Thursday, July 16, 2009

Jom Kenali dan Cintakan Ulama : Dr Mahmud Sa'ied Mamduh

Nama penuh guru kita yang mulia ini ialah Mahmud Sa'ied bin Muhammad Mamduh bin Abdul Hamid bin Muhammad bin Sulaiman Al-Husaini. Dilahirkan di Hayyu Kubri Al-Qubbah, Kaherah pada tahun 1372 Hijriah bersamaan pada tahun 1953 Masihi. Bapanya berasal dari Turki, ketika di bawah pemerintahan khilafah Uthmaniah, manakala ibunya dari keturunan Al-Asyraf Al-Husaini (ahlul bayt). Beliau mendapat pendidikan rendah dari sekolah biasa Mesir dan mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Pertanian dari Universiti Al-Azhar dan dilantik menjadi tutor. Kemudian beliau meninggalkan bidang tersebut untuk mempelajari ulum syar'iyyah dengan lebih mendalam. Bermazhab Syafi’ie dan berpegang dengan aqidah yang digariskan oleh Imam Abu Hasan al Asy’ari. Beliau juga adalah seorang ulama’ Ahli Sunnah pada hari ini yang banyak mempertahankan aqidah Ahli Sunnah dari serangan musuh-musuh terutama dari golongan salafi/wahhabi.

Guru pertama beliau ialah Syeikh Ibrahim Yahya rahimahullah ketika di peringkat menengah, merupakan seorang kafif (tidak dapat melihat) dan amat mencintai bahasa arab. Beliau mula mengenali dan mencintai hadis dan ilmu-ilmunya melalui guru beliau ini. Kemudian beliau berguru dengan Syeikh Ahmad Isa 'Asyur as-Syafi'e rahimahullah, merupakan mufti bagi Jam'iyyah as-Syar'iyyah (NGO Mesir) . Beliau mempelajari fiqh dan nahu darinya. Dalam masa yang sama beliau menghadiri pengajian bersama Syeikh Muhammad Mustafa @ Hamid Abu al-'Ula, Syeikh Muhammad al-Hafiz at-Tijani, Syeikh Muhammad Najib al-Muti'ie, Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, dan Syeikh Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari rahimahumullah.


Syeikh Mahmud (kanan) dan Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari

Kemudian beliau meneruskan penggalian ilmu agama di Makkah al-Mukarramah dari tahun 1401 - 1406 H. Beliau menggunakan sepenuh peluang untuk menuntut ilmu semasa di sana dan melazimi masjid al-haram siang dan malamnya. Guru beliau semasa di sana ialah Syeikh Muhammad Yaasin al-Fadani. Ketika belajar dengannya, beliau menjadi murid istimewa gurunya itu. Apabila mengajar, Syeikh Yaasin pasti akan menyuruh beliau duduk di sebelah kanannya.


Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani rahimahullah

Antara masyayikh beliau semasa di Makkah ialah Syeikh Abdullah al-Lahji, Syeikh Ismail Usman az-Zein, Syeikh Ahmad Jabir, Syeikh Muhammad 'Iwadh az-Zubaidi rahimahumullah dan ramai lagi. Beliau mempelajari dari guru-gurunya dalam pelbagai disiplin ilmu seperti hadis, fiqh syafi'ie, tauhid, nahwu dan sorof, balaghah, dan sebagainya.

Ketinggian ilmunya khususnya dalam bidang hadis mendapat perhatian dan pujian dari ramai ulama’ besar dunia Islam. Seorang ulama’ yang tidak asing dalam dunia Islam, Sayyid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari menyatakan bahawa Syeikh Mahmud Said Mamduh telah menyelam dalam lautan hadis melalui jalan ahli hadis.


Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari

Beliau juga dianggap sebagai seorang mutafannin pada zaman ini kerana penguasaan dan kepakarannya dalam pelbagai bidang ilmu. Kitabnya menjadi hujjah pada zaman ini. Sebagai seorang yang meletakkan dirinya sebagai khadam hadith Nabi صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم dan ahli bait, beliau amat mencintai dan kuat mempertahankan ahli bait Rasulullah صلى الله عليه وعلى آله وسلَّم.

Beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan telah berjaya menulis lebih dari 30 buah kitab. Di antara karyanya yang terpenting ialah:

  1. إسعاف الملحيّن بترتيب أحاديث إحيأ علوم الدين
  2. تحذير الخلف من كتب موضوعة على السلف
  3. رفع المنارة لتخريج أحاديث التوسّل والزيارة
  4. تنبيه المسلم إلى تعدّى الألباني على صحيح مسلم
  5. التعريف بجواز العمل بالحديث الضعيف
  6. وصول التهاني بإثبات سنيّة السبحة والرد على الألباني


"Semoga Allah memanjangkan umur beliau dalam rahmat-Nya dan diberkati segala amalan beliau."


* Terjemahan bebas dari kitab [عِقْد الجوهر فى علمأ الربع الأول من القرن الخامس عاشر] cetakan Darul Ma'rifah. Sila rujuk untuk maklumat tambahan biodata beliau.

1 kritikan / cadangan:

فاز على حسن said...

"Semoga Allah memanjangkan umur beliau dalam rahmat-Nya dan diberkati segala amalan beliau."

Beruntunglah org yg dpt bersama beliau..

 

©2009 Islam Itu Indah | by TNB