-kata yang baik atau (jika tidak mampu) hendaklah diam”


Itu sebahagian dari sunnah baginda dan banyak lagi kalau nak ditulis sunnah nabi yang tidak diketahui oleh kita melainkan dengan cara bertalaqqi dan sentiasa bersama dengan para ulama murabbi yang mursyid. Hanya dengan mereka kita dapat mengetahui bagaimana cara beramal dengan sunnah yang betul. Kesempatan untuk bersama dengan para ulama di Mesir ini membuatkanku semakin cinta dan merindui Rasulullah صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم . Ralatlah bagi orang yang belajar agama terutamanya orang yang mengaku sebagai pejuang dan pendakwah tetapi tidak beramal dengan sunnah.

"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)." (al-Hasyr : 7)

Daripada Abu Hurairah Abd al-Rahman ibn Sakhar radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda, “Apa yang aku larang kamu daripadanya, hendaklah engkau jauhkan diri daripadanya. Apa yang aku perintahkan kamu terhadapnya, maka hendaklah kamu lakukan ia dengan sepenuh kemampuan kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu, mereka menjadi binasa disebabkan oleh banyak persoalan mereka, serta khilaf perselisihan terhadap Nabi-nabi mereka” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

0 kritikan / cadangan:

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB